Theflowersellingboy

Sabtu, 24 Ogos 2013

Satu Perbincangan Yang Menarik Di TV1: Tahniah

 
 
 
 
Malam tadi sebaik saja menekan butang alat kawalan jauh tv, saluran yang terpapar ialah saluran TV1. Biasanya tindakan spontan saya ialah menekan butang untuk menukar ke saluran selain dari tv 3 dan saluran yang seciri dengannya. Saya akan memilih saluran sukan siri astro 800.
 
Tapi tidak pada malam tadi. Saya terus melihat dan mendengar perbincangan yang disiarkan secara langsung itu walaupun saya telah tertinggal sebahagian daripadanya. Saya tidak pasti tajuk perbincangan. Tapi terdapat dua orang tetamu dan dua orang  pengacara yang terlibat. Perbincangan terbuka kepada penyertaan orang ramai secara panggilan talipon dan hantaran pesanan melalui media sosial.
 
Bagi saya perbincangan amat menarik dan terbuka. Sebab itu saya terus menonton dan mengikuti perbincangan dengan penuh minat. Ini adalah kali pertama semenjak lebih dari berbelas tahun saya menjauhkan diri dari mengikuti siaran tv 1, tv 2, tv3 dan yang seciri dengannya kerana terlalu berat sebelah dan banyak faktor dan cerita yang diputar belit.
 
Kali ini nampaknya lain sekali. Baik sekali. Mesti tonton dan dengar. Tahniah kepada mereka yang membuat pendekatan yang baru ini. Mungkin Menteri Penerangan yang baru terlibat dalam perubahan ini. Tahniah. Dan jika berterusan cara begini, saya akan berubah. Berubah mula menonton tv1. Harap-harap begitu.

Perbincangan itu berkaitan dengan perkembangan di Mesir ketika ini. Dua tetamu yang berbincang itu nampaknya mewakili dua parti yang berbeza. Satu dari UMNO dan yang seorang dari PAS. Maka tidak hairan masing-masing membawa pemikiran parti masing-masing. 
 
Nampaknya mereka berbincang secara adab yang baik, hormat menghormati perbezaan pandangan. 

Bagi saya pula ada beberapa hal saya mempunyai pandangan yang berbeza dengan wakil UMNO itu.

Pertama soal taat kepada pemerintah yang zalim. Menurut fahaman saya , wakil UMNO itu yang sekali gus memihak kepada pendekatan kerajaan, menggesa supaya rakyat Mesir yang menyokong Presiden Morsi yang telah digulingkan tentera itu, tidak wajar meneruskan demonstrasi menentang pihak tentera kerana ianya meletakkan diri kepada bahaya. Dan beliau memetik ayat al-Quran yang menegah kita meletakkan diri dalam bahaya.
 
Beliau lebih suka rakyat yang telah dizalimi itu balik ke rumah. Lebih selamat. Ikut saja apa yang diminta oleh pihak tentera. Tak perlu demonstrasi. Kata pembicara itu bahawa rakyat yang menentang kezaliman tentera itu tidak ada kekuatan. Lantas katanya lebih baik balik ke rumah, bina kekuatan. 
 
Batal demonstrasi, balik ke rumah, bina kekuatan? Itu kah caranya yang terbaik untuk menentang pemerintah yang zalim yang telah membunuh dan menyiksa rakyat yang tidak bersalah? Saya tidak memilih jalan pemikiran pembicara itu.
 
Dalam masa yang sama beliau mahu membawa dan mengaitkan peristiwa Mesir itu dengan keadaan di Malaysia. Beliau mahu rakyat  taat kepada pemimpin kerajaan yang ada. Tidak perlu menentang kerajaan yang ada. Tidak perlu adakan demonstrasi jalanan, istilah yang beliau gunakan merujuk kepada tunjuk rasa sebahagian besar rakyat Malaysia terhadap kepincangan kerajaan dan kepincangan perjalanan pilihanraya 2013. Katanya lagi bahawa demonstrasi itu adalah dimulakan oleh puak Khuwarij dan Yahudi. Demonstrasi banyak menimbulkan kerosakan.
 
Itu adalah pandangan pembicara itu. Tapi mengapa pula dikaitkan dengan khuwarij sebagai alasan untuk menentang demonstrasi. Adakah hanya sesuatu yang dimulakan oleh puak khuwarij itu perlu ditentang? Bagaimana sesuatu yang dimulakan dan berasal dari bukan dari khuwarij? Kita boleh terima?
 
Sebenarnya banyak hal yang telah kita laku dan amalkan tidak berasal dan berteraskan Islam. Demokrasi, misalnya bukan berasal dari Islam. Mahkamah dan undang-undang sivil yang kita amalkan di Malaysia, tidak juga berasal dari Islam. Tapi kenapa kita terima dan pertahankan pula.
 
Jadi bukan soal khuwarij dan bukan khuwarij. Yang perlu dilihat ialah sama ada apa yang kita ikuti dan amalkan itu menyalahi prinsip keadilan Islam dan kemanusiaan sejagat. Jika orang menzalimi kita atau lebih tepat jika sesuatu kerajaan itu melakukan kezaliman, adakah kita perlu duduk dirumah saja tanpa menyatakan perasaan dan penentangan kita terhadap perbuatan yang zalim itu? 
 
Kerana kita dipihak yang lemah, hanya mencukupi bagi kita taat saja kepada kerajaan yang melakukan penyelewengan? Biarkan kezaliman dan segala salah laku dalam bentuk rasuah, pembaziran wang rakyat dan pembiakan fitnah? Sekali lagi saya menyatakan saja tidak satu jalan dengan pembicara itu.

Pembicara itu melihat demonstrasi sebagai sesuatu yang lebih merosakkan dari memberi peringatan kepada kerajaan yang zalim supaya membetulkan keadaan. Nampaknya beliau melihat bahawa yang jahat ialah pendemonstran. Yang buat kacau bilau dan merosakkan harta awam ialah pendemonstran. Yang ganas ialah pendemonstran yang tidak bersenjata. 
 
Yang baik dan tidak ganas ialah kerajaan dan wakil kerajaan yang bersenjata. Oleh itu kerajaan perlu ditaati dan dikekalkan. Sebaliknya pendemonstran dihukum dan diperlakukan  sebegitu rupa kerana tidak taat kepada kerajaan. Pendemonstran itu adalah puak khuwarij!

Saya memang tidak bersetuju pandangan dan pendekatan beliau itu. Namun begitu saya amat gembira sekali perbincangan dijalankan secara terbuka. Dan pengacara pun bertindak tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Tahniah kepada tv1 dan pengacara.
 
 
 
 


 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan