Theflowersellingboy

Rabu, 28 Ogos 2013

Catatan Diari Suami: Apa Ada Pada Professor, "the backroom office boy'.




Sesampai saja dirumah setelah selesai bertemu muka dengan guru kelas anaknya, si Azmi , Datin Suria segera mengajak Azmi duduk di ruang rehat keluarga. Dia melihat semula kertas keputusan peperiksaan anaknya itu yang telah dibincang bersama dengan cikgu kelas si Azmi tadi.

Matanya merenung tepat. Dia membaca dan berkata dalam hati. Biologi 25, Fizik 11, Kimia 23, Matematik Tambahan 11, Matematik biasa pun fel. Apa nak jadi anak aku ni. Bapak professor matematik. Anak fel semua subjek sains dan matematik.  

Bahasa Inggeris, cemerlang. Bahasa Melayu cemerlang.  Agama Islam cemerlang. Sejarah cemerlang. Ini subjek sastera, anak orang kampong pun boleh pas.

"Azmi , apa nak jadi dengan kau ni aah. Semua subjek sains dan matematik kau fel. Bapa professor matematik. Anak fel subjek matematik. Pasal apa jadi macam ni. Tak malu ke?" Datin Suria bersuara tinggi dan marah.

Azmi tidak segera menjawab. Dia selamba sahaja  mendengar kemarahan emaknya itu. Sikap Azmi yang selamba dan bersahaja itu menambahkan geram si datin itu.

"Beri tahu mama pasal apa jadi macam ni?" Semacam menjerit suara itu keluar  dengan nada sedih dan kecewa.

"Apa yang mama nak risaukan. Gagal matematik dan sains tak mesti gagal dalam penghidupan. Tak mesti tak boleh jadi kaya dan berharta. Tak boleh jadi pemimpin. Tak boleh jadi presiden, menteri atau perdana menteri. Tak dapat datuk, tan seri dan tun. Bukankah kita semua ada rezeki dan bahagian masing-masing di dunia. Kalau ditakdirkan kita kaya, jadi pemimpin, kita akan jadi. Mama tengoklah realiti yang ada", Azmi dengan tenang bersuara.

"Realiti? Setahu mama orang yang gagal dalam pelajaran hidupnya susah. Susah nak dapat kerja. Merempet, hisap dadah, menganggur, kacau sana kacau sini, meragut, mencuri, merompak, membunuh. Semua orang benci dan tak suka", Sanggah si datin.

Azmi ketawa kecil mendengar akan kerisauan mamanya akan masa depannya.  Mamanya takut dia akan jadi anak yang tidak berguna, jahat dan yang dibenci oleh masyarakat hanya kerana dia gagal dalam pelajaran. Tapi dia tidak gagal semua subjek. Hanya matematik dan sains saja.

Azmi tidak mahu berhujah tentang subjek yang dia dapat cemerlang. Mamanya terlalu taksub dengan subjek sains dan matematik yang sentiasa diberi penekanan oleh banyak orang terutama pihak pemimpin. Dia mendiamkan diri dan mendengar saja mamanya meneruskan leteran. Panjang leteran si datin itu.

"Kenapa kau tak ikut macam otak bapak kau?" Soalan ini membuatkan Azmi memandang tepat ke muka mamanya.

"Mama nak saya jadi professor. Professor matematik? Oh no, no, no. Papa tak setuju", Azmi bingkas bangkit meninggalkan mamanya.

"Apa? Papa kau tak setuju?", jerit si datin yang juga bingkas bangun menuruti anaknya Azmi. Bahu Azmi di pegangnya. Azmi berhenti melangkah.

"Papa kata tiada gunanya belajar subjek yang susah-susah macam fizik tu. First class dalam matematik atau fizik pun belum tentu hidup kita senang. Belum tentu boleh jadi kaya dan banyak harta. Belum tentu boleh jadi pemimpin. Dapatlah jadi professor macam papa. Tapi ada apa pada professor. Nasib baik dapat gelaran datuk". Azmi menoleh kebelakang memandang wajah mamanya yang macam tidak percaya perkara yang dinyatakan oleh anaknya itu datang dari suaminya seorang professor.

"Papa kau cakap macam itu. Dan kau yakin ?"

Azmi mengangguk dan terus melangkah memijak anak tangga untuk naik keatas menuju ke biliknya.

Si datin membiarkan saja anaknya naik keatas. Dia tidak mahu tanya lagi mengapa anaknya Azmi gagal dalam semua mata pelajaran sains dan matematik. Dia sudah ada jawapan. Suaminya seorang professor matematik adalah penyebabnya. 

Mengapa suaminya bersikap begitu. Jika sikap itu hanya untuk diri suaminya saja, dia tidak jadi hal. Tapi kenapa sikap itu ditanam kepada anaknya Azmi sehingga anaknya itu yakin dan percaya. Tidak mungkin suaminya mahu kehidupan masa depan anaknya gelap.  Sama seperti dia, suaminya amat menyayangi anaknya. Bahkan mereka berdua lebih rapat, selalu bersama apabila keluar rumah terutama semasa bermain golf. Azmi adalah teman flight suaminya dalam setiap pertandingan golf.

Si datin menuju ke bilik baca suaminya. Ini bukan kali pertama dia memasuki bilik itu. Dialah yang menyusun dan mengemas bilik itu supaya suaminya dapat merasakan ketenangan membaca dan melakukan kerja-kerja penyediaan kertas kerja dan menulis artikel. Tapi dia tidak pernah melihat dan membaca apa catatan dalam diari suaminya. Baginya catatan itu adalah hak peribadi suaminya yang tidak boleh dicerobohi. Dia perlu minta izin untuk melihat dan membaca catatan itu.

Tapi kali ini keinginan untuk melihat dan membaca isi kandungan catatan suami itu sungguh kuat mengatasi ketaatannya untuk tidak melakukan pencerobohan ke atas diari suaminya. Entah mengapa, perasaannya jadi begitu dia tidak tahu. 

Dia menyelak helaian diari itu. Matanya terbuka luas dan mula membaca secara senyap.

Apa Ada Pada Professor

1. Isteri dan anak-anak ku suka menonton drama, suka program hiburan- Akademi Fantasia, Gossip, Malaysia idol, raja lawak, suara emas dan maca-macam lagi. Nak jadi artis kot sebab pendapatan lumayan, hidup senang. Nak glamour agaknya. Boleh dapat datuk. Belanja kawin ada sponsor, seronoknya! Tak payah belajar tinggi dan susah-susah macam aku dulu. Ada muka, ada suara boleh jadi artis. Satu kerjaya yang menjanjikan masa depan.

2. Semalam jumpa Amat gondol. Tapi sekarang tak gondol. Rambut lebat dan bergaya. Dia pakai Mercedez berapa siri? Lupa. Bertuahlah kau Mat. Sekarang kau jadi YB. Menteri pulak tu. Siapa sangka kau yang bodoh matematik dulu boleh jadi menteri. Macam mana pun aku dah banyak makan duit kau dulu semasa kau meniru matematik aku dulu. Tapi kau sekarang hebat boleh arah aku pula. Dunia dah terbalik? Sebenarnya aku yang dah kena lenyek. Professor kan - 'the backroom office boy'.

3. Aku terlalu kenal dia. Kaki pukul, kaki pau , kaki ampu, penipu, pembohong besar, kaki  fitnah, kaki laga macam batu ronson. Belajar bodoh, SPM pun tak lulus, jadi pengerusi GLC man. Hebat. Datuk pulak tu. Tak lama tan serilah. Lepas tu tun. Aku? Professor matematiklah! Apa macam siapa hebat. Aku yang kena rembat dan sebat, ha ha ha, padan muka aku professor .

Astagfirrullah bang. Mengucap bang. Bersyukur bang. Rezeki kita halal bang.

"Mama baca apa tu?" Muka si datin pucat lesi apabila mendengar sapaan dari anaknya yang tiba-tiba muncul. Kakinya sudah lemah, tidak mampu lagi menahan anggota badannya. Dia rebah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan