Theflowersellingboy

Isnin, 26 Ogos 2013

Jenayah dan Keadilan Sosial

 
 
 
Jenayah, jenayah, jenayah. Perlakuan  yang nampaknya semakin mewarnai dalam kehidupan kita di negara ini. Ianya bukan satu warna warni yang cantik yang menjadi idaman kita semua. Warnanya semakin cenderung mengarah kepada kelam, gelap dan menghitam, jika ianya tidak diurus secara baik, tegas dan berani.
 
Sudah tentu kita tidak mahu  suatu hari nanti perlakuan jenayah ini akan menjadi suatu kebiasaan dan diterima seadanya. Kita tidak mahu ramai orang tidak ambil peduli. Kita juga tidak mahu akan sikap dan tutur kata, 'Lantaklah ,apa nak jadi, jadilah'.
 
Maknanya kita semua mesti ambil peduli. Bukan saja bersikap dan menuturkannya bahkan bertindak untuk menzahirkan kepedulian kita itu.
 
Jenayah. Saya berbicara tentang berbagai jenis jenayah. Terlalu panjang untuk disenaraikan.
 
Jenayah salah guna kuasa, penyelewangan dari amanah, rasuah, pemerdagangan manusia, penipuan dan pembohongan, putar belit isu dan fakta, putar belit tafsiran al-quran dan hadis untuk kepentingan diri dan kelompok, fitnah, penyaksian palsu atau lidah bercabang, pangaliran wang haram, membunuh dengan berbagai cara dan peralatan senjata, peras ugut, mendera dan menyiksa, merompak, meragut, dan berbagai lagi bentuk perlakuan jenayah. 
 
Semua bentuk JENAYAH PERLU DIHAPUSKAN!
 
Bagaimana? Jawapannya ada pada setiap dari kita: Semua kita jangan lakukan jenayah.
 
Tapi itu jawapan dari malaikat, bukan dari manusia. Manusia mempunyai sifat , sikap, perangai, nafsu , kemahuan, cita-cita dan apa saja, selama ianya bernyawa, yang berbentuk rencam , pelbagai dan tidak mudah dibaca dan difahami, yang ditunjangi oleh kepentingan diri.
 
Maknanya menghapuskan perlakuan jenayah tidak semudah seperti apa yang dituturkan, jika ianya melibatkan manusia. Kalau harimau atau binatang yang mengganas, kita tangkap atau tembak saja, habis perkara. Tapi jika manusia yang mengganas dan membunuh orang, kita perlu tangkap, siasat, dakwa dan seterusnya dibicara dibawah sesuatu peruntukan undang-undang untuk menentukan salah benarnya orang itu.
 
Tapi menyiasat, mendakwa dan membicara serta menjatuh hukum orang yang dituduh itu  juga tidak kesemuanya dilakukan atau dapat dilakukan dengan bebas tanpa berbagai gangguan, halangan dan campur tangan. Malah ianya boleh melahirkan perlakuan jenayah yang lain pula, dalam bentuk campur tangan dan penyalahgunaan kuasa bagi melindungi perlakuan jenayah yang dilakukan oleh pihak berpengaruh, berkuasa dan berkepentingan. 
 
Jadi jenayah tetap akan berlaku, dilakukan oleh manusia tidak kira kelas, kedudukan, agama, bangsa , taraf sosial atau latarbelakang manusia itu, yang  bertujuan bagi melindungi kepentingan pelaku jenayah itu. 

Soalnya mana satu manusia yang tidak mementingkan diri sendiri untuk hidup. Saya belum terjumpa. Dan saya juga termasuk dalam golongan yang mementingkan diri sendiri. 
 
Nampaknya kenyataan diatas sebagai satu kenyataan yang mengalah. Mengalah kepada pelaku jenayah. Inilah yang dikatakan sikap: lantaklah, apa nak jadi, jadilah.
 
Tidak, saya sekali-kali tidak bersetuju dengan sikap itu. Seperti yang saya  katakan diatas, kita mesti ambil peduli. Kita mesti bersama-sama menentang jenayah  dan menghapuskan jenayah. Bagaimana? Sebab itu saya katakan jawapan ada pada setiap dari kita: Jangan lakukan jenayah.

Benar, itu jawapan dan pengakuan serta perlakuan yang mampu diberi dan dilakukan oleh malaikat, dan  bukan oleh manusia. Tapi bertolak dari keinginan untuk tidak melakukan jenayah itulah kita mampu melahirkan perasaan rasa bersalah untuk terlibat dalam jenayah. Kita ingat akan dosa dan pahala. Kita ingat akan syurga dan neraka. Maknanya ada ruang masa kita sediakan untuk berfikir  baik buruknya perbuatan kita.

Benar, ianya tidak semudah apa yang diperkatakan. Tapi ianya paling kurang melewat atau menangguhkan kita untuk melakukan jenayah. Mungkin dalam masa tertangguh itu, rumah kita dirompak dan harta kita, termasuk wang dicuri dan dilarikan, serta kita dan keluarga diseksa. Maka sudah tentu terdetik dihati kita akan kebencian dan marah kita terhadap pelaku jenayah itu.
 
Maka hasrat untuk melakukan jenayah sudah tentu bertukar menjadi keazaman untuk menentang jenayah. Sebab kita mulakan dengan memasang niat untuk tidak melakukan jenayah. Niat baik yang selalu menjadi godaan nafsu dan syaitan.

Mengapa niat yang baik itu selalunya tewas. Saya tidak pasti sebabnya yang sebenar. Tapi saya percaya tewasnya niat baik kita itu adalah disebabkan antara lainnya kesan daripada perasaan kecewa dan tidak puas hati akan kegagalan pihak berkuasa dalam menguruskan keadilan sosial (the administration of social justice) dikalangan rakyat.
 
Cuba kita renungkan atau lebih baik dapatkan statistik tentang satu hal saja seperti dibawah ini:
 
Pendapatan isi rumah orang miskin berbanding dengan orang kaya.
 
Lihat cara dan bagaimana orang berpendaptan rendah, katakan bergaji RM 1000.00 menjalani kehidupan di Kuala Lumpur . Lihat kediamannya, lihat keperluan mendapat rawatan kesihatan, lihat dimana tempat asuhan anak-anak, lihat penghantaran anak-anak kesekolah, lihat belanja anak-anak itu, lihat pakaian anak-anak itu, lihat peluang anak-anak itu untuk menghadiri kelas tambahan, lihat pembaziran makanan yang dilakukannya? dan banyak lagi perkara yang anda mesti lihat.
 
Kalau anda adalah orangnya, anda perlu bersabar. Jangan anda bandingkan dengan kehidupan orang yang berpendapatan tinggi. Kalau tidak anda  akan cenderung melakukan perbuatan jenayah, mencuri wang bagi menampong ketidakcukupan pendapatan anda itu kerana anda cuba mahu merasa sama apa yang anda fikir dan lihat orang kaya merasanya. Cuma anda tidak mampu membazir makanan seperti yang dilakukan oleh orang kaya.

Saya faham anda terlalu marah dan kecewa. Tapi jangan melakukan jenayah.
 
Bagiamana dengan penyelewengan pihak berkuasa, rasuah , salah guna kuasa dan yang sejenis dengannya. Sudah tentu anda kecewa. Tapi jangan pula anda bertindak sebagai penjenayah berganding bahu sama melakukannya. Ingat perlakuan jenayah itu bukan saja membunuh.
 
Sekali lagi saya faham perasaan anda itu. Anda sebenarnya perlu mendapat layanan tidak jauh bezanya seperti orang kaya, seperti orang yang berpengaruh dan seperti orang yang ada kuasa. Tapi sehingga kini ianya masih lagi dalam igauan anda. Itulah sebabnya anda kecewa dan marah- tiada keadilan sosial.  
 
 
 
    
 
 
 
  
 
 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan