Theflowersellingboy

Jumaat, 23 Ogos 2013

Cermin Mata Saya Hilang: Nasib Baik Wang 10,000 Tak Hilang.

 
 
 
 
Sudah hampir seminggu saya tiada bercermin mata. Entah macam mana cermin mata saya hilang. Tidak tahu hilang dimana. Saya sangat susah hati kerana untuk membuat yang baru sudah tentu kena keluar belanja. Saya percaya tidak kurang dari RM 2000.00, kalau harga cermin mata yang hilang itu dijadikan sandaran. Mana nak cari duit. Wang pencen banyak itu juga. Berbelanja dihari raya, bukan main lagi, kurang sedikit dari orang kaya. Saya jadi pening dibuatnya.
 
Memang saya pening tanpa cermin mata. Berpinar-pinar mata saya bila saya cuba memberikan fokus ketika memandang sesuatu, cuba mengecam apakah benda yang saya pandang itu. Kedua-dua belah mata terpaksa dikecilkan untuk menghasilkan imej yang jelas keatas sesuatu objek itu. Oleh kerana selalu diulang-ulang maka mata menjadi berpinar, kepala jadi pening.
 
Yang paling terjejas sekali ialah kemampuan membaca. Saya tidak mampu membaca dengan baik. Tanpa cermin mata saya telah meletakkan diri saya dalam risiko kewangan yang paling serious.

Begini ceritanya: Sewaktu menandatangani sebuah dokumen penting tentang jual beli saya hanya mampu menandatangani dokumen itu tanpa membaca isi kandungan dokumen itu. Tambahan lagi sipenjual mengatakan bahawa apa yang terkandung dalam dokumen itu adalah sesuatu yang 'standard' bagi semua orang. Saya tidak perlu risau katanya.

Apabila dokumen telah ditandatangani, saya diminta membayar wang tempahan sebanyak RM10,000.00 sebagai tanda saya bersetuju membeli harta itu. Penjual menggesa saya membayar secara tunai atau gunakan kad kredit bagi tujuan bayaran itu. Saya tidak bersetuju membayar secara tunai. Lagipun mana ada orang bawa wang tunai sebanyak itu. Saya juga tidak mahu gunakan kad kredit sebab had belanja kad kredit saya tidak sampai ke tahap RM10,000.00.

Maka sipenjual bersetuju menerima cek persendirian. Sipenjual meminta saya menulis cek atas nama syarikat yang lain dan bukan atas nama syarikat yang memiliki harta itu. Saya mengesyakki sesuatu yang tidak kena dan bertanya mengapa atas nama syarikat lain. Sipenjual menjelaskan ianya telah dipersetujui begitu. 

Oleh kerana harta itu amat menarik dari segi pandangan saya dan isteri maka saya bersetuju untuk mengeluarkan sekeping cek persendirian dengan nilai sepuluh ribu atas nama syarikat yang diberitahu.  Sebenarnya harta itu bukan untuk saya tapi saya mendahului wang buat sementara untuk anak saya yang telah meminta saya mencari harta yang sesuai untuk dibeli. Anak saya akan membuat pinjaman bank bagi membeli harta itu.

Saya masih lagi meragui kenyataan sipenjual tadi. Tiba saja dirumah dengan meminjam cermin mata isteri, saya membaca dokumen yang ditandatangani tadi (nasib baik saya boleh membaca walaupun terasa sakit sedikit). Saya dapati bahawa bayaran hendaklah dibuat atas nama syarikat pemaju  bukan atas nama syarikat yang diberitahu oleh sipenjual itu. Saya amat susah hati.

Seperkara lagi, menurut dokumen itu juga, jika saya batalkan pembelian, wang tempahan yang telah dibuat akan hangus (boleh dirampas) menjadi milik penjual. 

Ya, saya semakin amat susah hati. Tak fasal-fasal hilang wang sepuluh ribu. 

Dalam masa yang sama saya menalipon anak, memberitahu saya telah mendahulukan wang bagi membeli harta itu. Anak saya tidak bersetuju dengan pembelian itu kerana beliau ada rancangan yang lain. "Aduuuuhhhhh, macam mana ni", terkeluar keluhan hati yang amat tertekan.

"Sudah, habislah aku. Macam mana nak cari wang seterusnya untuk membiayai pembelian harta yang berniali lima ratus ribu lebih itu". Begitulah kata-kata dalam hati saya yang tidak dikeluarkan.

Saya tidak layak untuk mendapat pinjaman disebabkan tiada kerja dan faktor usia. Jadi, bagaimana?

