Theflowersellingboy

Khamis, 22 Ogos 2013

MAKAN DACING




'Makan Dacing' , satu istilah yang telah lama saya dengar dalam hal timbang menimbang. Saya mendengarnya semasa mengikut sama emak saudara menghantar susu getah  torehannya ke kedai seorang tauke China. Waktu itu saya berusia 8 tahun.

"Tauke jangan makan dacing eee", diantara kata-kata yang yang saya boleh ingat yang keluar dari emaksaudar saya itu. Tauke itu tersenyum, sambil meyakinkan kepada emak saudara saya bahawa dia bukan orangnya untuk berbuat begitu.

"Lu sudah kenal saya belapa lama. Jangan takut", mudah saja tauke itu menyakinkan emak saudara saya itu. Emak saudara saya memberikan senyuman semacam berpuas hati dengan kata-kata tauke itu. 

Saya ingin tahu apa itu makan dacing. Saya tahu ianya bukan seperti kita makan nasi atau mengunyah makanan. Dia bukan masuk dalam mulut. Tapi apa itu makan dacing.

Emak saudara saya memberitahu bahawa makan dacing itu adalah menipu berat timbangan. Kurang berat maknanya tauke akan bayar kurang wang. Yang untung tauke. Yang rugi penjual seperti emak saudara saya itu.

Tapi mengapa boleh tertipu timbangan sedangkan tauke membuat timbangan didepan penjual?

"Oooo macam-macam dia boleh buat. Dia gunakan jari untuk mengawal dacing. Macam-macam. Orang Cina ni pandai. Depan mata kita pun dia boleh tipu", emak saudara saya menjelaskan.

Saya pula ketika itu tidak pasti sama ada emak saudara saya tahu membaca skil timbangan di dacing itu. Mungkin dia tahu, sebab itu dia boleh meminta supaya tauke itu tidak makan dacing. Mungkin juga dia tidak tahu membaca timbangan. Dia hanya mendengar orang lain mengatakan makan dacing , dia pun turut mengingatkan tauke itu agar tidak melakukannya, agar dia tidak menjadi mangsa, sekurang-kurangnya dia berpuas hati mendapat pengakuan dari tauke itu yang tidak akan berbuat begitu.

Sama ada emak saudara saya faham dalam soal timbang menimbang atau sebaliknya, perkara makan dacing ini saya percaya memang berlaku. Penafian tauke itu bahawa dia tidak melakukan makan dacing itu mengesahkan perbuatan makan dacing itu memang berlaku.  

Emak saudara saya memberitahu bahawa dikalangan masyarakat tauke itu, mereka yang makan dacing adalah dianggap seseorang yang pandai dalam berniaga. Ianya satu kebijaksanaan dalam perniagaan, bukan sesuatu yang salah.

Itu cerita lama.

Cerita yang terbaru tentang makan dacing ini ditimbulkan oleh seorang kawan semasa saya mengunjung ke rumahnya pada hari raya ini. 

Kami bersembang tentang kerja kami selepas bersara dari perkhidmatan. Masing-masing nampaknya bersara penuh tanpa membuat kerja yang memberikan pendapatan tambahan. Cuma kawan saya itu menyatakan bahawa dia mempunyai hasrat untuk memohon lesen timbang dari Risda untuk membeli hasil getah dari pengusaha dan pekebun getah. 

Tapi hasratnya tidak menjadi kenyataan apabila beliau dinasihatkan oleh pegawai Risda supaya tidak usah menceburkan diri dalam bidang ini kerana tidak akan mampu bersaing dengan orang Cina. Kemungkinan besar lesen yang diperolehi akan di berikan kepada tauke Cina. 

"Haji takkan nak makan dacing?" Begitulah nasihat dalam bentuk pertanyaan yang keluar dari pegawai Risda itu. Maka matilah hasrat kawan saya itu untuk memohon lesen timbang dari Risda itu.

Maknanya pegawai Risda itu sendiri mengakui bahawa makan dacing itu memang wujud, memang dilakukan oleh pemegang lesen yang dikeluarkan oleh Risda itu.

"Mengapa tidak diambil tindakan?" Tanya saya kepada kawan saya itu.

"Susah bang nak buktikan. Tauke ni pandai", jelas kawan saya itu.

Kami terus bersimbang hal makan dacing ini. Masing-masing rasa kesal kerana gejala penipuan dalam timbangan ini walaupun diketahui tapi masih lagi berterusan. Pihak berkuasa pun tidak mampu untuk menghalang perbuatan penipuan ini. 

Yang paling malang sekali ialah apabila pegawai Risada itu menyatakan orang Melayu tidak akan mampu bersaing dengan orang Cina. Sebab  bagi orang Melayu makan dacing adalah berdosa. Makan dacing bukan sesuatu yang dianggap pandai dalam berniaga. Jadi penyelesaian dari pegawai Risda itu ialah jangan terlibat dalam perniagaan timbang menimbang. Pencen sajalah, kalau dah pencen. Jangan buat dosa untuk menipu berat timbangan. Jangan Makan dacing.

Satu hal yang menarik dihujung perbualan kami ialah apabila kawan saya itu menyatakan bahawa pada saat untuk menyambut hari raya dan pada hari rumah terbuka maka banyak hamper-hamper dari tauke-tauke yang makan dacing itu mengisi ruang rumah pegawai yang berkenaan.

"Sebab itulah kita tidak boleh makan dacing", kata kawan saya itu.
Rupa-rupanya makan dacing ini berlaku dari dulu , kini dan nampak gayanya selama-lamanya.
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan