Theflowersellingboy

Rabu, 29 Februari 2012

Sentiasa Ikuti Perkembangan Semasa... Kalau Tidak Malulah Kita.

Saya telah ketinggalan zaman. Sudah outdated. Apa yang outdated itu? Ketinggalan zaman dari segi penggunaan alat hubungan. Secara tepatnya penggunaan alat talipon bergerak. Maksud saya ialah saya masih lagi menggunakan handphone zaman 1990an dulu yang mempunyai fungsi yang terhad. Yang saya gunakan cuma untuk bercakap dan menghantar sms saja. Tidak ada alat kamera dan apa tah lagi capaian internet. Model pun sudah ketinggalan. Sudah tentu harganya murah saja.

Sebenarnya saya tidak sangat kisah hal-hal applikasi yang canggih manggih itu. Saya anggap itu bukan satu yang bersifat 'necessity'. Yang saya perlukan hanya saya dapat menghubungi orang dan begitu juga sebaliknya sama ada melalui percakapan terus atau melalui khidmat sms.

Sikap tidak kisah itu hanya boleh bertahan sebelum saya memulakan kerja-kerja menulis dalam blog. Apabila mula memblog pada tahun lepas, saya dapati aplikasi-aplikasi tambahan dalam handphone adalah amat perlu misalnya handphone yang boleh mengambil gambar. Blog yang disertakan dengan gambar boleh memberi kesan yang lebih baik dan menyeronokkan. Memang, kita boleh buat muat turun dari komputer. Tapi itu tidak asli. Yang lebih baik kita sendiri ambil gambar yang hendak dipaparkan dalam blog.

Tapi sebagai seorang pesara untuk hidup bermewah dengan handphone yang canggih saya rasa bukan satu pilihan yang baik. Lagi pun saya masih ada seorang lagi anak yang sedang belajar. Oleh itu tidak wajar saya bermewah walaupun jarang sekali dia meminta wang dari saya. Tapi berwaspada dengan penggunaan wang adalah lebih baik.

Cuma pada satu majlis kahwin saya telah sempat berkenalan dengan seseorang. Mungkin saya lebih tua dalam dua atau tiga tahun dari orang itu. Tapi dari segi pemikiran kelihatan tidak ada banyak beza dari segi pengetahuan yang ada. Pengalaman pun nampaknya sama saja. Jadi saya dan  dia juga tidak kekok berbicara. Kebanyakan bicara kami adalah menyentuh hal politik dan sosial terutama tentang perkembangan politik dan ekonomi semasa. Nampak sejalan pemifiran kami. Walaupun baru kenal tapi hal-hal yang boleh dianggap rahsia dalam pengetahuan dan pengalaman masing-masing terkeluar juga dalam bicara.

Dalam rancak berbicara itu beliau mengeluarkan handphone yang berskrin lebar. Maksud saya lebar dari skrin talipon saya. Bentuknya sama dengan handphone anak-anak saya, yang dengar cerita hargainya 2 ribu. Saya rasa handphone kawan ini ada capaian internet. Tiba-tiba handphone saya berbubnyi. Saya serba salah sama ada hendak mengambilnya dari poket seluar atau biarkan saja atau pergi ke satu tempat yang jauh dari kawan itu supaya dia tidak dapat melihat handphone yang saya pakai.

Masalahnya saya tidak boleh bergerak dari situ sebab saya ditempatkan di meja utama. Jadi saya ambil tindakan dengan mematikan saja bunyi talipon itu yang sepatutnya saya telah melakukan lebih awal. Tapi terlupa.

Padan muka saya. Kalau pakai handphone yang canggih dan up to date bukan ke selamat. Tidaklah rasa malu untuk menayangkan dihadapan orang apabila mendapat panggilan atau bila hendak buat panggilan atau apabila hendak menulis sesuatu sebagai bahan paparan dalam blog. 

Tidak mengapa. Itu satu pengalaman yang amat berguna untuk saya. Ianya memberi kekuatan kepada saya untuk menyimpan wang. Matlamatnya ialah untuk dapat sebuah handphone yang up to date. Biar bergaya . Tidak mungkin jatuh 'pape'. 

Saya berpendapat bahawa adalah menjadi satu kemestian bagi saya dan yang orang yang sezaman  dengan saya untuk mengikuti perkembangan semasa misalnya dalam penggunaan alat-alat keperluan hidup seperti handphone tadi jika kita tidak mahu tinggal ke belakang dan jadi bingung. Jangan memalukan diri sendiri. Simpan wang sedikit demi sedikit untuk memilikkinya. Cuma takut-takut dalam mengumpul wang itu kitapun tiada lagi atau wang sentiasa tidak cukup kerana handphone yang baru harganya tinggi akibat dari penggunaan teknologi yang lebih canggih. Bukankah perubahan teknologi begitu pantas sekali. 

Tidak mengapalah asalkan ada angan-angan dan hasrat untuk menyesuaikan diri dalam kehidupanm yang pantas berubah ini.




Tolong Menolong Di Bandar Dalam Majlis Perkahwinan

Dua hari yang lepas kami sekeluarga menghadiri Majlis Perkahwinan anak saudara. Sungguh meriah majlis tersebut. Majlis itu diadakan dua peringkat . Pertama majlis dirumah bagi tujuan pernikahan yang dijalankan disebelah malam dan kedua majlis khatam Quran pada keesokan harinya. Kedua majlis yang diadakan di hotel.

Kaedah majlis  pernikahan di Selangor nampaknya sungguh memudahkan sekali berbanding dengan di negeri-negeri lain yang pernah saya saksikan. Bacaan ijab dan kabul dilakukan dalam bahasa yang mudah dan tidak berbelit-belit sehingga kadang-kadang terpaksa diulang-ulang semata-mata kerana tidak menggunakan perkataan yang dimahukan oleh jurunikah. Yang diutamakan jurunikah ialah penggunaan perkataan-perkataan lama. Jika mana-mana perkataan itu terlupa untuk dilafazkan maka disuruh ulang lagi. 

Selain dari itu pertanyaan-pertanyaan yang mahu menguji pengetahuan pengantin lelaki tentang agama Islam tidak dilakukan. Jurunikah hanya meminta supaya pengantin mengucap syahadah dan selawat ke atas Rasullullah SAW. Tidak ada soalan-soalan yang saya kira lebih berbentuk menekan dan memperkecilkan peribadi pengantin lelaki. 

Namun satu hal yang menimbulkan suasana menggelikan hati ialah apabila bapa yang menikahkan itu  tersasul menyebut mas kahwin yang nilainya kurang dari yang sepatutnya. Mungkin beliau terlalu laju menyebut perkataan-perkataan atau gemuruh.

Apa pun pernikahan dapat dijalankan dengan selamat dan sempurna. Semoga krdua mempelai dapat menjalani kehidupan dengan penuh kebahgiaan, di murahkan rezeki dan dikurniakan anak yang soleh dan soleha.

Majlis dihotel pun berjalan dengan meriah juga. Tetamu datang melebihi dari bilangan yang dijangkakan. Namun semuanya dapat dihadapi dengan sempurna oleh mereka yang telah diberikan tanggongjawab melakukannya. Nampaknya kehidupan tolong menolong juga berlaku di bandar. Tahniah kepada petugas-petugas itu.


Takziah Untuk Cikgu Fatimah dan Keluarga

Lebih kurang jam 1 petang mendapat talipon dari Lukman yang berada di Pasir Gudang Johor memaklumkan bahawa dia mendapat berita dari kawannya memaklumkan sahabat saya Tuan Hj.Ahmad Khusairi suami kepada Cikgu Fatimah telah meninggal dunia. Saya dan isteri spontan mengucapkan "Inna lillah wa inna ilahirrajiun" Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadanya kita di kembalikan. 

Saya suami isteri mendoakan semoga roh aruah dimasukkan dikalangan orang-orang yang di redhai dan diampunkan dosa-dosanya. Al Fatihah dari kami berdua.

Setelah beliau menjalani pembedahan pintasan jantung tiga tahun yang lepas kami hanya berjumpa dua kali saja. Sekali di IJN dan sekali lagi di sebuah pasar raya. Perjumpaan di IJN tidaklah berapa lama tapi sempat juga berbual dan bertanya khabar. Tapi perjumpaan dipasar raya hanya sempat tersenyum dan anggok-menganggok dari jauh dan tidak sempat bersalaman. Selepas itu kami suami isteri tidak menemui aruah dan keluarga walau pun rumah kami jaraknya tidak lah jauh sangat lebih kurang 4 kilo saja. Sebenarnya kami telah bercadang ke rumahnya di hari raya tapi entah macam mana tidak juga terlaksana.

Dengan pemergiannya maka telah bertambah kuranglah kawan-kawan pesara saya. Kawan-kawan yang masih bekerja biasanya terlalu sibuk dan tidak mudah untuk berjumpa.

Saya dan isteri mengucapkan takziah kepada keluarga Cikgu Fatimah semoga   bersabar dan sentiasa mendoakan aruah dicucuri rahmat. InshaAllah kami akan ke Melaka dan ke rumah dalam beberapa hari lagi . Sekali lagi al Fatihah untuk aruah.

Selasa, 28 Februari 2012

Putar-putar.......Belit-belit

Pada tahun-tahun 1970an dulu ada sebuah lagu kalau tidak silap namaya Abang Beca. Terdapat antara liriknya ialah 

Abang beca  abang beca  ditengah jalan, 
cari muatan untuk mencari makan, 
putar putar putar putar kaki mengayuh.... , 

Dan seterusnya saya dah lupa. 

Putar-putar disini bermaksud kayuhan pedal basikal keatas kebawah membuat pusingan pusingan kayuhan. Perkataan ini juga memberi makna yang sama dengan pusing-pusing bagi orang Malaysia. Tapi bagi orang Indonesia pusing-pusing itu membawa makna pening kepala. Kita juga menggunakan perkataan pusing itu bagi maksud pening kepala juga . Ertinya apabila mendengar saja perkataan pusing itu digunakan dalam ayat perbualan atau penulisan kita secara otomotik faham atau tahu makna yang hendak disampaikan dari penggunaan perkataan itu sama ada misalnya bermaksud pening kepala, kayuhan pedal basikal atau putar-putar atau bersisar-siar.

Begitulah cantiknya dan indahnya sesuatu bahasa. Makna atau maksud yang hendak disampaikan perkataan itu juga bergantung kepada sesuatu konteks atau suasana.

Tapi saya bukan hendak berbicara tentang bahasa. Saya hendak bercerita sedikit tentang abang beca yang bekerja keras ditengah panas mengayuh pedal basikalnya untuk mencari makan. Kesian sungguh abang beca itu yang anggotanya setiap hari dibasahi keringat demi mencari rezki yang halal. Berapa sen sangat yang diperolehi si abang beca itu. Mereka yang berkeluarga terutama mempunyai tanggongan yang ramai sudah tentu 'putar putar kaki mengayuh'nya itu begitu ligat dan lama tempoh masanya. 

Kita yang bernasib baik yang mempunyai pendapatan yang baik dari pekerjaan yang baik dan halal sewajarnya bersyukur akan nikmat yang melimpah itu. 

Dalam banyak hal  dan keadaan, sebahagian dari kita termasuk saya juga terlalu taksub untuk mendapat lebih dari yang sepatutnya. Mahu kelihatan lebih bergaya, hidup bermewah dan nampak hebat . Maka nafsu-nafsu seperti itu dari sahari ke sehari akan menguasai jiwa raga kita. Dan kepada mereka yang cepat sedar  akan bahaya pengaruh nafsu itu akan cepat bertindak mengawalnya. Tapi tidak ramai yang berjaya melakukannya.

Hendak bergaya, hendak bermewah dan mahu nampak hebat dari generasi ke generasi rasanya tidak mengapa. Cuma jadilah seperti abang beca yang mengayuh pedal basikal berputar-putar sehingga peluh membasahi anggota. Dapat rezeki halal. Jangan putar belit untuk mencari rezeki. Untuk nafkah sendiri dan untuk diwarisi.

Putar belit? Cakap putar belit dan bertindak pun putar belit. Membuat sesuatu keputusan dan penyelesaian sesuatu kes pun dibuat dengan cara putar belit. Ertinya melakukan penipuan, pembohongan dan salahguna kuasa. Adakah manusia seperti ini di dunia misalnya di Malaysia. Cuba anda cari. Tapi jangan main teka teka saja. Mesti ada bukti.

Orang yang menggunakan kaedah putar belit ini muka mereka selamba saja. Langsung tidak ada rasa bersalah. Yang mereka nampak mereka dipihak yang benar walaupun sesuatu hal itu jelas merupakan satu yang tidak betul. Maksudnya mereka mengaku perkara itu tidak betul tapi mempertahankan tindakannya kerana ada pihak lain yang telah melakukan perkara yang tidak betul juga yang dikatakan kesannya lebih teruk lagi. Misalnya dia mencuri RM1 dan dia tahu pihak lain mencuri RM10. Maka katanya kenapa yang mencuri RM10 itu tidak dihebuhkan. Mengapa mereka yang curi RM1 yang hendak dihebuhkan?

Seperti yang dinyatakan diatas  mereka tahu perbuatan mencuri itu tetap salah walaupun mencuri RM1. Cuma apabila orang ramai mempersoalkannya, mereka ini gunakan kaedah putar belit dengan mengatakan ada pihak lain yang telah mencuri lebih besar dari itu. Bukan itu saja malah mereka memberi alasan bahawa mereka mencuri RM1 itu adalah satu perbuatan yang patut. Sekiranya mereka tidak mencuri maka tidak mampu untuk membeli susu anak. Akibatnya anak itu membesar tanpa susu yang terlalu penting dalam proses pertumbuhan bagi menguatkan tulang. Anaknya menghadapi risiko dan besar kemungklinan maut datang lebih cepat. Jadi perbuatan mencuri mereka itu tidak perlu dipersoalkan.

Begitulah kepercayaan mereka sehinggakan perbuatan itu berterusan sepanjang perkhidmatan mereka. Maka jika dikumpulkan jumlah wang pada nilai yang 'kecil' yang telah dicuri itu sudah tentu mencapai angka yang besar. Tapi pencurian itu dibuat sedikit-sedikit maka mereka mengatakan ianya sesuatu yang patut walau pun tahu bahawa  wang itu adalah wang curi.

Yang menghairankan ialah banyak pihak sama ada yang ada kuasa dan rakyat marhaen seperti abang beca tadi setakat ini mendengar saja putar belit mereka itu. Maksud saya tidak ada tindakan untuk membetulkannya. Adakah mereka/rakyat sudah pening kepala disebabkan kata-kata yang berputar belit?  Tetapi Abang beca tetap tidak lupa liriknya,

Abang  beca abang beca  ditengah jalan
cari muatan mencari makan
putar-putar  putar putar kaki mengayuh
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Tuan besar tuan besar dikamar dingin
cari alasan mencuri wang
putar putar putar putar lidah membelit
.....................................................
.................................................

Dan seterusnya anda buatlah lirik sendiri. Tapi ingat jangan putar putar dan jangan belit belit.Contohilah Abang Beca yang berputar putar mengayuh pedal basikalnya. Peluh keluar membuatkan badan jadi sihat dan hati senang bersiar-siar dengan becanya. Kalau duduk dalam kamar dingin dan mencuri pula sudah tentu badan menggigil dan berpeluh. Cuma peluhnya tidak sama dengan peluh Abang Beca. 
  







Ahad, 26 Februari 2012

Yang Mana Satu Bercakap Bohong

M dan kawan kawan sekandang dengannya bertegang leher mengatakan dia terlalu sangat benci Israel.Mereka mengemukakan dalil dalil yang mereka kata sahih lagi jelas . Pertama Malaysia tidak ada dan tidak pernah mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel. Kedua Malaysia sentiasa bersama dengan rakyat Palestin dalam perjuangan menentang Israel.Dengan sebab itulah kata M dan sekutunya berbagai bantuan kemanusiaan telah diberikan kepada rakyat Palestin bahkan sehingga kini bantuan itu masih lagi diteruskan melalui badan bukan kerajaan seperti satu badan NGO yang di pengerusikan oleh M sendiri.

 A dan kawan kawannya juga mengatakan bahawa mereka juga menyokong Palestin. Mana mana pihak yang mempunyai hubungan dengan Israel sama ada melalui perdagangan mahu pun mendapat perkhidmatan dari syarikat Israel seperti Apco adalah dianggap sebagai menyokong Israel. 

M dan sekutunya mengatakan bahawaA menyokong Israel dan mengkhianati rakyat Palestin berikutan dari laporan sebuah akhbar terkenal luar negara. Mengikut fahaman M , A mementingkan keselamatan Israel. 

A menafikan ianya bermaksud begitu dengan menjelaskan bahawa kenyataan akhbarnya telah diputarbelitkan. Jadi kedua dua pihak M dan A masing masing mengatakan menyokong Palestin. Tapi saling tuduh menuduh dan menafikan tidak ada kaitan dengan Israel atau mempunyai hubungan dengan Israel. Maknanya kedua dua pihak itu menyokong Palestin dan menafi kaitan dengan Israel. 

 Biasanya apabila dua pihak bertelingkah diatas isu yang sama maka salah satu pihak itu adalah menyatakan yang benar dan pihak yang satu lagi berbohong. Tidak mungkin dua dua cakap benar

.Dalam hal ini saya lebih cenderung untuk mencadangkan supaya dua pihak yang berbalah ini mengadakan debat awam dan disiarkan secara langsong. Berhujahlah kamu diatas pentas yang sama dan kemukakan bukti bukti yang ada untuk didengar dan disemak dan diperiksa oleh rakyat Malaysia. Jangan pula jadikan alasan bahawa budaya berdebat atas pentas yang sama merupakan satu budaya asing yang tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia. Atau masyarakat Malaysia masih belum matang. 

Tapi buat sementara ini saya melihat perbalahan ini adalah semata mata mainan politik untuk kepentingan mendapat simpati rakyat yang sebahagian besar lebih menyokong persahabatan dengan Palestin. Maka mana mana pihak yang menyokong Palestin akan diberi undi dalam pilihanraya yang akan datang ini. Itu saja tujuannya. 

Realiti tindak tanduk kedua dua pihak yang bertentangan ini tidak semestinya begitu. Jadi kita rakyat Malysia marilah mendesak supaya mereka bersemuka dan yakinkan kepada kita dalam satu perdebatan. Ada berani kah? 

Jadi sebenarnya isu Israel-Palestin ini adalah perbalahan politik untuk memancing undi. Itu saja. Maka dengan itu saya simpulkan bahawa kedua duanya tidak bercakap benar. Saya akan hanya tukar pendirian apabila mereka bersemuka dan berdebat. Dan jika ada pihak yang tidak mahu berdebat saya anggap merekalah yang bercakap bohong.

Jumaat, 24 Februari 2012

Cerita Pendek Semasa......Tema: WANG

Setiap detik, wang berligar dalam fikirannya. Tidak putus-putus otaknya memikirkan fasal wang. Wang adalah segala-galanya. Tiada wang hidupnya tiada punya makna. Lebih baik mati. 

Wang tidak mesti ada secara fizikal dalam poket seluar atau poket baju atau pada beg kecil yang terlekat pada tali pinggang yang menjadi lilitan bagi memegang kain atau seluarnya dari terlondeh melungsur ke bawah, tidak juga perlu ada dalam genggaman tangannya atau disimpan dalam tabung buluh, tabung anak gajah, tabung replika bangunan Tabung Haji atau dibawah bantal. Yang penting dia tidak  melupakan wang dalam apa keadaan sekali pun. Itu sudah ada kepuasan. Nikmat sebuah kehidupan.

Oleh itu untuk bernafas dan hidup dia mesti aktifkan fikirannya memberi kekhusyukan kepada wang. Inilah  setiap detik dilakukan yang telah menggerakkan bukan saja fizikalnya yang diluar seperti tangan, kaki , telinga , mata, hidung malah alat fizikal yang tersorok dalam seluar dalam, itupun kalau dia berpakaian, bahkan organ-organ dalamannya seperti jantung , hati, buah pinggang, usus besar dan usus kecil dan segala-galanya sehingga berupaya merangsangkan nafsu mengatasi fikiran otak yang rasional. Dia tetap percaya wang adalah segala-galanya. Rukun yang membimbing akidahnya ialah wang. Itu saja.

Tapi fokus terhadap wang yang mengatasi segala-galanya itu tidak pula memberi kecerdikan kepadanya untuk meraih wang atau memperolehi wang sekurang-kurangnya untuk dapat di pegang. Mengapa? Kadang-kadang dia menyoal dirinya sendiri. Soalan mengapa yang kadang-kadang keluar itu telah berterusan dalam tempoh yang agak lama.

Dia juga manusia biasa yang mempunyai sifat kebosanan. Soalan yang bersifat kadang-kadang itu sudah memualkan nafsunya kerana soalan itu tiada jawapan. Dia tidak tahu apa jawapan sebenarnya. Dia perlu seseorang yang mahir dan pakar dalam bidang wang-mengewang untuk memimpin dan memberi tunjuk ajar supaya dia menjadi cerdik tentang wang, dapat mengajar bagaimana boleh dapat wang. Dia perlukan sifu wang. 

Dia tersenyum sendirian apabila menyebut perkataan sifu wang kerana perkataan itu dia sendiri yang beri, tidak ada istilah sifu wang dalam mata pelajaran tentang wang. Yang dia tahu ialah sapu wang. Senyumannya makin melebar kerana walaupun tidak cerdik dalam bidang wang-mengewang, tapi dia telah berjaya memperkenalkan satu istilah yang mempunyai keberangkalian yang besar melebihi 100 persen akan diceduk-guna. Dan dia  juga mempunyai tahap keyakinan melebihi 100 persen istilah itu akan diceduk-guna oleh pakar/professor yang mengajar mata pelajaran wang. Paling tidak DBP akan menerap-pakai dalam penyusunan istilah subjek wang. 

Cuma dia amat berharap supaya pihak yang mengambil pakai istilah itu jangan tersalah eja atau tersalah sebut menjadi sapu wang. Tapi buat kesilapan itu bukankan fitrah manusia? "Maafkanlah mereka", dia begitu pemaaf sekali tentang hal ini. 

Maka dalam pencarian sifu wang itu dia bernasib baik telah ketemu dengan seseorang yang mempunyai pengalaman yang luas dalam wang-mengewang ini. Orang ini tidaklah mahir dan pakar dalam ilmu tiori wang. Tapi mempunyai pengalaman praktikal dan terlibat sama dalam operasi wang-mengewang secara berterusan yang begitu lama. Khabar cerita melebihi 20 tahun. Pernah marah dan memperlekehkan pakar-pakar wang dunia yang dikatakan penyangak yang bodoh.

Dia yakin sifu wang ini boleh memberi tunjuk ajar tentang wang.

Dalam kelas wang yang pertama, sifu wang mengajar atau lebih tepat membimbing dia  tentang kaedah untuk mendapat dan melupuskan wang. Sifu wang memulakan dengan menerapkan Rukun Wang yang perlu di patuhi yang katanya sebagai satu Bible. 

Sifu Wang hanya memberi satu Rukun Wang saja dari lima yang ada atas alasan meminta dia berusaha untuk memikirkannya, tidak boleh disuap saja, mesti berusaha. Kata Sifu Wang, 'Usaha Tangga Kejayaan'. 

Rukun yang satu itu ialah 'mesti ada daya tahan dan daya maju untuk menangis di khalayak ramai'. 

Dia memberi reaksi yang spontan dalam otaknya apabila rukun ini dimaklumkan. 'Apa kena mengena tangisan dengan ilmu wang-mengewang? Untuk meraih simpati, kasihan, belas ihsan atau sokongan? Bagi tujuan mendapat, mengambil dan menggunakan wang? Bagi tujuan melupuskan wang secara mudah? Bagi tujuan 'bail-out?' Dia tiba-tiba tersenyum kerana entah macam mana perkataan 'bail-out' itu terkeluar dari mulutnya sedangkan dia sendiri tidak faham. Dia hanya selalu mendengar cakap-cakap dikedai kopi oleh pakar-pakar ketagih warung. Bukan dari pakar wang-mengewang seperti sifunya ini.

Sifunya hanya memberi satu contoh saja tentang kaedah mendapat wang dan melupuskannya.

Sifunya mengambil contoh dalam perniagaan MAS. Berniaga mas memang mendapat untung yang banyak kerana nilai emas adalah mantap dan tidak mudah di lakukan aktiviti spekulatif yang melampau seperti mata wang. Apabila perniagaan mas mendapat keuntungan, perniagaan itu bolehlah kita serahkan secara penjualan yang dibawah nilai pasaran kepada orang kita yang susah. Kita tolong pinjamkan wang. Tujuannya untuk membantu orang kita yang susah. Tapi letakkan syarat, tidak perlu bertulis sebab kita mesti percaya dengan orang kita, bahawa perniagaan yang dijual itu kita yang punya. Keuntungan dibahagi dua, dia dapat satu jari , kita dapat empat jari.

''Kalau rugi macam mana? Teringat dia akan persoalan beraninya itu. Sifu Wang beritahu, itu adalah tanggongjawab orang yang mengurus perniagaan mas itulah. Sebab dia beli pada harga yang murah.

"Kalau dia tidak mahu?"

"Masuk mahkamahlah".

"Tapi kalau dia dapat buktikan kita juga ada bahagian?"

 "Kita lupuskanlah hutang itu"

"Tidak semudah itu"

"Itulah kamu ni tidak cerdik dalam hal wang-mengewang. Ingat tak rukun wang yang saya beri tahu tadi. Menangislah, lama teresak-esak lagi baik. Ramai yang menerjah kearah kita menyatakan sokongan dan simpati. Ada yang bertanya bertalu-talu 'mengapa, mengapa jadi begini, usah menangis sayang".

"Oooooo begitu".

"Ya lah, kita mesti ada daya tahan dan daya maju untuk menangis".

Dia akan berbuat begitu. Dia yakin Rukun Wang itu akan membuka peluang baginya untuk kali pertama memegang wang. Tidak hanya wang itu berligar-ligar dalam otak kepalanya atas rangsangan nafsunya saja. 

Cerdik menangis, boleh dapat  wang. Cerdik menangis boleh lupus wang.  
 
Ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha menangislah aku. Hidup Aku. Sapu Wang.
  

Khamis, 23 Februari 2012

Patutlah.. Fahamlah Saya Sekarang

Heboh satu cakerawala berita tentang hadiah yang telah diterima oleh Juzak dan seorang rakan kongsi junior sebanyak 2.2 bilion dirham. Hadiah yang dikongsi  atas nisbah yang mereka saja yang tahu. Hadiah itu diberikan kerana jasa-jasa yang telah dicurahkan oleh kedua-duanya dalam bidang yang sama tetapi pada kedudukan yang berbeza. 

Raja Cekerawala (RC) berpendapat bahawa hadiah itu adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan jasa khidmat yang telah dicurahkan oleh Juzak dan rakan kongsinya itu. Tanpa mereka berdua sudah tentu RC itu gagal dalam tuntutannya keatas sebuah daerah, iaitu Daerah Purnama (DP) yang baru saja  dikuasai oleh Raja Baru (RB) melalui penyelesaian timbangtara.

RC dan RB telah bersetuju untuk menggunakan khidmat Juzak sebagai pengerusi timbangtara bagi menyelesaikan hak penguasaan keatas  DP apabila beberapa rakyat DP telah menyatakan keinginan bertaat setia semula kepada RC. Ini telah membuatkan bilangan rakyat yang bersetia kepada RC telah melebihi dari yang bersetia dengan RB sebanyak seorang saja. 

Mengikut kanun yang di pakai di cekerawala itu mana-mana raja yang mendapat kesetiaan rakyat lebih dari raja yang lain walaupun cuma seorang saja, dengan syarat rakyat tersebut tidak diupah atau dirasuah, raja itu berhak menguasai sesuatu daerah dalam cekerawala itu. Namun menurut maklumat yang ada dalam pengkalan data RB, rakyat yang bertukar kesetiaan itu telah dirasuah. Atas dasar itu RB menyatakan perubahan taat setia itu tidak sah dan perlu dicabar.

Maka untuk menyelesaikan pertelingkahan diantara RC dan RB ini maka kedua-dua pihak telah bersetuju dibuat secara timbangtara. Cuma RB terpaksa menerima Juzak sebagai pengerusi kerana hanya dia sajalah yang ada. RC pula tidak ada masaalah kerana dia telah kenal lama dengan Juzak yang juga telah bekerja dengannya sebagai penyelia istana.

Dipendekkan cerita masing-masing pihak telah memilih wakil untuk membentangkan kes dihadapan Juzak pengerusi timbangtara itu. RC telah memilih penyelia istana yang menggantikan Juzak dulu manakala RB memilih seorang yang dianggap punya banyak pengalaman dalam kes hujah menghujah.

Kedua-dua pihak telah membentangkan kes masing-masing bagi menuntut hak penguasaan keatas DP. Bagi Juzak hujah dari wakil RB adalah susah untuk dinafikan kebenarannya bahawa ada bukti jelas rakyat yang bertukar taat setia itu telah mendapat habuan dari RC. Maka dia akan buat keputusan memberi hak penguasaan DP kepada RB. Sebelum mengumumkan keputusan itu Juzak mencadangkan supaya persidangan timbangtara berehat setengah jam.

Juzak memasuki kamarnya dengan begitu yakin sekali bahawa dia telah mendapat satu keputusan yang betul. Tiba-tiba terdengar ketukan di pintunya yang mohon izin untuk masuk. Maka tercegat tersengeh-sengeh wakil RC dipintu masuk. Juzak mempersilakan wakil RC duduk diatas sofa bersebelahan dengannya.

"Tuan , Baginda tersangat berharap supaya DP dikuasainya. Ini maruahnya. Gagal menguasai DP, maruah baginda akan jatuh ke dalam longkang, tuan", wakil RC merayu setelah duduk terperosok diatas sofa yang lembut itu. "Tapi saya tidak boleh kata yang putih itu hitam dan yang hitam itu putih", tegas Juzak. 

"Boleh tuan sebab kata-kata tuan adalah muktamad. Tiada siapa boleh mencabarnya. Lagipun tuan, Baginda ada bisik-bisik ...", Juzak memberikan telinga kirinya kepada wakil RC untuk membisikkan sesuatu. "Ya ke? Kamu jangan main-main. Kempunan aku nanti". Juzak ketawa terkekeh-kekeh terlalu suka akan janji yang telah dibuat oleh RC melalui wakilnya. 

"Ya tuan, tapi hadiah tertangguhlah macam deferred payment. Tapi besar tuan 2.2 bilion dirham. Kita kongsi tuan", wakil RC pun ketawa terkekeh-kekeh juga, sudah yakin dia akan menang.

Apabila timbangtara bersidang semula Juzak telah memeranjatkan semua yang hadir terutama wakil RB yang telah berusia itu dengan menyatakan bahawa tiada bukti rasuah yang telah mempengaruhi rakyat itu mengubah taat setia kepada RC. Maka dengan itu DP adalah menjadi sah hak penguasaan RC.

Tiba-tiba wakil RB berdiri menyatakan bahawa Juzak tidak boleh menyatakan hitam itu putih dan putih itu hitam. Kes ini ada bukti yang jelas. Juzak amat marah sekali dengan pernyataan itu seolah-olah dia seorang yang buta warna. Lalu dia memberitahu bahawa " Saya bukan colour blind. Baju yang awak pakai itu berwarna hijau bukan? Dan baju saya ini berwarna  kuning. Baju wakil RC berwarna putih, betul tak?" Juzak begitu yakin dia tidak buta warna.

"Salah tuan. Baju saya kadang-kadang berwarna biru cair, hijau dan merah. Baju tuan berwarna biru pekat dan baju kawan saya tu memanglah berwarna putih dari dulu dan selama-lamanya", wakil RB sengaja menyakitkan hati Juzak walaupun apa yang dikatakan Juzak itu adalah benar. 

Mereka bersurai. Juzak dan wakil RC dengan senyuman yang melebar, fikiran melamun jauh akan hadiah 2.2 bilion yang akan diterima dan dikongsi sama. Tapi ada sedikit kekhuatiran kerana ianya dalam bentuk hadiah tertangguh. Wakil RB pula bermuka masam dan merengus kerana katanya bukti jelas telah dapat ditunjukkan tapi Juzak boleh mengatakan yang putih itu hitam dan yang hitam itu putih. Ya, mentang-mentang dia mempunyai kata-kata yang muktamad.

Setelah tiga purnama barulah terkeluar berita Juzak mendapat anugerah sebanyak 2.2 bilion dirham yang akan dikongsi bersama dengan wakil RC. Itulah yang telah diputuskan oleh Baginda Raja Cekerawala. Maka hebohlah satu cakerawala. Rakyat cakerawala pun terpinga-pinga walaupun telah sedia faham.

Wakil RB hanya dapat berkata "Patutlah... fahamlah saya sekarang". Untuk mempercepatkan perjalanan bagi tujuan menyampaikan berita yang mendukacitakan ini iaitu tentang anugerah 2.2 bilion dirham yang dianugerahkan kepada Juzak untuk pengetahuan  RB, dia memikirkan lebuhraya yang mana satu yang hendak diikuti. Akhirnya dia berkata , "Lebuhraya yang telah siaplah, takkan yang itu".



Rabu, 22 Februari 2012

Putra Jaya Untuk Pesara

1. Sudah dua bulan saya tinggal di Putra Jaya. Suasana disini amat sesuai bagi orang yang bersara seperti saya kerana tidak hiruk pikuk seperti Kuala Lumpur. Kesesakan lalu lintas jarang sekali berlaku cuma kadang-kadang kenderaan terlalu banyak diatas jalan waktu rehat bagi pekerja dan waktu pergi dan balik kerja. Itupun tidaklah sampai tersenggut-senggut seperti di Kuala Lumpur. Maknanya kalau pandu kenderaan di sini tidak akan rasa tertekan dan menaikkan perasaan marah , pemandu tidak berebut-rebut memotong que dan membuat panduan yang gila-gila.

2. Berbagai kemudahan disediakan misalnya kompleks kejiranan di setiap kawasan atau di panggil presint . Kehijauan adalah jelas sekali dengan pokok-pokok berbaris disebahagian besar jalan yang memberikan teduhan dan menyerap sebahagian dari kepanasan cahaya matahari. Sekolah, klinik kesihatan dan kawasan/tempat riadah termasuk ruang pejalan kaki yang boleh juga digunakan untuk aktiviti jogging adalah kemudahan-kemudahan yang tersedia dan mudah didapati. Persekitaran adalah bersih , tidak ada sampah atau buangan-buangan yang menjijik dan merosakkan pandangan.

3. Sebahagian besar dari penduduknya adalah dari penjawat awam yang mendiami rumah yang disediakan oleh kerajaan. Tetapi ada juga yang menyewa di kondo-kondo kerana bilangan rumah yang disediakan tidak mencukupi termasuk rumah yang saya duduki yang disewa oleh anak suami isteri. Oleh kerana itu sebahagian besar penduduk adalah terdiri dari orang Melayu. Maka keadaan seperti ini membuatkan aktiviti-aktiviti berbentuk perdagangan tidak tumbuh dengan pesat jika dibandingkan dengan tempat-tempat yang mempunyai pemduduk orang Cina. Diwaktu  malampun tidak sesibuk bandar-bandar lain. Pada jam 9 malam kenderaan diatas jalan raya sudah mula reda.

4. Satu hal lagi ialah tentang pengangkutan awam maksud saya perkhidmatan bas disini. Perkhidmatan basnya terlalu kerap dan mudah diperolehi dengan menggunakan kuasa ngv. Sebahagian besar bas-bas tersebut sentiasa kosong atau dinaikki oleh empat atau lima orang saja. Saya kira pihak yang menyediakan perkhidmatan bas ini (perkhidmatan dikenali sebagai Nadi Putra) tidak mendapat keuntungan malah rugi. Terlalu banyak bas berbanding dengan penumpang. Ertinya mewah sungguh orang Putra Jaya dalam hal pengangkutan awam ini. 

5. Keadaan bas yang banyak melebihi keperluan penumpang ini adalah disebabkan sebahagian besar penduduk Putra Jaya memilik lebih dari satu kereta bagi sebuah keluarga. Lalu lintas pun tidak sesak maka mereka lebih selesa menggunakan kendeaan dari pengangkutan awam.

6. Sehubungan dengan itu juga saya berpendapat pihak yang bertanggong jawab tentang pengangkutan awam ini perlu mengkaji dan melihat semula kedudukan seperti ini kerana ianya sesuatu yang merugikan dari segi penggunaan sumber yang terhad ini. Keadaan ini adalah satu agihan sumber yang tidak cekap dan tidak produktif. Cuba lihat Kuala Lumpur, bagaimana orang bersesak-sesak untuk mendapat perkhidmatan bas. Bas terlalu kurang berbanding penumpang yang memerlukan. Ada juga kelihatan bas yang terlalu buruk yang sepatutnya tidak wajar ada diatas jalan, memalukan kita rakyat Malaysia saja.

7. Putra Jaya bukankah sebahagian dari Wilayah Persekutuan. Sama juga dengan Kuala Lumpur. Kita ada menteri yang bertanggongjawab keatas Wilayah Persekutuan. Kenapa tidak dapat diuruskan secara yang terbaik dan cekap dalam hal pengangkutan awam di wilayah tanggungjawabnya. Mengapa perlu menggunakan sumber yang tidak diperlukan oleh sesuatu kawasan. Bukankah itu ertinya membazir? Atau keadaan seperti ini diangap rumit untuk diuruskan kerana berlainan pihak yang memberikan perkhidmatan pengangkutan awam itu? Kalau begitu janganlah ambil tanggongjawab menjadi menteri Wilayah Persekutuan.

8. Begitulah sedikit sebanyak catatan tentang Putra Jaya sebuah tempat yang sesuai bagi saya seorang pesara.   

Selasa, 21 Februari 2012

Pengautkuasa Yang Paling Cekap- Keluar Saman Yang Telah Dibayar; Kaunter Bayaran Yang Ada Bahasa tiada Budi

1. Sehari dua ini saya melalui peristiwa yang merisaukan juga tentang mutu perkhidmatan dua buah Agensi Kerajaan di negeri Melaka. Agensi pertama ialah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan agensi kedua ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

2. Satu dari tugas yang dijalankan oleh MPHTJ ialah penguatkuasaan. Saya lihat penguatkuasaan dalam bentuk saman menyaman keatas pemandu yang tidak mematuhi peraturan meletak kereta telah dijalankan dengan terlalu 'cekap' sekali. Maksud saya ialah sekiranya anda tidak meletakkan tiket meletak kereta yang bergores bagi tempoh dan tarikh ketika itu atau meletakkan kereta bukan diruang letak kereta dan kemudian kembali semula dalam tempoh tidak melebihi lima minit atau kurang dari itu anda akan disambut dengan satu kertas saman terselit diwiper kereta anda.  Jika anda tergesa-gesa dan tidak sempat menggores tiket letak kereta itu , anda juga dijamin akan menerima saman yang sama. Atau jika anda terlalu yakin bahawa anda hanya singgah sebentar seminit dua dan meletakan kenderaan dipetak yang disediakan sebelum kembali ke kenderaan, keyakinan anda itu dibayar dengan kecekapan mereka mengeluarkan saman. Atau jika anda tiada tiket letak kereta dan cuba mencari-cari kedai menjual tiket tersebut untuk dibeli, apatah lagi jika anda orang luar yang tidak sepantas orang tempatan mencari kedai jual tiket, anda juga akan menerima nasib yang sama. Pihak penguatkuasa MPHJT memang terlalu cekap tentang hal saman menyaman ini. Satu saat adalah terlalu berharga kepada mereka. 

3. Itulah kepercayaan mereka tentang kewujudan agensi mereka iaitu kecekapan saman menyaman untuk mengumpul hasil yang banyak dan bukannya kecekapan memberi perkhidmatan. Cubalah anda membuat aduan tentang kebersihan kawasan anda. Agak-agaknya cepat ke MPHJT datang untuk memberi perkhidmatan? Cubalah, anda akan tahu jawapannya sendiri.

4. Tapi saya bukan mahu memperkecilkan tindakan penguatkuasaan yang dibuat itu kerana itu sepatutnya yang dilakukan keatas mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang. Cuma memohon supaya kecekapan itu hendaklah juga dalam hal-hal yang lain misalnya dalam memberi perkhidmatan.

5. Saman yang dilakukan adalah mengikut undang-undang dan peraturan. Tapi rekod saman dan bayaran yang telah dibuat oleh pihak yang kena saman itu perlulah dilakukan dengan teratur dan sistematik. Maknanya perlu cekaplah. Jangan hantar surat Notis Sebelum Tindakan Mahkamah kepada bayaran yang telah dibuat.

6. Saya telah terima surat/notis itu. Mula-mula risau juga takut kalau-kalau saya terlupa untuk membayar saman berkenaan kerana saya memang ingat saya telah disaman di tempat letak kereta King hotel berhampiran Maybank. Dari segi undang-undang saya telah melakukan kesalahan walaupun tidak sampai 3 minit saya kembali semula ke kereta. Salah tetap salah. Tetapi biasanya saya tidak pernah bertangguh kerana kalau cepat bayar dapat pengurangan. Maka seingat saya, saman itu dibayar segera.

7. Setelah meneliti No. Kompaun dan Tarikh kesalahan,   saya cuba mencari-cari resit bayaran yang telah dibuat dulu. Pening juga kepala kerana biasanya saya tidak menyimpan begitu lama resit saman yang telah dibayar, menyemak saja. Cari punya cari maka dengan pertolongan Allah terjumpalah saya resit berkenaan yang sedikit comot tapi masih boleh dibaca butir-butir didalamnya. Dengan merujuk kepada notis yang diterima maka saya dapati ianya menunjukkan no. kompaun yang sama dan tarikh yang sama. 

8. Tapi yang paling mendukacitakan ialah apabila ada amaran dalam notis tersebut jika gagal menjelaskan bayaran dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis tindakan mahkamah akan diambil tanpa sebarang notis. Macam mana ni? Saman sudah dibayar kemudian mahu ambil tindakan mahkamah.

9. Suka hati MPHTJ lah. Masuk mahkamah masuk lah. Saya hanya mampu bawa resit bayaran yang bercetak komputer sebagi bahan bukti di mahkamah nanti. Saya harap resit ini yang dikeluarkan oleh MPHJT yang saya sendiri terima semasa buat bayaran tempoh hari akan diterima oleh mahkamah. 

10. Saya tidak pasti hak saya dari segi undang-undang apabila menerima tuntutan membayar saman bagi saman yang telah dibayar. Boleh saman malu ke? Atau saman kerana menyusahkan saya?

11. Soalannya bagaimana pula dengan mereka yang tidak menyimpan resit bayaran? Bukankah kes aniaya. MPHJT yang tidak cekap kita pula perlu menghadapi saman dan ancaman masuk mahkamah. Kenapa kecekapan yang ditunjukkan semasa menyaman tidak diguna pakai dalam hal merekod dan menyimpan resit bayaran?

12. Satu lagi mutu perkhidmatan yang membimbangkan ialah di TNB Jalan Bandar Kaba. Saya pergi untuk memberitahu bahawa bil letrik yang dikeluarkan itu terlalu tinggi kerana telah hampir dua bulan saya meninggalkan rumah. Saya lihat bacaan bil itu berdasarkan anggaran saja.

13. Di kaunter yang terletak mesin untuk no. giliran yang sepatutnya juga ada seorang petugas untuk menerangkan sesuatu kemuskilan tetapi pada ketika no. giliran diambil tiadaa petugas, saya terus mengambil no. giliran bagi tujuan bayaran. Saya tidak ingat dengan tepat no. tersebut. Saya duduk diatas kerusi dihadapan sekali menunggu no. di panggil. Maka no. yang mendahului no saya di panggil. Sebelum selesai urusan , no. saya dipanggil. Maka sayapun berbaris dibelakang orang yang masih berurusan itu. Kemudian no. selepas saya dipanggil juga. Apabila orang yang terlebih dulu itu selesai saya pun bergerak ke depan untuk berurusan dan dalam masa yang sama orang yang selepas no. saya itu pun menuju ke kaunter itu. Apa yang terjadi?

14. Petugas kaunter bertanya no. saya. Maka saya beritahu. Katanya dia telah panggil no selepas saya jadi dia kena berurus dengan orang itu. Saya beritahu bahawa saya berbaris dibelakang orang yang terdahulu dari saya, tidak kemana-mana. Dia masih lagi kata dia telah panggil no. selepas saya. Saya rasa kecewa kerana saya berada dihadapannya. Takkan tak nampak. Oleh kerana saya masih lagi tidak berganjak berdiri dihadapannya maka dia telah meminta kawan sebelahnya untuk menguruskan hal saya. Nasib baik ketika itu kawannya itu tidak ada pelanggan. Maka saya akur ke sebelah.

15. Apa pula yang terjadi? Saya mengatakan bil terlalu tinggi sedangkan saya tiada di rumah hampir dua bulan. Apa kata petugas? Begini, tetapi tidak ikut urutan yang sebenarnya 

i) Rumah encik disewakan sebab itu bil macam itu.
ii) Ada orang/jiran curi letrik.
iii) Encik menggunakan perkakas yang kuat makan kuasa letrik.

16. Rumah saya disewakan? Petugas itu lebih tahu dari saya atau semacam ada hak untuk menyewakan rumah saya.

17. Saya tidak menyewa ruamh saya itu. Kalau begitulah cara dia cuba menjustifikasikan sebab letrik saya tinggi nampaknya pihak TNB Melaka kena semak tahap pemikiran pegawainya.

18. Ada orang/jiran curi letrik? Bukankah ini satu tuduhan tanpa membuat siasatan. Adakah begini cara berfikir petugas TNB? Saya beritahu rumah saya sebiji saja. Tiada jiran yang sebelah. Sepatutnya saya tidak menjawab kerana terlalu buruk sekali prasangka petugas itu. Kalaulah saya ada jiran yang berdekatan/bersebelahan dan jika otak saya juga mempunyai fikiran sangka buruk seperti petugas itu  ada kemungkinan saya akan percaya. Bergaduhlah dengan jiran.

19. Encik menggunakan perkakas yang kuat makan kuasa letrik? Dalam hal ini dia bertanya apakah saya menggunakan peti ais. Saya jawab ya. Besar ke? Saya jawab besar juga. Dengan cepat dia kata sebab itulah bil mahal sebab pakai peti ais dua pintu. Bila mendengar perkataan dua pintu saya cepat beritahu bahawa peti ais saya satu pintu saja. Saya anggap besar sebab itulah saiz yang saya rasa besar bagi sebuah rumah. Saya bukan berniaga. 

20. Apa petugas itu kata lagi? Dia tidak menguruskan perkara ini. Ini kaunter bayaran. Saya diarah ke kaunter perkhidmatan pelanggan. Oleh kerana bil perlu juga dibayar, saya beritahu dia saya buat bayaran dulu.

21. Saya terpaksalah mengambil no. giliran untuk menguruskan tentang bil yang terlalu tinggi itu. Terpaksa mengambil masa tambahan sedangkan saya ada urusan yang lain.

22. Jadi saya menganggap layanan yang diberikan adalah merupakan penjelasan yang menyakitkan hati. Mereka ada bahasa. Tapi tidak ada budi. 

23. Saya tidak pula ternampak nama petugas-petugas itu. Tapi sebagai makluman petugas pertama adalah di kaunter no 2, kawannya no. 3 dan kedua-dua perempuan. Peristiwa itu berlaku pada 19.02.12 lebih kurang 12.30 tengah hari.

24. Untuk makluman juga dalam keadaan biasa iaitu jika saya tidak meninggalkan rumah dalam jangka masa yang lama bil letrik saya dalam lingkungan RM250 hingga RM270 itupun kalau saya pakai hawa dingin. Tanpa pakai hawa dingin bil lebih kurang RM150 hingga RM200 saja. Bil yang tinggi sewaktu saya tidak ada dirumah itu pada bulan pertama adalah RM360 dan bulan kedua RM321. Kedua-dua bil ini telah saya bayar. Mungkin pada petugas TNB jumlah bil itu tidak tinggi kot.

25. Begitulah ceritanya. Sungguh mendukacitakan.

Ahad, 19 Februari 2012

Perdebatan Najib vs Anwar Sudah Tiba Masanya.

Saya terlepas peluang keemasan untuk mendengar siaran langsung perdebatan dua pemimpin politik semalam walaupun sebelumnya niat telah dipasang untuk memperuntukkan masa bagi tujuan tersebut. Tapi semalam ada pula hal yang terpaksa diberi keutamaan yang membuatkan saya sekeluarga terpaksa keluar rumah bagi suatu tujuan tertentu. Maka melepaslah peluang yang tidak selalu kita boleh impikan dalam persekitaran politik di Malaysia iaitu berdiri diatas pentas yang sama berhujah membawa keyakinan politik masing-masing bagi di dengar dan dinilai oleh para pendengar. Dan dilakukan dengan secara berstruktur memberi peluang yang sama kepada kedua-dua pihak. Itulah yang telah berlaku semalam perdebatan di antara Presiden MCA Dr. Chua Soh Lek (CSL) dan Ketua Menteri Pulau Pinang YB Lim Guan Eng (LGE). Syabas kepada kedua-dua pemimpin itu.

Bulan lepas kita dihidangkan dengan keberanian dua pemimpin muda berdebat. 

Saya melihat dua perdebatan pemimpin politik ini sebagai satu petanda yang baik dalam proses pemilihan pimpinan negara. Kematangan berpolitik nampaknya mula menyerlah. Dan saya percaya politik memperlekeh dan memaki hamun pihak yang tidak dipersetujui, apatah lagi diatas pentas yang berbeza dan dalam ruang yang menyempit bagi satu pihak, akan sedikit demi sedikit terhapus dalam persekitaran politik Malaysia pada masa yang akan datang. Cara begitu akan dianggap boleh memalukan dan terlalu hina dan seorang yang pengecut yang bercita-cita untuk jadi pemimpin. Sudah tentu rakyat Malaysia tidak akan dapat menerima cara yang telah ketinggalan zaman tidak relevan dan hina itu.

Berbalik kepada perdebatan CSL dan LGE semalam walaupun dilakukan dalam Mandarin, yang saya tidak faham, tetapi jika dapat diikut secara langsung ia sekurang-kurangnya boleh memberi sentuhan kepada perasaan saya dengan melihat gaya penyampaian , air muka pendebat dan reaksi dari penonton. Yang penting dapat melihat mereka berani dan tegak berdiri sambil berjaya mengeluarkan kata-kata mencadang dan berhujah diantara satu dengan lain. Selepas itu bersalaman pula. 

Bukankah itu satu cara yang baik? Tidak perlu melekeh dan menghina misalnya dengan menyampakkan perspektif mana-mana parti politik ke dalam tong sampah. Itu kerja orang pengecut dan sungguh memalukan. Tidak layak berangan-angan jadi pemimpin. Tidak layak dikedepankan untuk menjadi pemimpin. Tidak ada nilai kepimpinan.

Perdebatan yang berlangsung itu telah memberi peluang kepada mereka yang menguasai Mandarin untuk menilai hujah-hujah yang diperkatakan. Dan mereka akan membuat kesimpulan mengikut kepercayaan mereka berasaskan tafsiran dan nilai mereka masing-masing yang sebahagiannya mungkin dipengaruhi oleh kecenderungan pegangan politik dan tidak kurang juga 'bebas' dari pegangan politik mereka. Apa pun yang terhasil dari perdebatan itu sama ada kita cenderung mengatakan pihak ini lebih baik dari pihak yang satu lagi, terdapat sedikit kekurangan dari segi liputan orang yang dapat mengikutinya. Oleh itu rasanya lebih bermanfaat jika perdebatan itu dilakukan dalam Bahasa Melayu supaya ruang liputan akan lebih besar lagi. 

Dengan berlangsungnya dua perdebatan ini iaitu pertama perdebatan Khairi dan Rafizi, dan CSL dan LGE ia memberi harapan yang baik untuk satu perdebatan yang di tunggu-tunggu diantara Najib vs Anwar. Saya percaya ianya akan berlaku tidak berapa lama lagi sebagai puncak perdebatan dalam proses rakyat menilai personaliti dan parti yang layak menerajui negara. Masanya terlalu tepat sekali kerana Pilhanraya Umum Ke 13 sedang menghampiri, sudah terlalu dekat. Jadikan agenda perdebatan ini sebagai agenda tetap dalam sesuatu pilihanraya umum.  
 

Jumaat, 17 Februari 2012

Kami Masih Lagi Disini

Memasuki bulan kedua saya disini. Disini, di Saujana Aster, Precint 11 Putrajaya. Tinggal dalam sebuah kondo bersama dengan isteri dan anak  beserta menantu. Menjadi pengawal dan pengiring Ahmad Naqib, cucu lelaki yang semakin tumbuh membesar. Sudah memasuki 11 bulan. Naqib , itulah panggilan basahan atau kadang-kadang disingkatkan kepada Aqib saja sudah bergerak pantas merangkak ke sana kesini dalam ruang rumah yang mempunyai tiga bilik, sebuah dapur, sebuah bilik rehat yang bersambung dengan ruang untuk meja makan keluarga dan dua buah tandas . Semua ruang-ruang itu telah dilawati oleh Naqib. 

Tapi Aqib masih lagi belum boleh berdiri tegak untuk memecahkan langkah pertama. Sesekali dia cuba menunjukkan kemampuannya berdiri sesaat dua sambil matanya menjeling kearah siapa saja yang menghampirinya. Dia akan menunjukkan kehebatannya itu kepada mamanya, ayahnya, neneknya dan sudah tentu kepada Tokpanya iaitu sayalah sambil matanya menjeling tajam kepada kami. Sambil tersenyum menjeling meminta dipuji. Apabila dipuji bukan main suka lagi dia dan lantas memasukkan jari-jari kedua tangannya dan terus menunjukkan 'geram' menggigit jari-jari itu. Maka kami pun dengan segera meminta Naqib supaya tidak melakukannya dengan bahasa yang kami harap Naqib memahaminya. Ya , jelas dia faham apabila dia tidak meneruskan geramnya itu.

Saya lihat kemuncak kepada keriangan Naqib ialah dengan cara menunjukkan 'kegeramannya'. Rupa-rupanya geram juga merupakan satu dari bentuk keriangan, malah puncak kepada keriangan atau kesukaan. Sebab itulah seseorang yang terlalu sukakan anak-anak kecil yang comel, montel dan sebagainya menyatakan terlalu 'geram' dan rasanya mahu mencubit pipi kanak-kanak itu. Itu adalah perasaan kegirangan , suka dan sayangkan anak itu. Bukan mahu marah atau tidak suka. Begitulah gamaknya Naqib mahu menyampaikan mesej kepada kami bahawa ia terlalu suka akan pujian yang kami beri dan terlalu menghargainya , tidak kisahlah jarinya sedikit sakit kesan gigitan dari luahan rasa kegirangannya itu.

Anak-anak sebenarnya mahukan perhatian terutama dari kedua ibubapa. Dalam hal ini tahap/ranking yang ada pada Naqib meletakkan saya di tempat keempat. Pertama mamanya. Kedua ayahnya dan ketiga neneknya. Bermakna jika kami ada berempat bersamanya, pilihan pertama Naqib ialah mamanya, yang lain nampaknya tersingkir ke tepi. Sebab mamanya ada nenen, kegemaran Naqib, yang orang lain tiada. Kemudian ayahnya yang sungguh rajin melayan 'kerenah' Naqib terutama membawa Naqib bersiar-siar misalnya pergi ke kolam renang. Kemudian neneknya yang sungguh memanjakannya dengan melakukan apa saja demi menyukakan hati Naqib. Akhirnya saya yang suka mendukungnya dan menyanyikan lagu untuk menidurkannya.

Bercakap fasal menidurkan Naqib , kami iaitu saya dan isteri terpaksalah tidur dikiri kanan dan Naqib di tengah. Naqib akan memasukkan ibu jari tangan kanan kedalam mulutnya dan terus menyonyot ibu jari itu dan tangan kirinya akan mencari telinga neneknya itu digentel-gentel dan kadang-kadang dicubitnya sehingga neneknya menjerit kesakitan. Biasanya telinga nenek tidak mampu untuk melelankan Naqib untuk tidur. Dia akan beralih kepada telinga saya melakukan perkara yang sama. Perbuatan tukar telinga untuk digentel-gentel ini dilakukan sehinggalah dia tertidur.

Apabila mama Naqib on call, yang hanya balik rumah pada petang hari kedua bekerja, kami akan membuat tetamu janji untuk berjumpa dengan mama Naqib bagi tujuan menyusu Naqib.  Biasanya temu janji itu dilakukan pada sebelah petang jam 5 dan jam 8 malam bergantong kepada masa yang ditetapkan oleh mama Naqib. Susuan dilakukan didalam kereta dikawasan tempat letak kereta hospital. Tetapi jika Mama Naqib terlalu sibuk, maka melepaslah Naqib untuk mendapat susu ibunya. Naqib tidak akan mahu menyusu walaupun susu mamanya melainkan secara terus dari mamanya. Botol dan sudu lupakan saja.

Yang seronok diperhatikan ialah semasa melihat mamanya keluar dari pintu hospital dan menuju kearahnya, Naqib akan melompat-lompat kegirangan. Kalau misalnya dia sedang memegang sesuatu seperti botol, botol itu akan dilepaskannya kerana terlalu suka melihat mamanya yang mendekatinya. Begitulah terlalu tingginya harapan kasih sayang anak dari mamanya. Oleh itu jika mama Naqib tidak dapat mengadakan temu janji untuk menyusu anaknya kerana kesibukan kerja kami merasa terlalu berdukacita. Apatah lagi Naqib, cuma dia melahirkan dengan cara seorang anak kecil misalnya menangis dan merajuk tidak mahu minum atau makan air/makanan yang disuap.

Di sebelah petang apabila terdengar saja kunci pintu di buka Naqib akan mengalihkan pandangan kearah pintu itu. Dia tahu ayahnya yang balik. Maka melompat-lompatlah Naqib apabila saja muncul wajah ayahnya sambil memasukkan ibu jari tangan kanan ke dalam mulut dan cuba mencari telinga sesiapa yang mendukungnya untuk di gentel atau sekarang ini dia akan menggentel telinganya sendiri. Ayah Naqib memahami perasaan anaknya itu lalu terus mendukung anaknya tanpa terlebih dahulu menukar pakaian. 

Cuma yang kasihan ialah mama Naqib yang keletihan apabila balik bekerja setelah menjalani on call. Mama Naqib tidaklah dapat sepenuhnya melayan Naqib kerana terlalu mengantuk. Melihatkan ini saya dan isteri akan meneruskan tugas untuk menguruskan Naqib. Sedih juga rasanya. Apa boleh buat. Itu adalah tugas seorang doktor.

Jadi setelah dua bulan disini, kami merasa amat berat untuk meninggalkan Naqib. Pertama , mamanya yang terpaksa on cll. Kedua, kadang-kadang ayah Naqib pun balik agak lewat, waktu Isya baru sampai. Jika kami tiada siapakah yang akan menguruskan Naqib? 

Beginilah kehidupan pasangan suami isteri ketika ini. Kedua-dua bekerja. Tidak bekerja tidak patut juga. Masing-masing telah belajar begitu lama. Apabila ada anak, timbul soal siapa pula hendak menjaganya. Nursery, pembantu rumah. Itu bukan jawapan yang baik kerana harganya terlalu mahal; penjagaannya penuh dengan keraguan yang menambahkan lagi kerisauan dan macam-macam hal yang tidak menyenangkan hati. Jadi mereka terpaksa mengharapkan kepada kedua ibubapa. Kiranya ibubapa sihat, alhamdulillah , tiada masalah. 

Jadi setelah dua bulan kami masih lagi disini. Seronok juga tapi ada juga kerinduan pada rumah yang ditinggalkan.

Selasa, 14 Februari 2012

Perkataan-perkataan Melayu Yang Tersingkir.

1. Pada pagi ini teringat akan beberapa perkataan lama yang kurang dan mungkin tidak digunakan lagi dalam percakapan atau dalam karya-karya tulisan. Mungkin juga sudah tidak difahami atau menjadi sesuatu yang janggal apabila didengar oleh mereka dari kalangan generasi yang baru.

2. Saya mulakan dengan perkataan pukul. Perkataan pukul ini ketika ini masih lagi digunakan atau boleh difahami apabila kita hendak menyatakan  waktu misalnya 'pukul berapa' sekarang ini yang membawa maksud 'jam berapa'. Cuba kita minta anak muda untuk pukul talipon, apakah reaksinya. Saya percaya dia akan terpinga-pinga dan merasa hairan mengapa pula kita meminta beliau memukul talipon. Dia juga percaya tidak mungkin kita meminta dia untuk merosakkan talipon.  'Itu kerja gila' bisik hati kecilnya. Tetapi kalau kita kata tolong dail atau talipon nombor-nombor sekian-sekian maka dia tidak akan terpinga-pinga dan terus melakukan apa yang kita minta.

3. Begitu juga dengan pukul gambar bagi maksud mengambil gambar. Pukul rata atau 'average' dalam bahasa Inggeris mungkin juga tidak difahami berbanding dengan perkataan purata. Mereka mungkin tidak tahu bahawa perkataan purata itu berasal dari perkataan pukul dan rata yang disingkatkan menjadi purata.

4. Macam mana pula kalau kita meminta seseorang itu pergi berjumpa mata-mata dirumah pasong untuk membuat sesuatu laporan? Ada yang pening kepala agaknya terutama mereka yang malu untuk bertanya. Apa itu mata-mata dan apa itu rumah pasong. Sebaliknya jika digunakan perkataan polis yang bermaksud mata-mata dan balai polis yang bersamaan makna dengan rumah pasong  sudah tentu mereka tidak pening kepala.  Bagaimana pula dengan mata-mata gelap? Pun saya kira ada yang tidak tahu. Mata-mata gelap itu ialah polis cawangan khas yang lebih terkenal dengan 'special branch'.

5. Lawatan sambil belajar selalu juga dibuat oleh pihak sekolah pada masa dulu. Satu dari tempat yang tidak lupa dilawati ialah sekolah gambar. Sekolah gambar? Adakah tempat untuk mengambil gambar? Bukan. Sekolah gambar itu ialah muzium.

6. Perkataan seperti tetuang udara yang bermaksud radio sekarang ini tidak lagi digunakan. Perkataan yang berkaitan dengan mata pelajaran pun mengalami nasib yang sama.  Dulu ada matapelajaran dipanggil sebagai ilmu kejadian yang bermaksud sains; ilnu hisab yang diganti dengan matematik; ilmu alam bermaksud geografi; dan tawarikh bermaksud sejarah.        

7. Kalau kita sakit pergilah jumpa tabib di rumah sakit. Ayat sebegini dengan menggunakan perkataan tabib dan rumah sakit tidak akan terjumpa ketika ini kerana perkataan tabib telah diambilalih oleh doktor dan perkataan rumah sakit digantikan dengan hospital. 

8. Mungkin juga kita akan lupa perkataan belanjawan pada suatu hari nanti kerana telah diambilalih oleh perkataan bajet. Dr. Mahathir telah memulakannya dalam pembentangan bajet (belanjawan) negara. Maka selepas itu setiap pembentangan belanjawan negara akan di panggil sebagai pembentangan bajet negara.


9. Sebenarnya ada banyak lagi contoh-contoh perkataan-perkataan yang telah dipinggirkan penggunaannya dan diganti dengan perkataan yang baru. Secara amnya perkataan-perkataan baru yang diperkenalkan itu adalah sebahagiannya dari bahasa Inggeris yang di Melayukan secara ejaan saja. Mungkin ianya memberi kesan yang baik kepada perkembangan bahasa Melayu dan mungkin juga ianya boleh melenyapkan perkataan Melayu yang telah digantikan itu. 

10. Akhirnya kita mengharapkan agar keghairahan untuk menggantikan perkataan Melayu dengan perkataan Inggeris tidak akan memberi kesan yang buruk kepada bahasa Melayu itu sendiri dalam bentuk kehilangan perkataan demi perkataan dari masa ke semasa sedangkan ianya tidak mudah untuk menghasilkan sesuatu perkataan yang mempunyai makna dalam kehidupan masyarakat. 

Jumaat, 10 Februari 2012

Rumah Bagi Orang Tidak Mampu D Bandar: Kenapa Berbeli-belit

1. Hasrat membantu orang bandar yang tidak mampu untuk  memiliki rumah  adalah satu hasrat yang murni dan perlu disokong. Tidak mampu disini bermaksud tidak ada wang untuk membiayai kos membeli rumah. Atau ada wang tapi tidak cukup. Atau tidak mendapat taraf  kredit yang diyakini oleh institusi kewangan untuk membayar balik pinjaman. 

2. Maknanya dalam bahasa kewangan jika bank membiayai mereka ini maka bank memasuki satu projek  yang 'financially not viable' -tidak ada daya maju kewangan. Dalam bahasa biasa  peminjam tidak mampu bayar hutang. Jadi itu bukan cara bank buat kerja, boleh jadi bengkerap.

3. Begitulah halnya yang dihadapi oleh sebahagian rakyat bandar yang ingin mendapat sebuah rumah yang sesuai. Wang tidak ada, institusi kewangan pula tidak boleh digantung harap. Jadi siapa wajib tolong. Sudah tentu kerajaan yang telah diberikan amanah untuk menguruskan harta negara. Kerajaan Barisan Nasionallah.

4. Tidak pasti berapa ramai bilangan yang terlibat cuma dengar cerita sebanyak 20,000 orang. Saya percaya sebahagian besar kalau tidak pun semua adalah mereka yang tinggal dalam Bandaraya Kuala Lumpur. Dan difahami mereka ini mendiami kawasan Parlimen Lembah Pantai.

5. Jumlah yang diperlukan ialah sebanyak RM1.5 bilion. Sumber pembiayaan adalah dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Oleh kerana sekatan undang-undang maka cara pembiayaan tidak dibuat secara langsong oleh KWSP kepada bakal pembeli tetapi meminjamkannya kepada entiti yang lain yang dipanggil Special Purpose Vehicle (SPV). SPV ini bertanggongjawab menguruskan wang yang diperolehi dari KWSP untuk di pinjamkan kepada bakal pembeli. Kerajaan mengatakan risiko pinjaman kepada KWSP tidak tinggi dan bayaran balik pinjaman  terjamin. Maknanya penyumbang KWSP iaitu para pekerja tidak perlu gusar dengan wang yang digunakan bagi tujuan yang dimaksudkan. Satu pelaburan yang tidak berisiko. Wang simpanan mereka selamat.

6. Mengapakah Kerajaan perlu menggunakan cara yang berbelit-belit untuk membiayai perumahan  rakyat bandar yang tidak mampu ini. Amat menghairankan kerana Kerajaan sendiri telah mengaku bahawa mereka ini perlu dibantu. Mereka juga telah di kategorikan sebagai orang yang tidak mampu/kurang mampu untuk membayar balik pinjaman. Sebab itu tiada satu institusi kewangan yang sanggup membiayai pinjaman. Saya percaya jika pun undang-undang membenarkan KWSP boleh memberi pinjaman kepada individu untuk membeli rumah, KWSP tidak akan berbuat demikian, jika ukuran yang dipanggil 'financial viability' itu dipatuhi.  Melainkan KWSP melupakan disiplin kewangan kerana kena pulas.

7.   Kenapa tidak Kerajaan membiayai secara langsung melalui peruntukan Kerajaan yang dibincang dan diluluskan oleh Parlimen. Saya percaya ianya akan mendapat sokongan dari semua pihak termasuk mereka yang membangkang .Apalah banyaknya RM 1.5 bilion berbanding dengan pembaziran dan kebocoran hasil negara melalui berbagai cara. Bukankan kita ada Syarikat Perumahan Negara? Kenapa tidak diminta syarikat ini mengambil tanggongjawab. Kenapa perlu menubuhkan satu entiti yang baru.

8. Dengan demikian pertanyaan timbul adakah sebenarnya Kerajaan mahu membantu sebagai memenuhi tanggongjawab atau mengambil kesempatan dari kemelaratan rakyat tersebut untuk mendapat sokongan politik dengan menggunakan simpanan wang pekerja sebagai sumber pembiayaan?  Bayaran balik dari bakal pembeli terlalu kecil/tiada. Jadi bagaimana hendak dapatkan balik wang untuk membayar kepada KWSP?
9. Kalau begitu saya lihat keputusan Kerajaan ini adalah berdasarkan kepada 'political viability'. Untuk faedah politik yang dijana melalui sumber yang sepatutnya mengambil kira 'financial viability' dalam urusniaganya. Waktunya bertepatan dengan pilihanraya. Kawasannya pula adalah kawasan yang di kuasai oleh pembangkang. Jadi mengapa perlu meragui akan keraguan yang dinyatakan oleh pihak pembangkang akan cara pembiayaan projek ini.

10. Penyimpan KWSP bagaimana? 'Financially' projek ini berisiko tinggi bahkan tidak 'viable'. 'Politically' ianya 'viable' kepada pemerintah, dari segi jangka pendeklah. Projek yang mudah dibuat secara berbelit-belit. Apa makna berbelit-belit? Dan mengapa perlu berbelit-belit?.





Rabu, 8 Februari 2012

Sewajarnya Kita Mempunyai Buku Catatan Tentang Kesalahan Yang Kita Lakukan.

Kalau kita catatkan kesalahan-kesalahan yang telah kita lakukan sesama insan semenjak kita kecil (semasa kita telah tahu menulis dan membaca katakan pada usia 7 tahun)  sehingga ke usia ketika ini, (katakan berusia 60 tahun) ,  saya rasa buku catatan itu telah menjadi terlalu tebal dan telah punya banyak siri. Apatah lagi kesalahan terhadap Allah. Dua-duanya berdosa jika tiada pengampunan.

Saya percaya tidak ada seorang pun dari kita, termasuk saya, yang mempunyai buku catatan itu. Dengan sebab itu sebahagian besar dari kesalahan itu telah  hilang dari ingatan kita. Namun ada juga yang masih tersimpan dalam ingatan terutama yang terbaru.

Saya lebih suka untuk mengingati kesalahan yang telah dilakukan semasa kanak-kanak  berusia 7 hingga 10 tahun. Tidak ada apa asas digunakan dalam memilih had usia tersebut.

Kesalahan-kesalahan yang kita lakukan semasa berusia 7 hingga 10 tahun itu  sebahagian besarnya adalah yang berkaitan dengan sifat kenakalan kita sebagai anak yang banyak dipengaruhi oleh persekitaran dan kawan-kawan. 

Kesalahan yang paling banyak sekali adalah terhadap kedua ibubapa. Misalnya kedegilan kita yang tidak mahu menurut perintah . Namun saya percaya kedua ibubapa kita tidak menganggap kesalahan kita itu sebagai melakukan dosa terhadap mereka. Malah mereka sentiasa mendoakan untuk keselamatan, kesejahteraan dan keampunan untuk kita. Yang ini selamatlah kita.

Selain dari kesalahan kepada ibubapa, dengan kawan sepermaian juga paling banyak dilakukan, misalnya bercakap bohong dan sebagainya. Biasanya jika kawan yang kena tipu itu tahu dianya ditipu, maka berlakulah pertengkaran dan pergaduhan. Kemudian berbaik semula. Saya kira kesalahan yang dibuat itu telah mendapat keampunan dari kawan itu kerana telah diketahui dan telahpun diselesaikan melalui pertengkaran dan pergaduhan. Semoga lepaslah kita dari dosa.

Satu lagi perbuatan atau kesalahan yang kerap dilakukan adalah mengambil atau mencuri harta benda orang bukan Islam. Misalnya perbuatan mengambil atau mencuri gula-gula, biskut dan roti dari kedai China adalah satu kebiasaan. Pertama kerana tidak berdosa. Itulah yang telah dahulunya diberitahu. Kedua kerana terlalu lapar sedangkan tiada wang untuk membelinya semasa balik berjalan kaki dari sekolah ke rumah yang jauh itu. Yang ini bagaimana?

Kesalahan lain yang masih boleh diingati adalah memetik buah jambu batu, jambu air, dan berbagai buah-buahan lagi tanpa mendapat izin dari pemiliknya adalah juga perkara biasa. Perbuatan itu bukan saja dilakukan tanpa diketahui pemilik bahkan dilakukan dihadapan pemilik terutama pemilik yang telah berusia yang tidak berdaya untuk mengejar dan menangkap kita. Macam harta sendiri, buah-buah itu dipetik tidak kira yang masih muda atau yang telah masak, habis dilatamnya. Sudah tentu ini adalah satu perbuatan yang berdosa walaupun perbuatan itu telah diketahui oleh tuan punya. Kita juga telah menyakitkan hatinya.
 
Empat contoh perbuatan diatas dilakukan dengan kepercayaan bahawa ianya bukanlah satu kesalahan yang membawa dosa.  Itulah yang dipercayai oleh anak-anak seusia 7 hingga 10 tahun. Atau pun itulah yang saya yakin pada usia itu.

Kesalahan terhadap ibubapa, rasanya selesai. Dengan kawan-kawan, selesai hendaknya. Mengambil harta bukan Islam, tidak selesai , berdosa. Mengambil harta orang Islam tanpa izin, juga tidak selesai. Maknanya banyak yang tidak selesai dalam hubungan kita sesama insan.

Nampaknya pada usia 7 hingga 10 tahun kita telah melakukan banyak kesalahan walaupun yang kita ingat terlalu sedikit. Bermakna setelah berusia 60 tahun makin bertimbunlah kesalahan yang telah kita lakukan  sesama insan. 

Saya percaya diantara kesalahan-kesalahan yang telah kita lakukan selepas melepasi usia 10 tahun adalah menipu, cakap bohong, mengambil bukan hak, pecah amanah, memfitnah dan mengumpat dan berbagai-bagai lagi yang boleh menyusah, merugi dan menyakitkan hati pihak lain.  

Semoga kita mempunyai kekuatan untuk memohon kemaafan kepada pihak yang telah kita sakiti, yang telah mendapat kerugian dan yang telah kita khianati. Tapi kalau mereka tiada lagi dan tidak di ketemui lagi , bagaimana? Kita buatlah sebanyak baik kebaikan dan kebajikan dan pahalanya sedekah kepada mereka. Betul ke cara itu? Hanya Allah yang maha mengetahui.
Cuma oleh kerana kita tidak mencatatkan kesalahan kita itu maka banyak yang kita tidak ingat.

Semoga kita tidak akan meneruskan perbuatan yang keji itu. Berdoalah kepada Allah semoga Allah memberikan kita kekuatan bagi mengelakkan perbuatan-perbuatan keji itu.

  

Isnin, 6 Februari 2012

Cita-cita Saya

Sudah tiga hari Dia menjadi tetamu kepada Amin seorang anak muda yang berjiwa besar. Bercita-cita untuk menjadi PM.

Amin tinggal di sebuah bandar dengan menyewa sebuah rumah teres satu tingkat yang mempunyai tiga bilik. Amin duduk di bilik utama dan sebuah bilik lagi digunakan sebagai bilik operasinya dimana segala kelengkapan dan peralatan operasinya di tempatkan. Sebuah bilik lagi dijadikan bilik tetamu. 

Amin mempunyai ramai kenalan. Kawan-kawan Amin lebih selesa menumpang tidur dirumah Amin dari menginap di hotel jika mereka ada urusan dibandar itu. Dan itu yang memang menjadi harapan Amin kerana bermacam perkara mereka boleh perkatakan. Bermacam maklumat dapat mereka menfaatkan bersama.

Terdapat dua set tv. Satu dibik operasi dan satu lagi di bilik tetamu. Amin tidak mahu menempatkan tv diruang tamu. Ruang tamu baginya adalah untuk berbual mesra dengan tetamu dan bukan untuk menonton tv. Menonton tv adalah didalam bilik.


Dibilik tetamu Dia sedang menonton berita dari sebuah saluran tv. Seperti biasa setiap kali Dia menonton tv atau apa saja perbincangan atau forum Dia akan merakamkan program tersebut. Kemudian Dia akan menonton sekali-dua rakaman yang telah dibuat sebelum membuat beberapa catatan dalam sebuah buku khas. Dia akan menulis atas tajuk yang tertentu berdasarkan maklumat yang diperolehi dari rakaman yang telah dibuat.  Itulah kerjanya walaupun bertamu dirumah orang.


Amin mengetuk pintu bilik tetamu yang tidak tertutup itu sebagai isyarat mohon izin untuk masuk. Amin dipersilakan masuk.  Amin duduk bersila diatas lantai parquet disebelah kawannya itu. Mereka sama-sama menonton berita. Tidak ada siapa yang bersuara memulakan sebarang hal untuk bahan perbualan. 

Inilah kali pertama selepas lebih 10 tahun Amin menonton berita di tv. Berita tv tidak pernah memberahikan seleranya untuk menonton malah menimbulkan banyak rasa kebencian dan menyampah. Amin hanya tonton program-program sukan, rencana seperti Animal Planet dan program kartun . Katanya ini lebih berfaedah dari mendengar berita yang penuh dengan kebohongan, fitnah dan penipuan. Tapi kali ini Amin tidak boleh mengelak diri. Amin kena tonton bersama sebab  sudah berada dalam bilik bersama tetamu. Tidak molek Amin berpaling muka dan keluar. Tetamu mesti dihormati.

Tamat saja berita Amin mengajak kawannya itu untuk keluar makan malam di sebuah gerai yang berdekatan. Amin tidak masak dirumah . Amin memilih makan dikedai saja. Tidak penat.

Mereka berjalan ke gerai yang letaknya lebih kurang 500 meter dari rumah Amin.

"Dia saja yang boleh jadi PM", kawan Amin memecah kesunyian dalam perjalanan itu. Amin faham kepada siapa kata-kata itu ditujukan. Amin telah muak mendengar kata-kata seperti itu. Tapi tidak melalui berita tv. Melalui media internet dari laman yang tidak sealiran dengan saluran tv itu dan yang bersekongkol dengannya. Amin merasa hairan juga mengapa kawannya itu marah sangat dengan berita seperti itu kerana kawannya itu begitu fokus menonton berita tadi seolah-olah tiada apa yang tidak kena. Bahkan merakamkan berita yang ditonton. Amin tidak mahu bersuara. Lebih suka mengambil posisi dengar dulu.


"Orang lain dikatakan gila kuasa. Tujuan berpolitik hanya untuk jadi PM. Abis dia yang telah bertahun-tahun jadi PM tak gila kuasa. Dia saja yang layak jadi PM". Kawannya meneruskan nafsu amarahnya.

"Sebab itu saya tak pernah tonton berita tv. Banyak kelentong, bohong, tipu dan suka menjatuhkan maruah orang. Dia saja yang baik. Dia saja yang hebat. Dia saja yang tidak gila kuasa. Dia saja yang layak jadi PM. Orang lain dia kata gila kuasa". Amin mula masuk campur kerana pada bacaannya kawannya ini adalah sealiran dengannya.


Namun kawannya itu memberi pandangan yang berbeza tentang menonton tv itu. Adalah satu kerugian yang amat besar jika berita dari tv atau dari media yang sealiran dengannya tidak dimenfaatkan. Berita itu mesti dilihat , ditonton atau dibaca. Sebaik mungkin berita atau program dalam tv itu dirakam supaya dapat diulang tonton. 


"Tapi bukankah tidak baik kita menonton dan mendengar sesuatu yang tidak betul". Amin memandang muka kawannya itu yang terus memandang kehadapan.


"Benar. Tapi kita mahukan cerita yang tepat. Bukan dari penceritaan pihak lain kerana perolahannya mungkin tergelincir dari yang sebenar. Apatah lagi jika ada emosi kebencian. Berita yang tidak tepat, tidak memberi guna kepada kita dari apa sudut sekalipun".

 Mereka telah menghampiri gerai makan. Terdapat 6 pintu kesemuanya. Ramai juga pelanggan yang sedang menikmati makan malam. Amin dan kawannya pergi ke gerai no. 3. Mereka memesan mee sup sebaik saja ditanya oleh pelayan gerai.


"Saya pun hairan kenapa dia kata begitu sedangkan dia begitu lama jadi PM. PM hanya monopoli dia saja ke. Kumpulan dia saja ke. Yang lain kalau bercita-cita jadi PM, puak dia kata gila kuasa". Amin menyambung cerita. Kawannya memberi isyarat supaya suara Amin sedikit diperlahankan supaya tidak didengar mereka yang berdekatan. Amin mengangguk faham. "Saya juga nak jadi PM". Sambung Amin dengan nada yang serious.


Kawan Amin tidak memberi reaksi yang berbeza. Cerita Amin yang hendak jadi PM itu bukan satu yang luar biasa. Semua orang boleh mempunyai cita-cita itu. InsyaAllah jika menang bertanding dalam pilihanraya dan mendapat sokongan majoriti ahli-ahli dewan rakyat, Amin boleh jadi PM. Itu yang di peruntukkan dalam Perlembagaan. Tidak ada di mana-mana peruntukan Perlembagaan mengatakan hanya kelompok atau ahli parti tertentu saja yang boleh jadi PM. 


"Kamu mesti kerja kuat untuk menang. Mesti dapat menyakinkan majoriti mereka yang menang untuk menyokong kamu", kawan Amin memberikan keyakinan.


"Sebenarnya saya telah buka bilik operasi dirumah saya. Macam-macam telah saya atur termasuk manifesto pilihanraya saya", Amin semakin yakin bahawa cita-citanya untuk jadi PM akan tercapai tidak lama lagi. 


Cikgu Amin yang mengajar Bahasa Melayu bangun dari kerusi setelah habis membaca karangan dari salah seorang anak muridnya. Cikgu Amin memandang ke arah anak-anak muridnya . Kesemua anak-anak muridnya sedang membaca buku seperti yang telah diarahkan pada awal kelas tadi bagi membolehkan dia membaca karangan yang telah disediakan oleh murid-muridnya atas tajuk "Cita-cita Saya".

Matanya mencari seorang murid yang bernama Amin, kebetulan yang sama dengan namanya. Sudah jumpa.


"Kamu Amin, apa yang kamu tulis. Saya kata buat karangan mengenai Cita-cita. Bukan buat cerpen", Amin tersentak apabila namanya disebut dengan nada yang agak tinggi. "Berdiri kamu apabila cikgu bercakap", perintah Cikgu Amin sedikit rasa marah meresap dalam dadanya.


"Saya tulis tentang cita-cita saya hendak jadi PM. Tak salahkan cikgu saya ada cita-cita nak jadi PM". Semua murid-murid ketawa apabila mendengar Amin mengatakan cita-cita nak jadi PM. Kemarahan cikgu Amin mula meningkat. Beliau meninggi suara minta semua murid diam.


"Memang tidak salah ada cita-cita seperti itu. Tapi saya suruh buat karangan biasa dan bukan cerpen. Siap dengan dailog sekali. Tak betul tu. Salah", Cikgu Amin merendahkan sedikit suara supaya Amin dapat faham apa yang dimaksudkan karangan itu.


"Maaf cikgu, itulah yang saya karang dalam had perkataan yang cikgu tetapkan. Pendek saja. Karangan bagi cerita pendek". Sekali lagi murid-murid ketawa walaupun telah diminta diam sebelumnya. Terlalu anih bagi mereka akan cita-cita Amin itu hendak jadi PM. Pada mereka yang boleh jadi PM ialah yang telah berusia tua seperti Cikgu Amin. Cikgu Amin pun tidak dapat menahan perasaan. Dia tersenyum dan ketawa kecil saja diikuti dengan gelengan kepala.

"Kalau kamu tak jadi PM, saya jadi pun tak apa. Kan ke nama kita sama. Itu juga cita-cita saya", bisik cikgu Amin yang mula melebarkan senyuman.

Sabtu, 4 Februari 2012

Najib dan Anwar berdebatlah kamu. Contohilah keberanian pemimpin muda dan semangat budak-budak kecil yang pantang dicabar.

Tahniah kepada penganjur debat diantara Khairi Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO) dan Rafizi Ramli (Pengarah Strategi PKR) yang mengambil tempat di luar negara iaitu di England. Debat dua anak muda atau dua kepimpinan muda negara berkaitan dengan isu negara. Syabas. 

Tidak perlu kita mengulas pihak mana yang menang atau kalah. Masing-masing kita mempunyai daya kemampuan untuk menilai dan menganalisis buah fikiran dan hujah-hujah yang dikemukakan  oleh dua pemimpin muda yang berani itu.

Perdebatan ini adalah merupakan satu mesej yang jelas lagi terang bahawa perbahasan mengenai isu negara dari dua pihak yang bertentangan boleh dilakukan dengan penuh beradab, saling hormat menghormati  dan boleh diterima oleh rakyat Malysia. Ianya bukan satu budaya yang asing seperti disebutkan oleh seorang pemimpin kerajaan dalam hujahnya menolak perdebatan antara PM dengan Ketua Pembangkang.

Dengan demikian perdebatan seperti ini diantara PM dan Ketua Pembangkang dalam isu-isu berkaitan dengan negara wajar diadakan. Masing-masing mengatakan bahawa dasar dan cara mereka mengurus negara adalah lebih baik. Kalau begitu berhujahlah secara beradab dan tertib untuk didengar dan disaksikan oleh semua orang. Kaedah ini bukankah lebih baik daripada menghentam dan memperkecilkan pihak lawan diatas pentas yang berlainan. Berdiri diatas pentas yang sama, berhujahlah kamu berdua, biar kami dengar dan saksi. Biar kami nilai dan analisis hujah-hujah kamu berdua dalam hal berkaitan pengurusan negara. Kemudian kami boleh buat ketetapan yang mana satu lebih baik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. 
Apakah tidak percaya akan kemampuan rakyat untuk berfikir? Jangan risau . Sebenarnya rakyat telah lama menunggu akan debat ini. Pihak yang ingin menganjurkannya pun telah ada. Apa lagi, ayuh Najib dan Anwar berdebat. Pilihanraya sudah dekat, berilah kami peluang untuk melihat dan mendengar dua pemimpin yang mahu duduk dipuncak menerajui negara. Kita mahukan yang terbaik demi rakyat dan negara.

Contoh teladan sudah ada walaupun dari orang muda. Tidak mengapa terlambat dan tidak ada salah mengambil teladan dari yang muda. Malah ianya amat memalukan jika yang tua merasa kurang yakin untuk naik keatas pentas untuk berdebat.  Macam mana nak menawarkan diri jadi pemimpin kerana berdebat pun kurang yakin. Kita perlukan pemimpin yang penuh yakin untuk memimpin. Sekali lagi saya katakan rakyat Malaysia telah bersedia menerima budaya berdebat ini. Jangan risau tentang hal itu. Yang penting berani berdebat.

Tentang berani dan tidak berani ini, saya teringat semasa kecil-kecil dulu apabila berlaku perbezaan pandangan dengan kawan yang lain. Atau semasa hendak betumbuk. Ketika ini sebagai anak-anak , kami bertengkar mempertahankan sesuatu hal. Macam-macam kata yang kurang enak disebut bagi mempertahankan pendirian masing-masing. Jika pertengkaran itu tidak dapat dikawal maka berlaku cabar mencabar untuk bertumbuk. Caranya ialah pihak yang mencabar akan mengambil dua biji batu. Masing-masing batu itu mewakili kepala bapa yang hendak bergaduh. Cabarannya berbunyi begini " Kalau berani pijaklah kepala bapa aku ni". Jika cabaran disambut dengan memijak batu itu , maka berlaku tumbuk menumbuk sehingga bengkak-bengkak.

Cerita diatas ialah cabar mencabar dikalangan anak-anak kecil. Mereka bertengkar dan bertumbuk.  Ini tahap perlakuan dan pemikiran budak-budak kecil yang tidak pandai mengawal kata-kata. Apa saja yang mahu dikeluarkan dari mulut dikeluarkan. Dan kebanyakannya yang tidak senonoh. Sebab itu mereka bertengkar dan bukan berdebat. Bila bertengkar hasilnya berlaku cabaran bertumbuk. Namun anak-anak itu boleh di puji kerana mereka ada 'maruah', yang tidak akan berundur apabila dicabar.

Jadi kita yang tua ini, terutama yang jadi pemimpin atau hendak menjadi pemimpin negara, usah bertengkar seperti budak-budak itu. Jangan bertumbuk. Untuk kita memperjuangkan pendirian mestilah melalui debat. Tertib dan beradab. Cuma tiru mereka dari segi keberanian menyambut cabaran.