Mahu tidak mahu saya mesti batalkan pembelian itu. Bagaimana dengan cek yang telah dikeluarkan itu? 

Saya menalipon penjual itu menyatakan hasrat membatalkan pembelian. Penjual memujuk saya untuk meneruskan pembelian dan meminta saya datang berbincang pada keesokan harinya. Saya tetap dengan keputusan untuk membatalkan pembelian.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi saya bersama isteri telah sedia tercegat dipintu masuk bank. Ketika itu baru pulul 8 pagi. Waktu urusan bank ialah 9.30 pagi. Saya semakin tertekan. Saya mesti mendahului penjual itu dari segi urusan dengan bank. Saya khuatir cek saya telah di'bank-in' dimana-mana mesin ATM mendahului urusan pembatalan yang akan saya buat.

Seorang pegawai bank yang mengenali saya mengucapkan selamat raya sebaik saja melihat saya. Saya mengambil peluang untuk meminta pegawai itu mengambil tindakan untuk tidak melepaskan cek tersebut walaupun waktu bekerja bank akan bermula satu setengah jam lagi.

Pegawai bank itu menyatakan bahawa ianya boleh dilakukan dengan mengisi borang tertentu. Dan meminta saya berbuat demikian apabila bank memulakan urusniaga pada pukul 9.30 pagi. Beliau meredakan kerisauan saya dengan menyatakan bahawa paling cepat cek akan boleh ditunaikan (clear) dalam tempoh 2 hari.

Apabila bank memulakan urusniaga, saya dengan segera melakukan seperti yang dinasihati pegawai bank itu. Pegawai bank menasihati saya untuk memberitahu penjual tentang tindakan saya membatalkan  cek saya itu dan meminta agar cek itu tidak di'bank-in'. Kalau cek itu di'bank-in' juga saya akan didenda sebanyak sepuluh ringgit.

"Kena denda, kena dendalah, asalkan wang sepuluh ribu itu selamat", begitulah kata-kata saya kepada pegawai bank itu.  

Banyak hari saya cuba mengingatkan dimana agaknya saya tertinggal cermin mata itu. Kali terakhir saya menanggalkan cermin mata ialah semasa bersolat Asar di R&R Seremban arah selatan. Mungkin tertinggal disana semasa mengambil wudu'. 

Tapi saya masih merasakan, cermin mata itu saya pakai setelah selesai solat. Maknanya cermin mata itu tidak tertinggal di R&R. Tapi dimana ye? Puas merata cari di rumah tak jumpa juga. 'Give up'. Baik buat cermin mata baru. Kalau tidak tertipu lagi.
 
Semasa bersiap-siap ke kedai untuk tujuan membuat cermin mata, isteri memberi tahu ada cerita baik. Dia akan beritahu jika saya memberi upah. Maksudnya bagi hadiah wanglah. Saya kata tak ada masalah. "Cermin mata abang dah jumpa dibawah sofa". Rupanya disitu hilang cermin mata saya itu, dibawah sofa yang menjadi tempat duduk sama ada untuk berihat atau menulis.    

Alhamdulillah, cermin mata dah jumpa, wang sepuluh ribu tak hilang. Bolehlah terus berblogging.

Cuma satu persoalan yang sedikit mengganggu. Mengikut dokumen yang telah ditandatangani, wang tempahan akan hangus/dirampas jika pembelian tidak diteruskan. Tapi apa yang penjual boleh rampas. Saya bayar dengan cek. Cek pun telah ditarik balik.

Mungkin penjual akan mengambil tindakan undang-undang kerana saya telah melanggar satu daripada syarat dalam dokumen jual beli yang saya telah tandatangani. Ini semua fasal cermin mata yang hilang.

Jika penjual bertindak begitu saya juga ada alasan: i) penjual tidak menerangkan kepada saya akan akibat bayaran tempahan akan dirampas jika saya tidak meneruskan pembelian, ii) menurut dokumen , cek mesti dikeluarkan atas nama pemaju, bukan atas nama syarikat lain.

Maknanya saya juga akan terpaksa guna khidmat peguam.

Pengajarannya ialah jangan mudah-mudah percaya cakap orang terutama kata-kata serta janji dari penjual; baca dan faham betul-betul apa isi kandungan sesuatu dokumen; buat bayar gunakan cek; jangan buat komitmen kewangan pihak lain tanpa mendapat persetujuan pihak berkenaan walaupun pihak lain itu adalah anak sendiri.

Ini bukan kali pertama saya percaya akan kata-kata seseorang yang menyusahkan diri saya. Tak jeran-jeran.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan