Theflowersellingboy

Khamis, 15 Ogos 2013

SIAPA SEBENARNYA YANG MEMBENCI DAN MENGHINA ISLAM?

 
 
 
Takut Islam? Islamophobia? Siapakah agaknya yang takut dengan Islam sama ada terhadap orang Islam atau agama Islam itu sendiri. Siapa?
 
Mungkin ada yang menjawab yang takut dengan Islam ialah orang bukan Islam atau negara bukan Islam.  
 
Jawapan seperti ini mudah difahami kerana logiknya begitulah bahawa seseorang itu mestilah lebih sayang dan sukakan agama yang mereka anuti dan memandang sepi atau serong dengan berbagai perasaan negatif seperti curiga , benci dan marah keatas orang Islam dan negara Islam. Bukan saja perasaan bahkan tindakan yang mereka lakukan juga bersandarkan perasaan tidak senang keatas Islam itu sendiri. 
 
Lantas apa saja yang ada label Islam menjadi musuhnya. Hukum dan undang-undang Islam misalnya menjadi bahan celaan mereka. Nabi Muhammad SAW sudah menjadi lumrah untuk dihina mengikut suka hati dan pada bila-bila masa dalam berbagai bentuk hinaan yang mereka boleh fikirkan. Al-quran, kitab suci orang Islam sudah kerapkali diperlekehkan.
 
Saya tidak hairan semuanya itu. Dan sekali lagi saya katakan bahawa perasaan tidak suka orang bukan Islam itu terhadap Islam mudah saja kita fahami.
 
Bagaimana pula dengan orang yang mengaku Islam. Atau mendakwa negara mereka sebagai sebuah negara Islam?  Adakah mereka ini juga sayangkan Islam? Atau tidak benci dengan Islam? Atau tidak marah dengan agama Islam? Atau tidak memandang remeh dan kecil undang-undang dan hukum Islam?
 
Orang Islam dan negara Islam ( yang majoriti rakyatnya beragama Islam) sudah tentu tidak takut pada Islam, mengikut kepercayaan ramai orang terutama orang Islam sendiri. Mereka sayangkan Islam. Bahkan orang Islam di negara majoriti Islam itu dengan bangga mendakwa mereka adalah sebuah negara Islam walaupun perlaksanaan undang-undang dan hukum Islam tidak pernah dilaksanakan atau dilaksanakan secebis-secebis saja menurut fahaman yang tidak berteraskan Islam. 
 
Maknanya walaupun perlaksanaan hukum Islam itu tidak sebenarnya berlaku atau kehidupan cara Islam itu tidak sebenarnya diamalkan , orang Islam terlalu amat sensitif dan marah jika Islam dipermainkan terutama yang melakukannya adalah orang bukan Islam. 
 
Tapi jika yang menghina Islam itu orang Islam sendiri kemarahan dan hukuman yang dikenakan keatas orang itu bergantung kepada kedudukan dan pengaruh orang yang melakukan penghinaan itu. Kalau dia tiada kedudukan dan pengaruh dan kalau dia bukan ketua dan dikalangan pimpinan agama Islam, dia dengan mudah dan segera dihukum. Sebaliknya pula akan berlaku jika Islam dengan secara jelas dihina dan diperlekehkan.
 
Pernahkah anda melihat atau mendengar orang biasa yang tidak berpuasa yang makan secara terbuka ditangkap dan dibawa kedalam kereta mayat? Saya pernah dengar dan lihat.
 
Pernahkah anda melihat dan mendengar orang Islam yang berkedudukan tinggi meminum arak secara terbuka dalam berbagai majlis? Saya tidak pernah melihat cuma pernah mendengar. Tapi saya tidak pernah mendengar orang itu ditangkap oleh penguatkuasa agama Islam.

Tahukah anda orang Islam yang berniaga dalam bidang perjudian (mempunyai ekuiti dalam syarikat perjudian) dan arak? Saya tidak tahu tapi pernah diberitahu bahawa memang ada orang Islam seperti itu. Ini hanya cakap-cakap saja (heresay). Tiada bukti yang pasti. Yang saya pasti, tiada tangkapan atau hukuman yang dikenakan. Maknanya heresay sajalah.

Sama ada mereka itu tidak berpuasa atau terlibat dalam perniagaan haram, jangan pula ada pihak terutama yang bukan Islam cuba-cuba menghina agama Islam misalnya memperlekehkan al-quran. Boleh berperang jadinya. Paling kurang, berdemonstrasi pada setiap hari membakar, patong buatan sendiri yang berwajahkan mereka yang menghina Islam itu. Begitulah caranya mereka menunjukkan sayang  terhadap Islam.

Jadi yang takutkan Islam dan orang Islam ialah orang bukan Islam. Ini amat jelas sekali. Dari segi negara kita mudah kenalpasti misalnya negara Israil dan orang Yahudi, Amerika Serikat, dan sebahagian besar negara Eropah. Sebab itulah negara-negara ini tidak pernah mahu menyelesaikan kebuntuan pewujudan negara Palestin. Bermacam-macam halangan diada dan dikenakan. 
 
Bagi saya sampai kiamatpun saya tidak akan pernah percaya Amerika mahukan keamanan di Timur Tengah khususnya untuk mewujudkan negara Palestin yang merdeka dari cengkaman Israil. Tukarlah parti politik dan presiden Amerika, dasar kebencian terhadap Islam akan sentiasa berkekalan.

Sekarang ini mereka mengganggu gugat kerajaan pilihan rakyat Mesir pimpinan Muhmmad Mursi. Mereka tidak mengecam rampas kuasa tentera yang menghancurkan demokrasi yang selama ini menjadi asas sokongan mereka bagi sesebuah kerajaan. Dan amat malang sekali ada negara Islam yang bersama-sama dengan Israil dan Amerika terlibat dalam menjatuhkan Mursi. Kerana apa? Bukan kah kerana pengaruh Ikhwanul Muslimin dalam pimpinan Mursi? Saya yakin ada kena mengena dengan kebangkitan Islam.

Jadi siapa kah sebenarnya yang takut dan bencikan Islam? 
 
Bagi saya yang takut dan bencikan Islam ialah mereka yang ada kepentingan. 
 
Bagi yang Islam mereka tidak mahu Islam itu menjadi satu cara hidup yang boleh mengancam keseronokan dan kegilaan kehidupan harian mereka yang bersalahan dengan undang-undang dan hukum Islam. Cuma yang berbeza ialah orang Islam yang tiada pengaruh dan kuasa akan lebih mudah dan cepat dihukum jika melanggar undang-undang Islam berbanding dengan yang sebaliknya. Mereka yang sebaliknya bebas sebebasnya malah terlibat sama dalam menjatuhkan hukuman.
 
Bagi yang bukan Islam penentangan dan kebencian mereka adalah jelas sekali. Islam adalah musuh seumur hidup mereka. Dan kita jangan hairan dengan sikap dan sifat kebencian mereka terhadap Islam sehingga hari kiamat itu kerana ada orang Islam juga yang bersama mereka untuk membenci dan menggugat kekuatan Islam. Mereka dengan mesra menjadi tali barut bukan Islam. Contoh? Apa yang berlaku diPalestin dan Mesir. Contoh dalam negara? Fikirkanlah sendiri. 
 
Saya cuma dapat berkata bahawa mereka itu tidak wajar marah jika ada orang bukan Islam menghina Islam. Itu saja contoh saya. Fikir-fikirkanlah. 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan