Theflowersellingboy

Isnin, 5 Ogos 2013

Cara Abah Saya Menyambut Hari Raya




Tidak beberapa hari lagi kita akan menyambut hari raya idilfitri. Maka teringatlah saya akan bagaimana arwah abah saya menyambut hari raya. Menyambut hari raya yang memberi makna kepadanya dan kepada keluarganya.

Lain orang lain caranya memaknakan sambutan raya. Dengan kata lain raya itu akan bermakna jika beberapa hal menjadi kenyataan atau dapat disempurnakan. Ada orang sambutan hari raya itu hanya bermakna jika dapat memakai pakaian serba baru dan cantik, rumah dihias indah, anak dan cucu raya bersama, dapat bermain mercun, dapat duit raya, membuat kueh muih dan berbagai lagi.

Bagi arwah abah saya pula raya hanya bermakna kalau dua perkara dapat disempurnakan. Pertama kacau dodol dan kedua membayar fitrah. Kedua-dua perkara ini mesti dilaksanakan.  

Tidak kacau dodol bukan raya namanya. Dodol beli tak masuk buku. Mesti kacau dodol. Kuih muih yang lain takbuat tidak jadi hal. Baginya dodol adalah raja segala kuih raya dan mesti dihidang kepada tetamu. 

Mesti dodol buat sendiri, kacau sendiri, walaupun macam separuh nak mati kerana kehausan dahaga dik berpuasa. Rasa penat dan keletihan itulah yang menjadi kepuasan baginya dan kebanggannya.. Abah baru boleh tersenyum apabila dodol yang dikacau dalam kawah mula memekat dan berat untuk ditolak. Apabila dodol dimasukkan kedalam bekas yang dibuat dari daun mengkuang yang kami panggil sebagai tampin, senyum abah makin melebar. Hajat dihati telah terhasil.

Satu lagi yang sangat diberatkan abah untuk memaknakan sambutan raya ialah bayar zakat fitrah. Macam mana pun beliau akan berusaha untuk membayar zakat. Pernah saya dimarahi abah kerana mencadangkan supaya tidak membayar zakat sebab tiada wang yang mencukupi. Malah mengatakan kami layak untuk menerima zakat fitrah kerana miskin. 

Tapi apa kata abah, "Kau apa tahu. Itu tanggung jawab aku". 

Ya, membayar zakat fitrah itu adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Macam mana cara, abah sayalah yang tahu. Saya tidak berani tanya dari mana sumber yang diperolehi. Yang saya pasti bukan dari hasil kerjanya sebagai penorih getah. Tidak cukup.

Itulah caranya arwah abah memaknakan sambutan hari raya. Pakaian baru, hiasan rumah dan kuih muih yang lain, tidak penting baginya. Pakaian raya kamipun tidak semestinya dibeli baru. Selagi yang lama boleh dipakai, pakailah pada hariraya. Tapi kalau mahu beli yang baru pun akan dibeli sehelai seluar pendek berwarna biru dan baju kemeja putih. Abah sengaja membeli pakaian seperti itu kerana mempunyai dua fungsi. Pertama untuk dipakai dihari raya. Kedua itulah pakaian sekolah kami.

Semoga roh arwah dimasukkan dikalangan orang yang dirahmati. Amin.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan