Theflowersellingboy

Isnin, 5 Disember 2016

PRU 14: UMNO Menang Besar Dengan Bantuan PAS.



PRU 14 tidak berapa lama lagi. PM/Presiden UMNO yang beritahu. PM lah yang menentukan bila pilhanraya diadakan, bukan SPR. Tarikh sebenar PRU 14 belum dimaklumkan lagi. 

Kita tunggu dan teka bila.

Menurut nujuman saya , PRU 14 selepas sidang Parlimen pada Mac 2017. 

Mengikut firasat saya, masa yang dipilih itu memberi kelebihan kepada BN khususnya UMNO.

Menurut perkiraan UMNO, sokongan Melayu kepada UMNO akan mendadak selepas sessi Parlimen Mac 2017 berikutan pembentangan RUU 355 yang akan dilakukan oleh kerajaan mengambil alih tugas PAS (Hadi Awang). 

Sokongan ahli PAS dikawasan yang ditandingi  UMNO akan meningkat. Ahli UMNO yang dulunya tidak mahu menyokong parti akan kembali menyokong UMNO. Orang Melayu yang lain , yang berparti atau tidak berparti yang dulunya mengundi parti selain dari UMNO sebanyak sedikit akan beralih memberi undi kepada UMNO.

Sokongan undi Melayu ini hanya disebabkan oleh satu faktor saja iaitu persetujuan Kerajaan (UMNO) mengambil alih membentangkan RUU 355. 

Bagi sebahagian besar orang Melayu, tidak kira parti, sesuatu yang berkaitan dengan Islam atau hukum Islam mereka amat sensitif dan memberi sokongan. Sama ada mereka itu faham atau tidak faham, sama ada mereka itu pengikut yang mengamalkan ajaran Islam atau sebaliknya, ianya tidak penting, RUU 355 tetap diberi sokongan.

Asalkan ada unsur Islam mereka tetap sokong . Bahkan ada sebahagian orang Melayu, perkataan Arab yang digunakan oleh setengah ahli politik misalnya wasatiyah, tahaluf siasi, istiqomah, wala' dan yang terbaru tabayun sudah cukup untuk meyakinkan mereka bahawa orang/pihak itu memperjuangkan Islam dan mesti disokong.

Namun begitu ianya tertakluk kepada kerjasama yang akan diberi oleh PAS. Jika UMNO dan PAS bekerjasama, dimana mereka tidak bertembung dalam PRU,  kemungkinan besar UMNO akan sapu bersih di setiap kawasan yang ditandingi.

Tanda-tanda PAS akan memberi kerjasama seperti yang dinyatakan diatas, sudah jelas kelihatan walaupun ada pihak/ahli PAS yang menafikannya. Bagi saya PAS akan bekerjasama dengan UMNO.

Keakraban diantara presiden PAS dengan Presiden UMNO dan pimpinan UMNO yang lain paling ketara dan menonjol sekali. Lihat sahaja perhimpunan membantah kerajaan Myanmar berkaitan dengan isu Ruhingya.

Persetujuan UMNO membenarkan usul persendirian RUU 355 dibentang (sebenarnya dibaca tanpa perbahasan) oleh Presiden PAS (wakil Marang) dan akhirnya bersetuju mengambil alih untuk membentangkannya pada sessi Mach 2017 yang akan datang amat 'memujuk' hati ahli PAS.

Bagi PAS khususnya presidennya ianya merupakan satu kejayaan politik.

Maka ianya membuktikan tindakan PAS keluar dari PR merupakan tindakan yang betul. Jika PAS masih dalam PR, sudah tentu RUU 355 ini tidak akan dapat dibentangkan sebagai usul persendirian untuk dibentang di parlimen kerana Kerajaan (UMNO) tidak akan membenarkannya.

Kesimpulannya lebih baik berkawan dengan UMNO. UMNO itu Melayu Islam DAP itu Cina kafir , kata presiden dan ahli PAS walaupun PAS tahu sahabat UMNO terdiri dari parti orang kafir seperti MCA , MIC dan Gerakan.

Kalau sudah sayang, begitulah cara dan gayanya.

Walaupun saya ramalkan UMNO menang besar hasil kerjasama dengan PAS, PAS akan kalah teruk.

DAP pula akan menang besar. Semua calun DAP akan menang. MCA dan Gerakan boleh ucap selamat tinggal. MIC tinggal nyawa-nyawa ikan. UMNO sebenarnya tidak perlukan MCA, MIC dan Gerakan untuk menang pilihanraya. UMNO perlukan PAS.

PKR, Amanah dan Bersatu, jika tidak kerja kuat, juga akan terkesan tapi tidaklah kalah seteruk PAS. PAS hanya parti yang memberi/membatu kemenangan kepada parti lain. Semasa dalam PR, PAS membantu parti-parti dalam PR untung menang.Berbaik dengan UMNO, PAS membantu UMNO untuk menang.

Adakah PAS kesah? Tidak, kerana menang atau kalah bukan matlamat PAS. Matlamat PAS ialah keredhaan Allah.

Begitulah hebatnya UMNO dalam percaturan politik tanah air. Dalam keadaan hampir lemas, dengan berbagai masalah, UMNO telah nampak satu jalan untuk melemahkan pembangkang iaitu dengan berlaku lunak terhadap PAS bagi mewujudkan persengkataan antara PAS dan DAP sehingga terkuburnya PR. Dan menggunakan RUU 355 untuk menyakinkan ahli-ahli PAS menyokong UMNO.




   


  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan