Theflowersellingboy

Ahad, 18 Ogos 2013

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana sudah memilikki angka 65.

Sekarang dah dapat number  65. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana telah memilikki number itu. 
 
Kalau diibaratkan dalam sebuah kelas yang ada 65 murid, angka 65 itu angka yang penghabisan mengikut kiraan dari 0. Maknanya number yang dimilikki itu adalah number corot. Dapat number corotlah. Satu kedudukan yang memang tidak disukai dalam mana-mana keputusan peperiksaan. Ianya amat memalukan dan menjadi ejekan. Bahkan akan mendapat kemarahan dan rotan dari abah. Sebab, dapat markah yang paling rendah, banyak subjek yang gagal sedangkan anak orang lain dapat number yang rendah. Maka terkeluarlah kata-kata anak yang tidak boleh diharapkan.
 
Hal diatas itu adalah  penilaian yang biasa dibuat bagi seseorang yang mendapat number tercorot dalam kelas. Kedudukan dalam sebuah kelas yang amat memalukan.
 
Tapi angka 65 yang dianugerah Allah ini adalah sesuatu yang amat dihargai yang menimbulkan rasa kesyukuran diatas peluang yang diberikan. Setakat mana peluang itu dimenfaatkan sepanjang tempoh yang dianugerahkan itu sudah tentu menjadi bahan renungan. Sudah tentu ada yang tidak kena, banyak langkah-langkah menjadi tempang dan pincang. Banyak berlaku kegelinciran dan jatuh dari landasan. Banyak yang sumbang dari yang menyumbang kearah kebaikan.
 
Ya sebenarnya banyak yang diangan-angankan telah gagal untuk dicapai. Harapan sebuah kehidupan yang ideal, kehidupan yang mengabdikan diri kepada Yang Mencipta semata-mata keranaNya, masih lagi tersasar jauh walaupun telah memilikki angka 65.
 
Bermula dari zaman kanak-kanak, pada ketika diberi kemampuan untuk membezakan yang baik dan yang buruk, yang disuruh dan yang ditegah , kecenderungan kepada perasaan dan perbuatan yang buruk dan yang ditegah lebih kuat dari yang sebaliknya. Pada usia 7 tahun, memasuki alam pendidikan formal bagi memantapkan keyakinan kepada amal makruf nahi mungkar, ianya tidak semudah seperti mengeluarkan kata-kata itu. Terlalu banyak simpang siur yang menjadi pilihan menuju destinasi. Maka sesat dan tersesat jalan dik pilihan simpang yang salah bukan lagi satu pengecualian, malah sudah menjadi kebiasaan dan kesukaan.
 
Begitu juga pada tempoh-tempoh tumbuh besar menjadi muda remaja dan alam keremajaan. Paling hebat sekali. Hebat dari segi ideal.   
 
Mahu menjadi orang yang berjaya. Mahu jadi anak soleh. Mahu jadi orang yang baik-baik. Mahu berjaya dalam pelajaran. Mahu dapat number satu dalam kelas. Mahu dapat kerjaya terbaik. Mahu jadi akauntan terkenal. Mahu menjadi itu, mahu menjadi ini. Begitulah kemahuan ketika itu. Semuanya yang baik-baik, yang indah-indah, yang molek-molek.
 
Hasilnya, tidaklah kosong. Tapi jika diibaratkan sebagai bekas mengisi barang, bekas itu masih banyak yang belum terisi, banyak ruang yang kosong. Sehingga memilikki angka 65, bekas itu masih belum mampu diisi penuh. Malah ada yang gagal dan tidak mungkin diperolehi untuk dimasukkan ke dalam bekas.
 
Memasuki alam kepabaan, masih lagi punya ideal. Ideal dalam sebuah pembinaan keluarga. Menjadi ketua keluarga terbaik, contoh yang menjadi ikutan insan-insan dibawah naungan. Mahu menghidupkan suasana kehidupan yang bersifat kasih sayang, menghormati dan dihormati dalam hubungan diantara suami dan isteri dan diantara bapa dan anak-anak. Impikan anak yang soleh dan soleha. Mahukan anak-anak memperolehi apa yang gagal diperolehi. Ya, segala-galanya mahu yang terbaik. 

Sekarang saya sudah dapat. Saya sudah dapat angka 65. Namun bekas yang ada pada saya bagi memuatkan ideal dan impian dalam sebuah kehidupan, masih ada ruang yang banyak kosong. Perjalanan masih berterusan dengan izin Allah. Mampukah bekas yang masih banyak ruang itu diisi? Satu pertanyaan untuk saya jawab sendiri kerana selain dari Allah sayalah yang tahu cara dan bagaimana dan barang apa yang perlu diisi. Harap-harap Allah memperkenankan cara, bagaimana dan bahan apa yang bakal saya isi.

Cuma ada satu saja persoalan yang masih melingkari fikiran saya, berpusing-pusing. Dan saya tidak mampu memberi jawapan lantas tidak akan dapat menjadikan bahan isian dalam bekas yang masih kosong itu. Yang mampu hanya isteri dan anak-anak saya saja. Jika bahan isian baik yang dipilih, saya bersyukur, kerana pilihan itu ada kaitan langsung dengan kehidupan mereka semasa bernaung dengan saya. Harap-harap begitulah.
 
Alhamdulillah sekali lagi bersyukur ke hadrat Allah yang mengizinkan saya memilikki angka 65 dan seterusnya melangkah menuju angka yang hanya Allah saja mengetahui. Dan saya pasti saya tidak ingin angka kedudukan dalam kelas yang di panggil angka corot. Dan saya juga sedar saya tidak layak untuk memilikki angka 1 untuk kesyurga. Namun doa dan harapan tetap ada untuk saya, ibubapa saya, isteri dan anak-anak dan sekalian muslimin dan muslimat untuk ke syurga. InsyaAllah, semoga Allah memperkenankan.

 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan