Theflowersellingboy

Ahad, 4 Ogos 2013

Penyakit Malaysia.

 
 
Berbagai gejala tidak sihat sedang berlaku di Malaysia pada tahap yang membimbang dan merunsingkan. Semua pihak dari yang paling rendah sehingga ke pimpinan negara setidak-tidaknya terlibat dalam memperkatakannya. 
 
Sebenarnya keadaan tidak sihat ini sudah lama berakar umbi. Ianya telahpun berlaku dahulu lagi. Pada masa ini dan pada tempoh terdekat kebelakang ini ianya lebih menyerlah. Cuma dahulunya berita mengenai keadaan tidak sihat itu tidak mudah dicapai oleh banyak orang kerana media sebarannya terlalu terhad dan belum maju lagi.
 
Maksud Malaysia yang tidak sihat itu ialah Malaysia yang sakit, semua rakyatnya yang sakit, tidak terkecuali. 
 
Benar ada berbagai penyakit yang boleh membunuh seperti hiv aids, kanser, sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Tapi sakit yang sedang menyerang Malaysia ini serangannya lain sekali. Ia tidak semestinya menunjukkan pesakit itu mengalami kekurangan daya tahan, kurang tenaga, sakit dada atau sakit kepala.
 
Sesungguhnya rakyat Malaysia sedang sakit. Tenat atau separuh tenat atau masih agak ringan, terpulang kepada sikap masing-masing untuk menentukannya. Tapi bagi saya walau apa pun tahap sakit yang sedang rakyat Malaysia idapi ketika ini, ianya perlu segera diatasi. Jika dibiarkan begitu saja, akibatnya lebih teruk dari serangan sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kanser atau hiv aids.   
 
Penyakit ini adalah penyakit berkaitan hati. Bukan hati yang seketul dalam badan kita itu. Ianya tentang rasa atau perasaan. Tentang sikap terhadap orang lain. Tentang sikap kita yang menggunakan ukuran negatif terhadap orang lain. Kita marah, kita benci, kita tidak puas hati, kita kecewa, kita ego, kita merasa rendah diri, kita rasa hebat , dan kita segala-galanya.
 
Ada orang lebih suka menggunakan sakit yang berkaitan dengan hati ini sebagai sakit jiwa. Saya cuba mengelakkan dari menggunakannya sebab orang yang hatinya sakit itu masih lagi boleh berfikir secara rasional dan logik, boleh memimpin dalam berbagai jenis dan tahap kepimpinan dan ada yang mempunyai latarbelakang pengajian moral dan agama yang tinggi.

Sebermula tertegaknya penyakit ini adalah berpaksikan kepada 3 tiang iaitu Tiang Ekonomi, Tiang Kuasa dan Tiang Status. Paksi ini beroperasi atas dasar perbezaan atau tidak kesamaan diantara dua pihak. Maka dari situ tersemailah sedikit demi sedikit sifat, sikap dan tindakan yang hanya melihat kepada kepentingan diri. Lama kelamaan ianya akan membentuk perasaan yang lebih cenderung kepada perbezaan, pengasingan, berjauh diri dan rasa benci.
 
Orang yang tiang ekonominya tidak kuat, tiada kuasa dan tiada status adalah orang yang paling mudah pesaraannya tersentuh dan dipermainkan. Jauh hati, mudah kecewa, sakit hati, meluat, dan rasa benci. Yang menjadi malang sekali ialah mereka yang teguh ekonomi, ada kuasa dan status, selalu mudah lupa akan kepentingan untuk bersama dengan orang yang sebaliknya. Bahkan mereka menyalahgunakan ketiga-tiga paksi itu sehingga sanggup menolak  sehingga ke dinding mereka yang tiada apa-apa kekuatan itu, menjadi sesak untuk bernafas. Kalau tidak ditolak , disuapnya.
 
Orang yang tiada apa-apa kekuatan itu juga mudah dipujuk, dirayu dan diambil hati atau dalam bahasa biasa mereka boleh saja dibeli. Malang sekali mereka yang mempunyai kekuatan tadi sentiasa menggunakan kesempatan untuk melakukannya, bukan dengan niat untuk membantu tetapi untuk sentiasa kekal pada kedudukan dan tahap kekuatannya.  
 
Adakah penyakit ini penyakit diantara orang miskin dan orang kaya?   Dan diantara yang berkedudukan sosial tinggi serta berkuasa dengan yang sebaliknya? 
 
Benar, tapi tidak semuanya benar.
 
Sebenarnya saya merojok kepada isu-isu yang hangat ketika ini. Antaranya ialah penghinaan terhadap agama oleh orang berlainan agama dan yang sesama agama, perlakuan jenayah bunuh, keretakan dalam hubungan antara kaum, dan moral masyarakat yang membimbangkan.

Bagi saya punca segalanya itu adalah disebabkan perasaan tidak puas hati, kecewa sehingga melahirkan bibit-bibit kebencian dan sikap penting diri yang puncaknya ialah tindakan ganas disebabkan kemarahan yang tidak tertahan lagi.

Kita ambil cerita tentang penghinaan terhadap agama. Ini bukan satu perkara baru khususnya di Malaysia. Perkara ini dilakukan bukan saja oleh orang berbeza agama malah dilakukan juga oleh yang satu agama. 
 
Ada orang Islam yang bebas minum arak secara terbuka. Mengadakan majlis dengan hidangan arak. Ada orang bukan Islam memperlekehkan Islam secara terang-terang dan terbuka yang boleh ditonton dan didengar oleh jutaan orang manusia. Ada orang Islam yang memperlekehkan agama orang lain. Dan ada orang Islam memperlekehkan  Hukum Islam.
 
Perbuatan menghina agama tidak wajar berlaku dan dilakukan oleh sesiapa saja sama ada menghina agama sendiri atau agama orang lain kerana kesannya amat buruk kepada keharmurnian hidup dan keselamatan negara. Dan jika ianya berlaku maka tindakan menyiasat, mendakwa dan membicarakan pihak yang berkenaan itu wajar dilakukan. Saya percaya kita ada undang-undang untuk berbuat demikian.

Cuba lihat video berbuka puasa dengan bak ku teh. Dua rakyat Malaysia yang katanya hanya mahu bergurau itu telah pun disiasat dan didakwa. Ini adalah satu tindakan yang betul. Tapi tidak semuanya betul.
 
Kemudian lihat pula video dari seorang Islam yang merayakan idilfitri bersama anjing. Ini telah dikatakan jatuh sebagai menghina Islam . Telah pun didakwa. Satu tindakan yang betul . Tapi tidak semuanya betul.
 
Apa lagi? Banyak. Ada video orang politik serta kepimpinan politik yang menghina agama. Ada tindakan? 
 
Ada anak gadis Islam di Kuantan yang minum arak dan telah dihukum. Ertinya ada tindakan.
 
Contoh-contoh diatas sudah cukup bagi saya membuktikan bahawa perasaan benci dan marah ini adalah punca kepada segala perbuatan-perbuatan itu.
 
Mengapa orang politik dan kepimpinan politik itu tidak disiasat dan didakwa? Sebab mereka ada kuasa dan berpengaruh.
 
Orang yang ekonominya mantap, kuat , kukuh, teguh adalah juga orang kaya. Orang kelompok ini tidak ada masalah untuk melepaskan diri dari penguatkuasaan ke atas kesalahan yang dilakukan. Saya ambil contoh yang paling mudah. Orang kaya ini pergi ke sebuah pejabat untuk sesuatu urusan (pandu sendiri). Tempat parking kereta terhad dan sudah pun berisi semuanya. Tapi dengan wang yang ada mudah saja orang itu mengatasinya.  Diberikannya wang kepada pengawal keselamatan. Maka dapatlah dia tempat untuk meletak kereta.
 
Contoh itu terlalu mudah (simplistic). Tapi maksudnya ialah orang berduit boleh melakukan apa saja diluar batasan undang-undang/peraturan. Dan mereka terlepas dari hukuman.
 
Satu contoh lagi. Seorang pekerja rendah di pejabat tanah yang bergaji RM800 sebulan yang mempunyai 5 orang tanggungan/anak. Gajinya itu tidak mencukupi dalam keadaan kos hidup yang sentiasa meningkat. Beliau sangat mengharap wang tambahan. Dari mana sumber bukan perkara penting.
 
Maka beliau memilih untuk mendapat wang secara rasuah. Ada banyak cara yang beliau boleh lakukan. Antaranya menahan surat kelulusan yang telah ditandatangani ketuanya melainkan jika pihak yang telah diberi kelulusan itu memberikannya sedikit habuan. Ini dilakukan berulang kali kerana gaji tidak mencukupi. Akhirnya dia ditangkap, disiasat, didakwa dan dihukum penjara. Kerana hanya meminta RM10 misalnya. Memang wajar beliau dihukum.

Pernahkah kita dengar mereka yang berkuasa yang terlibat dengan rasuah berbilion ringgit? Ada tindakan?
 
Maka keadaan-keadaan seperti inilah yang menimbulkan rasa tidak puas hati , kecewa sehingga ada yang telah timbul perasaan geram , benci dan berani untuk melakukan kesalahan dan tidak menghormati undang-undang.
 
Kita biasa mendengar rakyat biasa dihukum kerana menghina raja. Pernahkah kita mendengar sebaliknya?
 
Itulah sebabnya saya katakan penyakit yang ada di Malaysia ini adalah penyakit sakit hati dikalangan rakyatnya. Sakit hati kerana sistem keadilannya terlalu pincang dan tempang. Yang dapat melepaskan diri dari pelaksanaan undang-undang adalah mereka yang ekonominya kukuh, berkuasa sama ada kuasa politik yang diamanahkan atau kuasa yang diwarisi turun temurun dan berkedudukan sosial yang tinggi.
 
Jadi pihak yang mencadangkan supaya dikembalikan ISA dan Ordinan Darurat dan Perlaksanaan Undang-undang Islam bagi mengatasi masalah menghina agama, jenayah dan perlakuan moral yang rendah hendaklah juga melihat tentang sistem dan cara perlaksanaan undang-undang yang sedia ada. Kepada siapa agaknya undang-undang itu terpakai jika melakukan kesalahan?

Jawapan saya ialah ianya tertakluk kepada kedudukan ekonomi, kuasa dan taraf sosial seseorang itu.  
 
Cuba lihat bagaimana seseorang yang tidak ada apa-apa misalnya mat rempit apabila ditangkap kerana merempit. Digari tak? Tengok pula orang yang berkedudukan yang menyalahgunakan berbilion wang rakyat dibawa ke balai polis atau mahkamah, misalnya. Dia di gari?

Itulah sebenarnya penyakit Malaysia. Bagaimana untuk memulihkannya? Ianya terletak dan tertanggung keatas bahu kepimpinan kerajaan yang ada dan rakyat perlu sama menyokong. Tapi saya mempunyai keyakinan yang terlalu kecil untuk menggantungkan harapan itu kepada kerajaan yang ada kerana 'kepala ikan yang busuk itu akan melarat sehingga ke seluruh badan ikan itu'.

Jangan salahkan sesiapa. Salahkan diri sendiri kerana kita yang memilih kerajaan. Bukankah kita ini mudah dipujuk, dibujuk, dirayu dan suka disuap sebab siapalah kita kalau tiada mereka yang memberi. Bukankah kita tiada kekuatan ekonomi, tiada kuasa dan tiada kedudukan. Lantas maruah diri itu bolehlah kita perdagangkan! Menyesal? Sesal kemudian, rosak binasa.
 
Yang ada pada kita sekarang ialah berdoalah agar penyakit Malaysia itu tidak merebak tanpa dapat dikawal.


 
 
 
 
 
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan