Theflowersellingboy

Khamis, 8 Disember 2016

Melayu: Dulu , Kini dan Selama-lama Yang Malang..




Nak kenal orang Melayu, senang saja. Lihat pada wataknya. Dengar pada ceritanya. Tahulah inilah orang Melayu.

Mesti faham bahawaMelayu itu ada berbagai darah yang mengalir didalamnya. Ada darah Arab, darah China, India, Turki, Mat Salleh dari keturunan Inggeris , Jerman  , Belanda , Portugis. Campurannya sudah tentu darah melayu. Cuma ada yang pekat dan ada yang mencair.

Namakan saja melayu-melayu itu,  watak dan cerita tetap sama.
Diceritakan dalam hikayat lama, Melayu yang dibawah (rakyat) itu mesti setia kepada ketua (raja). Ketua pula mesti berlaku adil kepada rakyat.

Pantang melayu menderhaka kepada ketua. Derhaka hukumnya sula.

Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.

Cerita melayu berlengkar fasal setia, derhaka, teranianya dan dianianya, hasad dengki, cemburu, gagal dan kecewa. 
Emosi melayu terlalu tinggi mudah saja disemarakkan sehingga ke puncak jadi orang amokan.

Melayu suka melihat luar dan lupa dalam. Jari telunjuk berfungsi dengan efektif dan aktif walaupun pada satu tangan ada lima jari.

Sudah kenal melayu?

Kita mulakan Melayu zaman dulu. Watak melayu yang setia. 

Kita ambil satu cerita saja.

Hang Tuah adalah pahlawan Melayu yang taat setia kepada Raja yang tidak boleh dipersoalkan. Biar dia yang dihukum mati dari mencemarkan kedudukan raja.

Atas fitnah, Hang Tuah dijatuhkan hukuman mati: "Beta tidak mahu melihat wajahnya".

Tapi Hang Tuah diselamatkan oleh Bendahara dengan menyembunyikannya di Ulu Melaka kerana yakin Hang Tuah difitnah.

Maka kawan karib Hang Tuah bernama Jebat terlalu amat marah akan kezaliman raja itu lalu bertindak melawan raja untuk menuntut keadilan. Habis dikucarkacirkan ketenteraman melaka termasuklah melakukan pembunuhan jika ada yang berani menentangnya.

Raja susah hati dan menyatakan kekesalan menghukum mati Hang Tuah kerana Hang Tuah saja yang boleh menewaskan Jebat.

Dan Bendahara pula amat kasih kepada raja lalu menyatakan Hang Tuah masih hidup. Sukanya hati raja lalu meminta Hang Tuah dijemput ke istana untuk mengambil tanggungjawab menghapuskan si Jebat derhaka.

Pendek cerita Hang Tuah pun bertarunglah dengan Hang Jebat sahabat karibnya yang membela dirinya diatas kezaliman raja.

Jebat berjaya dibunuh. Begitulah hebatnya kesetiaan Hang Tuah kepada Raja walaupun raja pernah menzaliminya. Hang Tuah bertindak atas dasar setia kepada raja , tidak ada lain dari itu. Bukan untuk menegak keadilan. Asalkan raja, taat setia tetap diberikan.

Itulah watak melayu   yang terus didukung oleh sebahagian besar orang melayu kini. Siapa pun yang berkuasa, yang menjadi ketua, dan apa pun kesalahan yang dilakukan, sebahagian besar orang melayu sedia mempertahankannya, walaupun kesalahan itu jelas bagai bangkai gajah tetapi juga mahu ditutupnya dengan daun keladi.

Jika ada juga yang cuba menegakkan keadilan, melayu itu akan dicerca dan dikatakan membuat fitnah. Dan jika masih lagi mahu membuat amokan, orang itu berakhir di penjara.

Kesimpulannya melayu dulu dan melayu kini tidak ada bezanya. Sebagai ketua maka taat setia ditagih dari pengikutnya. 

Sebahagian besar akan memberikan taat setia walaupun mereka itu sentiasa berbicara tentang amar makruf nahi mungkar. Demi ketua, apatah lagi yang ada kuasa, peduli apa tentang menegakkan kebenaran jika kedudukan sang ketua boleh terancam.

Itulah melayu, dulu dan kini. 

Satu lagi watak melayu yang berkuasa ialah menuding jari kepada pihak lain diatas kelemahan diri. Langsung tidak mahu melihat diri sendiri.

Kegagalan dalam memperbaikki ekonomi melayu, diwarwarkan sebagai sabotaj dari bukan Melayu. Oleh kerana emosi melayu terlalu tinggi, Melayu selalu ditakut-takutkan bahawa satu hari nanti mereka akan merempat dalam negeri sendiri. 

Memang benar dari dulu dan kini hidup melayu merempat dibawah pimpinan bangsa sendiri.

Ada juga mengatakan Melayu mudah lupa. Ia tidak mudah dinafikan. Bahawa melayu yang jadi ketua yang ada kuasa telah lupa akan janji yang telah dibuat dulu.  Bahawa kesetiaan rakyat tertegak diatas keadilan ketua: Raja adil raja disembah. Raja zalim raja disanggah.

Jika ada melayu yang mahu buat 'amokan' disebabkan kezaliman ketua yang berkuasa, melayu itu akan berakhir dipenjara.

Amat malang sekali bangsa yang bernama melayu yang ditipu dari dulu dan kini.....dan tidak mudah untuk menolak bahawa melayu juga akan ditipu selama-lamanya oleh ketua yang berdarah melayu.


 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan