Theflowersellingboy

Isnin, 14 Julai 2014

Ada Orang Bergembira Diatas Kekecewaan Orang Lain, dan Ada Orang Kecewa Diatas Kejayaan Orang Lain: Ini Adalah Fitrah Dalam Sebuah Kehidupan.





Pagi tadi ada orang yang gembira, menangis gembira dan ketawa atas kekecewaan orang lain. Ada orang yang berputih mata, menangis sedih dan berwajah muram diatas kejayaan orang lain. 

Begitulah fitrahnya yang telah diaturkan bahawa hidup ini ada pelengkapnya, ada pasangannya. Suka lawannya duka. Adanya pemimpin kerana adanya pengikut. Orang kaya menzahirkan orang miskin.

Lelaki pula, pasangannya perempuan. Lelaki dan perempuan berbeza seks. Tapi tidak lengkap dan tidak menjadi sebuah keluarga jika tiada satu daripadanya. Marah dan sabar adalah dua sifat yang bertentangan, tapi saling memerlukan. Ada orang yang suka marah maka mesti ada yang sabar. Jika tidak huru haralah sebuah kehidupan.

Sifat, keadaan, suasana dan finomina yang bertentangan adalah satu hal semula jadi. Tidak boleh dikawal atau disekat. Yang perlu dilakukannya ialah menguruskannya secara yang terbaik agar tidak menjadi melampau atau keterlaluan. 

Terlalu ramai lelaki berbanding perempuan, tidak juga baik. Begitu juga sebaliknya. Terlalu sangat gembira sehingga lupa kepada yang kecewa pun tidak baik. Begitu juga terlalu sangat kecewa akan melahirkan putus harapan.

Sebab itu sifat, keadaan, suasana dan finomina itu mesti pandai dan bijak diurus.

Pagi tadi Argentina telah menangis sedih kerana kecewa pasukan bolanya tewas kapada Jerman. Pemain-pemainnya berwajah muram, ada yang menangis dan ada yang merebahkan badan terbaring diatas padang sebaik saja misel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan. 

Penonton warga Argentina yang berada di stadium jelas kelihatan menzahirkan perasaan sedih dan kecewa. Ada yang semacam tidak percaya Argentina boleh ditewaskan. Ada yang putus harap pada minit-minit tarakhir perlawanan setelah pemain Jerman, Goetz namanya, menjaringkan gol begitu cantik sekali tanpa dapat ditahan atau dikuis keluar dari memasuki gawang.

Seluruh warga Argentina kecewa, yang di dalam stadium atau dimana-mana saja.

Seluruh peminat dan penyokong Argentina bukan warga yang menonton peristiwa jaringan gol itu
merakamkan wajah pucat, putus harap, kecewa dan tidak percaya. Dan ada yang marah-marah , ditujukan kepada barisan pertahanan Argentina yang gagal mengawal Goetz dari melakukan jaringan disaat akhir perlawanan. 

Mereka mengharapkan Argentina yang menjaringkan gol bukan Jerman atau keputusan perlawanan ditentukan melalui tendangan pinalti.

Dalam Argentina bersedih kerana kecewa kalah, Jerman bersorak gembira. Kegembiraan itu hanya bermula apabila Goetz berjaya menjaringkan gol. Maka hingar bingarlah stadium akan sorakan dan jeritan kegembiraan meraikan jaringan gol itu.

Tetapi pemain-pemain dan warga Jerman seluruhnya, termasuk peminat dan penyokong bukan warga, yang berada di stadium dan dimana-mana saja yang begitu gembira meraikan jaringan gol itu, masih lagi tertekan dan berdoa agar itulah saja jaringan gol kalau pun tidak ada jaringan tambahan selagi pengadil tidak membunyikan wisel penamat.

Sebaik saja wisel ke udara menandakan waktu perlawanan telah berakhir, pemain-pemain mula berpelukan, gembira dan menangis, ada yang membaringkan diri menelentang dan menangkup bertindihan badan, dan dalam saat yang sama diturut serta dengan riuh rendah jeritan suara kegembiraan warga Jerman dan penyokong bukan warga di dalam stadium dan dimana-mana saja yang dapat menonton perlawanan bola sepak itu. 

Ya, pagi tadi terzahirlah sesuatu yang fitrah dalam kehidupan kita. Menang, sainganya kalah. Kecewa menzahirkan gembira. Hidup berakhir dengan kematian.

Selagi tiada pasukan yang menang maka tiada yang kalah. Tidak boleh kedua-duanya menang. Tidak juga boleh kedua-duanya kalah. Jadi mesti ada yang menang dan mesti ada yang kalah dalam tempoh dan cara yang ditetapkan. Jika dalam tempoh masa biasa tidak mencukupi maka adakan masa tambahan. Jika itu jug tidak dapat mencari pasukan yang menang dan yang kalah, dalam peraturan FIFA, diadakan tendangan penalti. Tendangan penalti ini dilakukan sehingga ada pasukan yang menjaringkan gol melebihi dari lawan. Pasukan itulah yang diistiharkan menang, dan yang kuran jaringan diistiharkan kalah.

Bagaimana dengan seri, tiada yang menang dan tiada yang kalah?

FIFA tiada peraturan ini dalam saingan untuk menjadi juara bolasepak. FIFA mengamalkan sesuatu yang fitrah. FIFA tidak mengamalkan konsep menang - menang seperti dalam perundingan perniagaan, politik dan sebagainya.  

Peraturan FIFA ini membuatkan ada orang yang begembira diatas kekecewaan orang lain, dan ada orang kecewa diatas kejayaan orang lain. Ini adalah satu fitrah. 

Namun begitu, fitrah itu juga menghendaki  satu pengendalian dan pengurusan yang terbaik supaya tidak timbul keadaan yang melampau diluar kawalan. Ianya tidak baik dan tidak sihat dalam sebuah kehidupan.

Misalnya, yang menang jangan lupa diri dan yang kalah jangan putus asa. Orang kaya jangan berlagak sombong terhadap fakir miskin, dan yang fakir miskin jangan terlalu begantong kepada orang kaya, sebaliknya mesti juga berusaha. Pemimpin mesti ingat bahawa dengan adanya pengikut maka adalah pemimpin . Oleh itu jangan berlagak sombong. 

Pengikut pula mesti patuh pada pemimpin kalau tidak huruhara jadinya, selagi pemimpin itu dilandasan yang benar, iaitu memimpin pengikutnya demi kesejahteraan dan kebaikan.

Oleh itu Jerman jangan lupa daratan dan terus bergembira dengan kemenangan ini. Argentina juga jangan kecewa dan putus harap. Tahun 2018, jika dunia masih ada lagi, sekali lagi piala itu dipertandingkan, di Russia. Tunjukkanlah kehebatan masing-masing, untuk membolehkan masing-masing gembira diatas kekecewaan orang lain, dan kecewa diatas kejayaan orang lain.

Jika saya masih ada lagi, dan masih sihat tubuh badan dan akal fikiran, insyaAllah akan melakukan coretan tentang perlawanan itu nanti.

Sudah tentu harapan saya ialah untuk mencoretkan perlawanan akhir diantara Malaysia dengan mana-mana pasukan terbaik di dunia. Saya terlalu mengidam untuk bergembira diatas kekecewaan pasukan lain.

Bagaimana kepimpinan FAM dan pemain-pemain Malaysia. Boleh? 

Sudah tentu kita suka menjawab Malaysia Boleh walaupun kita belum pernah memberi makna kepada kata-kata itu.













































.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan