Theflowersellingboy

Selasa, 13 Disember 2016

Kemungkaran: Adakah Kita Keliru?




Kemungkaran:Adakah kita keliru?

Kita diajar dan selalu diingatkan akan perintah Allah akan tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran dan menyuruh atau menyeru kepada yang makruf atau kebaikan.

Apa yang mungkar dan apa yang makruf juga sudah diberitahu. Kesan kepada melakukan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar juga sudah dinyatakan. Begitu juga sebaliknya.

Dapat pahala bagi yang melakukan makruf dan menentang kemungkaran. Sebaliknya berdosa bagi yang melakukan kemungkaran dan menentang yang makruf.

Jadi adakah kita masih keliru?

Tidak mungkin. Tanyalah siapa saja, yang beragama dan tidak beragama bahawa mencuri itu salah. Mengambil hak orang itu adalah salah.

Mengambil harta anak yatim itu salah. Jika didakwa dan disabitkan kesalahan, hukum di dunia mungkin dipenjara atau yang setimpal dengannya. Di akhirat Allah saja yang membalasnya.

Harta dan kekayaan negara yang diamanahkan, mesti diuruskan demi kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat ramai, bukan untuk kepentingan diri dan kelompok-kelompok tertentu. Jika dilakukan seperti itu, ianya menzalimi rakyat dan mengkhianati negara. Di dunia ada hukumannya, jika didakwa dan disabitkan kesalahan. Di akhirat Allah saja yang menentukannya.

Saya percaya semua orang jelas akan hal yang dinyatakan. Lakukan yang hak dan tinggalkan yang batil. Pertahankan yang hak dan tentang habis-habisan yang batil.

Tapi perkembangan dalam negara semasa ini yang kita lihat tidak sebenarnya menunjukkan sedemikian, semacam ada kekeliruan.

Ada pihak yang mempertahankan bermati-matian perkara yang batil, seolah-olah suatu tindakan yang mulia, mendapat habuan dunia dari segi kedudukan dan faedah ekonomi.

Mereka yang menentang kebatilan pula diserang dikatakan pembawa fitnah lalu dengan apa cara diusahakan misalnya melalui pentafsiran undang-undang secara tidak betul, bagi mendakwa dan memasukkan orang itu ke dalam penjara.

Laporan siasatan bagi mengenal pasti tentang sesuatu kedudukan misalnya tentang  dakwaan penyelewengan dalam menguruskan kekayaan negara disekat dari pengetahuan awam dengan menggunakan sesuatu peruntukan undang-undang dengan alasan demi kepentingan keselamatan negara. 

Soalan: Jika maklumat dalam siasatan itu tidak mendedahkan penyelewengan dalam menguruskan kekayaan negara, mengapa perlu disembunyikan?

Kerana benar, kita berani dedahkan! Bukankah itu yang kita percaya?

Kalau begitu mengapa perlu disembunyikan?

Adakah kita keliru dan bercelaru ketika ini?

Kalau begitu kita tanya orang yang tinggi ilmu ugamanya.

Nampaknya bercelaru dan keliru juga dibuatnya. Kerana ada sebahagian darinya menghukum haram  menjatuhkan pemimpin Islam yang zalim, seolah-olah Islam menyebelahi kezaliman.

Malang sekali hal-hal yang rengan seperti memegang anjing begitu cepat dan ramai pula yang mengambil berat tentangnya berbanding dengan perlakuan rasuah yang melibatkan jutabillion ringgit.

Keliru dan celaru dibuatnya.

Saya tidak keliru. Saya tidak celaru. Bagi saya terlalu jelas ada yang tidak kena dalam pengurusan kekayaan negara.

Dan saya juga tidak percaya sebahagian besar rakyat keliru dan celaru sehingga tidak dapat membezakan diantara yang batil dan yang hak. 

Saya tidak percaya mereka tidak tahu membezakan antara fitnah dan yang sebenar. 

Mungkin sebahagian kecil terpengaruh dengan maklumat-maklumat yang tidak sahih yang menyebelahi pelaku dan mereka yang mempertahankan kerja mungkar dan mereka yang ada kepentingan mendapat kedudukan mewah di dunia.

Sebenarnya mereka ini (pelaku dan yang mempertahankan perlakuan mungkar) tidak sayang pada diri mereka. Mereka menzalimi diri sendiri. Mereka hanya pentingkan hidup mewah di dunia. 

Nun jauh di sudut hati mereka, mereka tahu apa yang mereka lakukan adalah satu perbuatan mungkar. Mereka tidak keliru dan tidak juga bercelaru.

Cuma jalan keluar yang selamat tidak ada.

Jadi adakah perlu satu jalan selamat diikhtiarkan bagi mengakhiri kemungkaran ini?


 




 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan