Theflowersellingboy

Sabtu, 31 Disember 2016

Selamat Menjalani Kehidupan Tahun 2017




Tepat pukul 12.01 minit malam ini, kita telah berada selama satu minit dalam tahun baru, tahun 2017, meninggalkan selama 1 minit tahun 2016.

Selamat tinggal 2016 dan selamat datang 2017.

Kita tidak tahu apa yang akan kita lalui sepanjang tahun 2017, dan sama ada kita akan ada kesempatan untuk bersama-sama sehingga penghujung 2017.

Kita merancang, Allah menentukan. Kita mendoa dan mengharapkan yang terbaik sahaja.

Harap-harap perancangan kita bagi tahun baru 2017 nanti, yang sudah tentu bagi tujuan yang baik akan diperkenankan Allah. 

Apa pun yang telah berlaku, dan apapun perbezaaan diantara kita pada tahun 2016, ianya tidak sewajarnya menghalang kita untuk mendoakan yang terbaik, demi rakyat dan negara yang tercinta.

Kita berdoa agar diberikan Allah kesihatan tubuh badan dan akal fikiran, menjauhi dan menolak kemungkaran dengan meningkatkan lagi kerja dan usaha ke arah yang makruf. 

Kita mengharapkan negara kita berada dalam aman sejahtera, makmur dan  hidup penuh harmoni diantara penduduk yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya dibawah pimpinan yang adil dan bertanggungjawab dalam menjalankan amanah.

Amin!

Oleh kerana, masa hadapan tidak mudah kita telah, untuk paparan kali ini saya ingin mengimbau kembali tahun 2016 yang tidak berapa jam lagi akan kita tinggalkan, dan tahun-tahun yang telah berlepas lalu.

Saya mengimbau berdasarkan bicara dalam paparan dalam blog kecil saya ini.

Saya akui saya tidak mengenal atau tahu siapakah yang membaca paparan dalam blog saya ini. Namun begitu dari berbagai isu yang saya bicarakan, saya hanya boleh meneka bahawa mereka terdiri daripada pembaca-pembaca yang mahukan cerita atau isu yang rengan-rengan sahaja.

Paparan yang berbentuk cerita, yang benar mahupun ilusi, kelihatan mendapat bilangan pengunjung melebihi isu-isu berat seperti urustadbir negara, politik dan ekonomi. Isu-isu berat  ini yang memerlukan daya kemampuan analisis dan pengetahuan dalam bidang-bidang tersebut menunjukkan bacaan bilangan pengunjung yang kecil

Namun begitu, saya akan terus berbicara tanpa merujuk kepada draf kecenderungan pemabaca. Saya bicara apa sahaja yang saya mampu melainkan hal-hal teknikal yang memerlukan pengetahuan yang khusus.

Saya mula berbloging pada 2 Februari 2011, setelah 7 tahun saya bersara dari perkhidmatan awam. Tempoh 7 tahun berdiam diri itu , bagi saya terlalu lama untuk diteruskan. Terlalu boring, menjemukan.

Semasa saya memberikan ucapan pada majlis meraikan persaraan, saya telah berjanji dihadapan hadirin bahawa dalam tempoh bersara, selagi saya sihat, saya akan menulis sesuatu berkaitan pengalaman pahit maung, serta manis merdunya menjadi penjawat awam. 

Tapi niat itu tidak saya laksanakan bahkan saya tidak mulakan satu perkataan pun kearah penulisan itu.

Sebabnya, penulisan saya itu nanti, saya tidak boleh berterus terang untuk menyatakan yang benar, melainkan yang benar. Sebagai penjawat awam walaupun telah bersara, saya percaya, saya masih lagi tertakluk kepada peraturan dan undang-undang kerahsiaan kerajaan.

Jadi, 7 tahun menjadi sepi dan boring dalam kehidupan saya.

Pun begitu, saya mahu memberitahu kepada pembaca bahawa saya amat menghormati dan berbesar hati menjadi penjawat awam. 

Sebab itu jika ada mana-mana pihak yang dengan mudah menuding jari kepada penjawat awam setiap kali ada masalah, misalnya salah aturan dalam perolehan kerajaan atau lebih belanja, kebocoran hasil, lembab mengambil tindakan, rasuah, bangunan yang tidak dibina mengikut speks yang menyebabkan runtuh dan berbagai lagi, reaksi spontan saya ialah 'Jangan buat tuduhan begitu. Siasat terlebih dulu punca masalah'.

Saya tidak menafikan ada masalah dan kelemahan dikalangan penjawat awam. Dan saya amat bersetuju jika mereka yang membawa nama buruk penjawat awam itu wajar diambil tindakan dan dihukum jika sabit kesalahan.

Namun secara am, dalam jumlah majoriti, kami penjawat awam telah melakukan dengan penuh rasa tanggungjawab tanpa kepentingan diri yang boleh merosakkan kepentingan rakyat dan negara.

Kami menjalankan tanggungjawab dibawah naungan 'SYMP'. 

(SYMP),  Saya  Yang   Menurut  Perintah  ini,   pada permukaannya,  boleh dilihat atau ditafsirkan sebagai penjawat awam adalah robot  atau pak turut.

Harap bertenang kepada mereka yang melihat kami seperti itu. Bagi kami, SYMP adalah satu penyatuan segala kekuatan yang kami gembeling bersama dalam  menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi. Dengan SYMP lah kami akan memastikan kami mampu melakukan kerja dengan berkualiti, melalui pengetahuan dan kemahiran serta langkah-langkah tambahbaik dari semasa kesemasa.

Namun begitu, ada pihak-pihak tertentu dalam sebuah sisitem berkerajaan, atas kepentingan selain untuk rakyat dan negara, telah mengambil kesempatan mencemarkan semangat SYMP itu. 

Perkara seperti itu , pada hemat saya, mula bertunas pada tahun-tahun memasuki 80an keatas. Ianya terus bercambah, berkembang dan seterusnya menjadi pokok yang tumbuh membesar dimana akarnya tidak mudah untuk dibungkas kembali.

Saya kata begitu kerana saya berpengalaman bekerja dibawah 3 perdana menteri. Saya dapat mengesan perubahan nilai SYMP itu. 

Nilainya berubah dari kekuatan yang bersepadu, yang dijadikan asas dan panduan dalam mengambil sesuatu tindakan dan membuat keputusan  demi kepentingan negara dan rakyat terbanyak, kepada nilai yang berubah-ubah yang banyak berselindung disebalik  kebudibicaraan.

Apa makna budibicara? 

Budibicara pada saya ialah satu kaedah bagi melepasi sesuatu peraturan dan undang-undang yang sudah diterima dan digunapakai dalam membuat sesuatu tindakan atau keputusan.
  
Ertinya budibicara berada pada posisi mengelilingi SYMP, atas bawah , belakang dan depan, dengan menjadikan  SYMP sebagai alat yang ampuh bagi maksud yang dikehendaki.
 

SYMP adalah sebenarnya berfungsi mengikut kata-kata itu sendiri, bukan lagi satu penggembelingan kekuatan untuk memberikan khidmat terbaik kepada negara dan rakyat. 
 
Baik. Saya tidak mahu panjangkan cerita SYMP. Cuma sekali lagi saya menegaskan bahawa penjawat awam telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negara. Sebab itu mulut saya tidak mudah celupar menyalahkan penjawat awam apabila berlaku sesuatu yang negatif yang tidak menguntungkan rakyat dan negara.

Saya bangga menjadi penjawat awam walaupun banyak yang pahit dan masam yang telah dilalui.

Namun dicelah-celah pahit dan masam itu, ada manis dan merdunya.

Saya mulakan bicara dalam blog pada 2 Feruarai 2011 dengan tajuk: Misi Bantuan Pelajar Di Mesir Tanpa Berbaur Politik. 

Ceritanya adalah berkaitan usaha bagi membawa balik pelajar-pelajar Malaysia di Mesir ketika berlaku Arab Spring. Pada ketika itu, ada pihak yang telah mengenalpasti, bahawa terdapat unsur-unsur politik dalam misi tersebut.

Secara keseluruhan apa yang saya bicara dalam blog ini adalah isu-isu yang sebenarnya berlaku  yang pernah saya lalui sebagai penjawat awam, dan pandangan dan kritikan saya tentang isu-isu semasa, mengikut neraca ukuran saya, sesuatu yang saya rasa sebagai yang hak.  

Cuma saya menyampaikan dengan berbagai cara, yang kadang-kadang dalam bentuk sindiran, kiasan dan merepek

Apa pun saya mengucapkan selamat menjalani kehidupan dalam tahun baru 2017. Sila terus membaca blog ini, jika masih sudi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan