Theflowersellingboy

Khamis, 22 Ogos 2013

MAS YANG SENTIASA RUGI: Jangan Jual.

Cerita MAS lagi. Tidak pernah selesai MAS yang rugi. Rugi yang memanjang sedang kembarnya SIA yang telah lama berpisah merekodkan keuntungan-untung memanjang. 

Apa yang tidak kena dengan MAS ini? Soalan mudah yang keluar dari banyak mulut. Ada yang marah-marah dan kehairanan. Ada yang gatal-gatal mulut mahu terlibat sama bertanya sedang untuk mencadangkan penyelesaian jauh sekali. Ada yang bertanya bermotifkan politik. Dan ada yang sebenarnya bertanya untuk mencari jawapan dan mencari jalan penyelesaian. 

Solannya mudah: Apa yang tidak kena dengan MAS?
Ini bukan soalan baru. Cuma penyelesaian keatas kerugian yang dialami MAS itu belum lagi dapat dicari walaupun pengurusan MAS bertukar ganti. Rugi , rugi dan terus rugi.

Khabarnya pada awal operasi MAS, syarikat itu meraih keuntungan.  Maknanya MAS boleh meraih keuntungan. Tapi macam mana? Apa yang perlu dilakukan?

Bagi orang yang berfikiran singkat jawapannya mudah saja. Tutup kedai. Buat apa teruskan kalau rugi. Habiskan wang rakyat saja. 

Orang seperti diatas tidak mengambil kira kesan dari pemberhentian operasi MAS itu. Banyak yang negatif dari positif. Tapi itu adalah diantara pilihan yang boleh diambil. Cuma pilihan itu dikatakan kurang rasional oleh setengah pihak terutama di pihak kerajaan.

Ada satu lagi pilihan yang boleh diambil untuk mengubat sakit MAS ini. Pilihan ini sentiasa dianggap mujarrab dalam menyelesaikan beban kewangan. Swastakan saja MAS itu. Biar MAS diurus oleh pihak swasta sepenuhnya. Kerajaan tidak perlu ada dalam MAS. Ertinya jualkan saja MAS itu kepada pihak swasta yang berminat. 

"Kerajaan tidak perlu berniaga kerana itu bukan tugas kerajaan", kata mereka yang bersetuju bagi MAS dijual dan diuruskan oleh pihak swasta. 

Betul juga hujah itu. Mengapa kerajaan mesti terlibat dalam perniagaan?

Tapi ada pihak yang mempertahankan agar MAS tidak dijual dan diswastakan. Antara alasan ialah untuk menjaga imej negara. MAS membawa nama negara. Jual MAS bererti menjual negara. Ini tanggungjawab kerajaan. Ini perniagaan yang strategik. Antara hujah yang dikedepankan.

Maka setakat sekarang keputusan kerajaan, MAS tidak dijual. Maknanya tidak diswastakan sepenuhnya untuk menjadi milik persendirian.

Sama ada MAS masih lagi mahu dikekalkan sebagai milik kerajaan atau diswastakan, soal kerugian MAS itu perlu diselesaikan, perlu diatasi segera.

Untung rugi sebuah syarikat perniagaan, saya percaya berkait langsung dengan pengurusan syarikat itu. Maknanya ada yang tidak kena dengan pengurusan MAS. 

Tapi telah beberapa kali berlaku perubahan kepimpinan dipihak pengurusan. Hasilnya tetap sama. Rugi. Adakah mereka yang telah diamanahkan itu tidak beramanah dan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab. Adakah mereka itu terdiri dari orang yang tidak tahu berniaga dalam sektor penerbangan? Atau adakah campur tangan dari pihak luar yang berkuasa dalam pengurusan MAS?

Cuba kita ingat kembali tentang perubahan pengurusan MAS ini. Apabila masuk pengurusan baru mengambil alih, berbagai plan perniagaan mahu dilaksanakan termasuk menyusun semula MAS dari segi pengurusannya dan operasinya. Ada yang telah menjual aset MAS (bangunan), dan menukar kaedah operasi MAS dari memilikki kapalterbang kepada menjadi penyewa kapal terbang. Tujuannya ialah  bagi mengurangkan kerugian kearah membirukan akaun MAS yang sentiasa merah itu. Tindakan itu telah mendapat kritikan setengah pihak. Ada juga yang menyokong.

Tapi sehingga kini MAS masih lagi rugi dan dicadang untuk dijual.

Cuba ingat lagi akan cerita tentang persetujuan kerajaan membenarkan MAS diambilalih oleh Air Asia bagi mengatasi masalah kerugian yang memanjang ini. Kerana ada pihak-pihak yang terlalu taksub dan percaya bahawa pengurusan Air Asia dibawah kepimpinan seseorang mampu melakukannya. Ertinya kalau MAS mahu untung berikanlah kepada pihak ini untuk menguruskannya. Hebat! Sebab Tikus (Air Asia) boleh menelan Gajah (MAS).

Saya tidak percaya dan tidak bersetuju dengan langkah itu. Syukur, setelah mendapat tentangan dari banyak pihak, tidak berlaku pengambilan syer MAS oleh Air Asia. Ada juga yang kecewa dengan keputusan kerajaan ini. 

Dan saya percaya ada orang lain atau pihak lain juga mampu untuk mengurus MAS untuk menjadi sebuah syarikat penerbangan yang boleh bersaing dipasaran dunia. Tapi siapa dia dan bagaimana caranya.

Saya tidak mempunyai jawapan kerana saya bukan ahli perniagaan. Berniaga kedai runcit pun tidak mampu inikan pula dalam sektor penerbangan. 

Sebagai rakyat saya mahu menyatakan perasaan bahawa saya tidak bersetuju MAS itu dijual atau diswastakan. Kerana ianya tidak akan menyelesaikan masalah. Rugi pasti berlaku walaupun diswastakan sekiranya kita tidak dapat memberi jawapan kepada persoalan mengapa MAS rugi seperti yang berlaku dalam kes MAS dan kes-kes penswastaan yang lain. 

Kita ada banyak contoh tentang pengswastaan yang gagal yang akhirnya membebankan wang kerajaan, wang rakyat kerana kerajaan terpaksa mengambil tindakan menyelamatkannya demi kepentingan negara? atau pihak tertentu yang mempunyai kepentingan dengan pihak yang berkuasa? Yang terbaru ialah pengswastaan AES (Sistem Penguatkuasaan Saman Secara Automatik) yang diberitakan akan diambilalih semula oleh kerajaan. Besar kemungkinan kerajaan akan membayar ganti rugi kepada syarikat-syarikat yang terlibat. Sekian kali rakyat menangung kerugian dik dasar pengswastaan.
 

Dengan itu MAS mesti dikekalkan pegangannya. Tidak boleh dijual. Tidak wajar MAS dimiliki oleh pihak persendirian apatah lagi oleh orang asing. 

Tapi jawapan kepada persoalan mudah: Apa yang tidak kena kepada MAS perlu dirungkai segera. Oleh itu MAS dalam bentuk pengurusan dan operasi bercirikan komersial perlu juga melaporkan prestasi perniagaannya kepada parlimen, kepada rakyat. 

Rakyat perlu diberitahu apa yang sebenarnya berlaku. Kedudukan Akaun MAS mesti di bentangkan dalam parlimen untuk rakyat tahu sama ada merah atau biru. Dari situ kemungkinan besar rakyat akan tahu apa yang tidak kena kepada MAS. Ini tidak bermakna pengurusan dan operasi MAS akan tertakluk kepada bentuk pengurusan dan opersasi sebuah agensi atau jabatan kerajaan.



   


 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan