Theflowersellingboy

Selasa, 6 Ogos 2013

Kesesakan Di Pasar Menjelang menyambut Hari Raya.

Hari ini, selasa 060813, hari ke 28 berpuasa. 
 
Di pasar besar Melaka pagi ini terlalu ramai orang, sesak barat untuk membeli keperluan hari raya. Tempat letak kereta penuh. Namun kereta masih lagi masuk ke kawasan tempat letak kereta yang sudah penuh itu. Banyak yang berhenti dan meletakkan kereta dikawasan laluan sehingga menyempitkan laluan. Bukan saja menyempitkan laluan tetapi menghalang pergerakan lalu lintas.

Dalam pasar pun sama juga, penuh sesak. Penuh sesak dengan pembeli dan peniaga. Yang membuat belian seorang saja tetapi yang datang menemani lebih dari seorang, menambah sesakkan pasar itu. Manakala bilangan peniaga pada hari ini lebih ramai dari hari biasa terutama peniaga yang menjual kuih raya. Tiada ruang yang kosong sehingga menyempitkan laluan dalam pasar itu.

Maka terjadilah kesesakan yang melampau. Diluar kecoh dalam pasar pun kecoh.
 
Siapa yang buat sesak? Siapa yang buat kecoh? Jawabnya kitalah yang buat sesak dan buat kecoh.
 
Kita itu bermaksud pembeli dan peniaga dipasar besar Melaka. 
 
Sepatutnya kita pembeli tidak membawa ramai orang ke pasar. Paling banyak 2 orang jika yang seorang itu tidak pandai memandu.  Yang terbaik seorang saja. Ini tidak, habis anak isteri, datuk nenek dan cucu diangkut bersama. Manakan tak sesak.

Bilangan peniaga hari ini terlalu ramai dari hari biasa. Mengapa jadi begitu? Jawabnya mengambil peluang mendapat rezeki tambahan menjelang menyambut hari raya. Ini satu usaha yang baik dan mulia. 
 
Tapi ada yang tidak kena dengan peniaga ini. Rupa-rupanya ada peniaga yang tidak berlesen. Merekalah yang menambah bilangan peniaga disamping peniaga yang berlesen yang sedia ada. Tidak ada lagi sistem berniaga mengikut pelan susur atur. Lintang pukang. Mereka ambil saja ruang dipasar itu sehingga boleh menyempitkan laluan. Menjual kuih raya pun berhampiran dengan gerai jual ikan. Jadi hanyirlah kuih itu.

Kelihatan penguatkuasa bandar raya meminta salah seorang dari peniaga itu menunjukkan lesen. Nampaknya peniaga itu tiada lesen. 

Saya pasti kalau diambil tindakan ianya mungkin akan menimbulkan salah faham sebahagian pihak orang ramai terhadap penguatkuasa itu. Mungkin penguatkuasa itu dikatakan tidak bertimbang rasa keatas orang yang hendak cari rezeki halal apatah lagi dalam bulan puasa.

Tapi kalau dibiarkan, jadilah keadaan sesak yang kita tidak ingini itu. Jadi peniaga seperti itu adalah juga penyebab kepada kesesakan dan juga pihak yang tidak mematuhi undang-undang.

Kesesakan di luar pasar itu juga adalah disebabkan kita yang tidak mematuhi undang-undang lalulintas. Berhenti dan menunggu sesuka hati sehingga menjadi penghalang laluan. Bila penguatkuasa bandaraya bertindak dengan mengarahkan pemandu kereta bergerak dan mengalihkan kereta yang menjadi penghalang laluan keadaan laluan pulih semula.

Jadi saya lihat sebahagian besar dari kita tidak mengamalkan disiplin diri dan suka melanggar undang-undang. Dalam masa yang sama kita juga mahukan keadaan yang tidak sesak. Kita mahu ketenangan. 

Pelik tak kita ni? Saya rasa tidak pelik. Ini adalah ciri-ciri sebahagian dari kita rakyat Malaysia. Kita masih terkebelakang dari segi disiplin diri (kawalan dalaman) dan pematuhan undang-undang. Kita perlukan kawalan luaran melalui undang-undang dan penguatkuasaan. 

Apabila adanya penguatkuasaan ianya menimbulkan reaksi tidak suka dan marah dari setengah dari kita. Dan ada juga penguatkuasaan itu boleh dipatahkan dengan rasuah.
 
Kitalah sebenarnya yang menjadi sumber wujudnya atau timbulnya sesuatu keadaan atau berlakunya sesuatu hal seperti kesesakan di pasar besar Melaka pada hari ini. 
 


 
 



 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan