Theflowersellingboy

Jumaat, 27 Jun 2014

SEMOGA KITA JADI INSAN YANG BERTAQWA




Mula Ahad ini, berpuasalah kita rakyat Malaysia, insyaAllah.

Kita berpuasa untuk menjadi insan yang bertakwa: la'allakum tattaqun.

Secara amnya kita orang Melayu amat mengambil berat tentang berpuasa. Tidak banyak orang yang mahu meninggalkan puasa berbanding dengan yang meninggalkan solat lima waktu. Bila datang bulan Ramadhan, secara otomatik kita telah bersedia untuk berpuasa, maksudnya telah bersedia untuk berlapar pada siang hari. Tiada masalah untuk menahan lapar.

Kita akan terus berpuasa sepanjang bulan Ramadhan tanpa culas melainkan atas sebab-sebab yang tidak membolehkannya seperti keuzuran. Kita taat melakukannya.

Anak-anak kecil seusia 4 tahun  kita biasakan untuk berpuasa, sekurang-kurangnya berpuasa suku hari sehingga pukul 10 pagi atau setengah hari sehingga waktu makan tengah hari pada pukul satu. Kemudian, kita galakkan agar anak-anak itu menambahkan lagi tempoh berlapar sehingga pukul 4 atau 5 petang, dan seterusnya ke tempoh berbuka puasa sebenar.  

Malah ada setengah ibubapa yang memantau dengan begitu rapi anak-anak itu. Jika ada yang mencuri makan atau minum, anak itu akan dinasihati supaya jangan berbuat demikian kerana perbuatan itu berdosa.  Allah murka orang yang berbuat begitu. Kita tidak dapat masuk syurga.

Ada juga ibubapa bertindak lebih ekstrim lagi dengan memukul anak-anak yang mencuri makan dan minum itu.  Dan ada juga yang tidak membenarkan anak-anak yang mencuri makan minum itu untuk menjamah makanan diwaktu berbuka puasa.

Namun begitu, dalam banyak keadaan anak-anak kita itu berjaya melakukannya iaitu menahan lapar dan dahaga. Bulan Ramadhan tahun-tahun berikutnya mereka berpuasa penuh sehingga berakhir Ramadhan.

Sesungguhnya kita berjaya dalam melatih anak-anak supaya dapat menahan nafsu lapar iaitu tidak makan dan minum.

Cara yang kita lakukan telah membentuk satu sikap bahawa berpuasa itu adalah untuk menahan lapar saja. Dan jika tidak dilakukan atau mencuri makan dan minum, balasannya ialah kena pukul, tidak dapat menjamah makanan waktu berbuka dan dimurkai Allah sehingga tidak dapat masuk syurga.

Ertinya jika tidak berpuasa ianya amat merugikan terutama dalam soal tidak dibenarkan makan waktu berbuka. 

Biasanya atau secara amnya hidangan makanan waktu berbuka kita adalah amat luar biasa sekali berbanding dengan hari-hari bukan dalam bulan puasa. Ada bermacam jenis makanan dan minuman dan berbagai rupa dan warna. Ada yang dibuat sendiri dan ditambah dengan yang boleh dibeli di bazar ramadhan. Semuanya amat menarik pada mata dan selera bagi orang yang sedang dalam kelaparan. Banyak air liur yang ditelan waktu melihat makanan itu sebelum sampai waktu berbuka.

Alangkah rugi jika tidak berpuasa! Begitulah bisikan nafsu sebahagian besar dari kita.

Jadi dengan itu lebih baik puasa. Masa berlapar bukan lamapun.

Memang baik dan wajar kita melatih anak-anak supaya mempunyai daya ketahanan untuk berlapar. Itu adalah asas kepada ibadat berpuasa. Dan dalam masa yang sama, kita juga mesti memberi tekanan kepada kewajipan melakukan solat lima waktu dan melakukan amalan-amalan atau ibadat-ibadat lain. 

Solat tidak boleh diabaikan.

Apabila solat lima waktu tidak diabaikan, solat terawih, solat sunat yang lain dan amalan membaca al-quran serta ibadat-ibadat lain mudah saja dilakukan dalam bulan Ramadhan ini. 

Dan sudah tentu makanan sewaktu berbuka akan kita sediakan secara sederhana, bukan dibawah pengaruh nafsu untuk membalas balik rasa lapar dan dahaga, sebaliknya atas rasa kesyukuran atas nikmat Allah sambil merasa insaf betapa beruntungnya kita berbanding dengan mereka yang susah yang sentiasa kurang atau tiada makanan.
    
Semoga ibadat puasa kita pada kali ini bertambah baik dan diterima Allah berbanding yang telah lepas. Kita mahu jadi insan yang bertaqwa: la'allakum tattaqun.





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan