Theflowersellingboy

Ahad, 1 Januari 2017

PRU14: PILIHLAH PARTI YANG BOLEH MEMBAWA KEHIDUPAN YANG MENENTU dan BUKAN KEHIDUPAN YANG BERCELARU




Selamat tinggal tahun 2016 yang banyak celaru   dari menentu. 

Selamat datang tahun 2017, dengan harapan baru, hidup yang menentu.

Saya mulakan bicara tahun baru 2017 dengan membawa mesej tinggallah kehidupan yang bercelaru dengan menggantikan kehidupan yang menentu.

Jadikan tahun 2017 sebagai tahun penuh harapan. Hanya kita, rakyat, khususnya pengundi yang mampu melakukannya. Bukan orang politik atau parti politik tanpa izin kita.

PRU 14, sedang menghampiri kita semua. Bersiap sedia dari sekarang dengan sentiasa ingat bahawa kehidupan kita pada tahun 2016 dan tahun-tahun sebelumnya adalah satu kehidupan yang bercelaru. Kehidupan seperti ini tidak boleh kita teruskan. 'Enough is enough' kata orang putih. Cukuplah , kata orang Melayu.

Kita wajib tolak hidup yang celaru. Kita wajib nobatkan kehidupan yang menentu.

Apa itu kehidupan yang celaru itu? Apa pula kehidupan yang menentu?

Hidup celaru adalah satu kehidupan yang tidak kita kuasai. Parti yang menjadi kerajaan boleh buat semborono saja mengikut kehendak mereka dan bukan kehendak kita sebagai rakyat yang memberi undi kepada mereka.

Hidup menentu adalah satu kehidupan yang kita mahu dan tentukan sebagai syarat kita memberi undi kepada parti yang menjadi kerajaan.

Hidup celaru adalah satu kehidupan yang tidak tenang, menghimpit dan menyusahkan. Mengapa kita pilih kerajaan yang menyusahkan kehidupan kita?

Kita mahu menentukan masa depan kita.  Kita mahu menyerahkan kuasa kita kepada yang boleh dipercayai, yang berusaha memperbaikki kehidupan kita. Bukan menyusahkan kita. Kita mahu gunakan undi kita demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Kita yang menentukan bukan kita jadi pak turut.

Kita tidak berhutang budi kepada mereka. Tidak pernah. Merekalah yang terhutang budi kepada kita kerana tanpa undi kita, mereka tidak akan berada di puncak kuasa, menikmati segala kemewahan dengan melupakan kita, menekan dan menzalimi kita.

Kita mesti jelas kedudukan kita. Siapa kita dan siapa mereka.

Kita adalah tuan dan mereka adalah hamba yang berkhidmat untuk kita.

Mereka mengemis kuasa kita ( undi) untuk berada dipuncak kuasa.

Kita mesti sentiasa ingat bahawa undi yang kita miliki itu  membawa sama maruah dan nama baik kita dan negara, harga diri dan imej negara, arah tuju negara dan harapan masa depan kita dan waris kita yang akan datang. Oleh itu ianya terlalu mahal untuk kita serahkan membuta tuli kepada mereka yang sentiasa mengecewakan kita.

Dengan yang demikian kita mesti berubah dan merubah. Kita tidak mahu jadi celaru. Kita mahu hidup lebih menentu.

Merubah, ertinya kita jadi jentera atau agen menggerakkan perubahan. 

Dan berubah adalah tentang kemahuan kita untuk melakukannya.

Untuk menjadi agen atau jentera menggerakkan perubahan, kita sendiri mesti berubah.

Berubah dari mengundi parti yang suka menipu.Berubah dari jadi pengampu.

Jika kita jujur dan mahu satu kehidupan yang tidak bercelaru, dan mahu kehidupan yang menentu berubahlah.

Terlalu banyak sebab kita perlu berubah. Jangan takut buat perubahan kerana kita ada kuasa melakukan perubahan. Jika yang kita pilih pada PRU 14 ini juga melakukan kecelaruan yang sama atau lebih teruk, nyahkan mereka.

Ingat kuasa ditangan kita. Kuasa itu amat berharga, digunakan bagi tujuan suci murni.

Jangan salahguna kuasa dengan memilih mereka yang tidak boleh dipercayai untuk membentuk kerajaan kerana kerajaan yang kita pilih itu akan melakukan perkara yang sama ---menyalahguna kuasa. Kita yang memberi lesen kepada mereka.

Selamat menjalani kehidupan sepanjang 2017.



 
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan