Theflowersellingboy

Khamis, 22 Disember 2016

Kerajaan vs Pembangkang: Dimana Rakyat? Apa jadi Pada Rakyat.




Paparan ini hanya menyentuh kerajaan Persekutuan saja kerana menguasai kerajaan Persekutuan bermakna menguasai sumber atau kekayaan negara.

Kerajaan kata ekonomi negara, ok, tidak seteruk yang digambarkan oleh setengah pihak terutamanya pembangkang. Asas ekonomi negara adalah kukuh, tambah kerajaan. Jadi untuk mengatakan kerajaan akan bengkrap ianya satu fitnah, hujah kerajaan lagi.

Mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan sama ada dari kalangan parti pembangkang mahupun para akademik, berterusan mengatakan bahawa cara pengurusan kerajaan ke atas kekayaan negara (sumber negara) boleh membawa negara kepada peningkatan liabiliti yang berat yang akhirnya nanti tidak mempunyai kemampuan untuk menampung liabiliti itu yang boleh menjerumuskan negara kepada kebengkrapan.

Tetapi sebahagian besar rakyat tidak faham atau kurang faham atau tidak mahu ambil peduli perdebatan diantara kerajaan dan pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan. Yang penting bagi  mereka ialah boleh hidup selesa, ada kerja, ada tempat tinggal, mampu membeli pakaian sehelai dua setiap bulan hasil dari upah atau pendapatan yang diperolehi dan selamat dari ancaman jenayah.

Hujah tentang asas ekonomi yang kukuh yang selalu diketengahkan kerajaan tidak mempunyai apa-apa makna kepada rakyat sekiranya hidup mereka terbeban dengan desakan kos sara hidup yang tinggi dengan kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan dan kenaan berbagai bayaran dan caj yang meningkat seperti tempat letak kereta dan GST.

Kedudukan simpanan luar negara (foreign reserve) sama ada bertambah atau menyusut, pertukaran matawang -meningkat atau menyusut, bajet tahunan yang defisit atau surplus, nilai ekspot mengatasi impot atau sebaliknya dalam imbangan perdagangan (balance of trade), kedudukan akaun semasa kerajaan, dan kedudukan hutang negara, bukanlah menjadi perhatian utama sebahagian besar rakyat.

Bagi rakyat semua yang diatas itu adalah urusan sebuah kerajaan yang telah dipilih. 

Rakyat mahu beban hidup mereka direngankan.

Sebab itu, walaupun menanggung beban kos sara hidup yang tinggi, apabila saja mereka diberikan bantuan dalam bentuk BR1M walaupun tidak sepadan dengan kenaikan kos, sebahagian rakyat merasa beban hidup mereka telah direngankan, umpama orang yang hanyut oleh arus yang deras diberikan tali atau dapat memegang sesuatu yang boleh menyelamatkan mereka dari dihanyut lebih jauh lagi.

Begitulah tafsiran saya tentang pandangan/sikap tiga pihak berkaitan dengan kedudukan ekonomi negara ketika ini.

Pertama, apa pun yang sebenarnya berlaku, kerajaan tetap mempertahankan bahawa kerajaan masih lagi melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Kedua, apa pun sebenarnya berlaku, termasuk usaha-usaha yang dilakukan kerajaan, mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan terutamanya pembangkang mengatakan bahawa banyak yang tidak kena dalam urustadbir kerajaan ketika ini.

Ketiga, apa pun yang sebenarnya berlaku, bagi sebahagian besar rakyat, yang penting kepada mereka ialah kehidupan yang tidak tertekan dan terbeban dengan kesempitan hidup. 

Dan apabila ada usaha untuk merengankan kesempitan itu, walaupun tidak sepadan dengan beban hidup yang menghimpit,  sebahagian besar rakyat akan menerima usaha sedemikian.

Soalnya, yang mana satu kenyataan yang boleh kita percaya? Adakah kenyataan dari pihak kerajaan atau kita menyebelahi pembangkang kerana ada kebenarannya.

Sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa kualiti hidup rakyat telah menurun. Bermakna cara dan sistem penyampaian kerajaan telah gagal dalam mempertingkat dan memperbaikki kualiti hidup rakyat. Ringkasnya urustadbir kerajaan yang tempang dan pincang. Oleh itu kita wajar mencari akar umbi terjadinya keadaan seperti itu.

Terlalu panjang jika diperincikan kegagalan cara dan sistem penyampaian kerajaan itu atau urustadbir yang tempang dan pincang.

Oleh itu hanya dibutirkan hal-hal yang penting yang menyebabkan berlakunya kepincangan dan ketempangan dalam urustadbir kerajaan ketika ini iaitu:

i) Kerajaan dari parti yang sama yang diberi kuasa memerintah begitu lama.

 a) parti yang terlalu lama memerintah akan menjadi kurang/atau tidak sensitif kepada sebarang teguran atau pandangan yang membabitkan kepentingan negara dan kebajikan rakyat kerana merasakan parti tetap menjadi pilihan rakyat. Kata-kata seperti siapa saja yang menjadi calun BN khususnya UMNO tetap akan dipilih rakyat, sehingga ada yang mengatakan letak kayu atas nama UMNO sekalipun calun kayu itu akan dipilih. 

b) Melainkan selepas PRU 12, penguasaan kerajaan dari parti yang sama tidak kurang dari 2/3. Maka kesedaran tanggungjawab untuk mengurustadbir negara khususnya sumber negara dengan berkesan tanpa salah guna kuasa yang menyebabkan ketirisan, pembaziran dan boros, penyelewengan dan rasuah, terlalu rendah dan diabaikan. Sistem semak dan imbang tidak berfungsi dengan berkesan. Ini jelas dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara.

c) Maka bajet tahunan sentiasa dalam keadaan defisit. Bajet defisit bukan satu masalah. Tetapi jika ianya berterusan maka kemampuan negara bagi melaksanakan berbagai program/projek pembangunan bagi menyediakan berbagai infrastruktur dan projek yang mampu menjana pendapatan akan menjadi berkurangan/tiada. Maka pembiayaan secara pinjaman sama ada dari sumber domestik atau luar terpaksa dilakukan atau tiada langsung projek pembangunan dapat dilaksanakan. Pembiayaan secara pinjaman ini jika berterusan, apatah lagi jika projek itu tidak mampu menjana pendapatan, akan membebankan kewangan negara.

Bersambung dalam paparan esok, insya Allah....... 


  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan