Theflowersellingboy

Jumaat, 23 Disember 2016

Kerajaan vs Pembangkang: Dimana Rakyat. Apa Jadi Pada Rakyat?




Sebab utama urustadbir negara jadi tempang dan pincang ialah rakyat memilih parti yang sama menerajui kerajaan pada tempoh yang begitu lama.  Ditambah pula dengan memberikan suara di parlimen tidak kurang 2/3.

Akibatnya:

Parti ini tidak sensitif lagi kepada keperluan rakyat terbanyak dan kepentingan negara kerana apa saja yang mereka lakukan mereka tetap dipilih oleh rakyat pada setiap pilihanraya. 

Parti ini sudah naik tocang dengan melebarkan pengaruh dan kuasa keatas  bidang kuasa Kehakiman dan Parlimen dengan melanggar prinsip pengasingan kuasa. Agensi-agensi pelaksana dan penguatkuasa sentiasa digenggam untuk bersama mereka.

Parti ini mendahului nafsu diri dan kepentingan kelompok kecil elit berbanding dengan kesejahteraan rakyat terbanyak dan kemakmuran negara. 

Selain dari sudah naik tocang, parti ini sudah menjadi kebal, kalis peraturan dan undang-undang untuk dikuatkuasakan keatas mereka. Sebaliknya undang-undang dijadikan perisai untuk melindungi salahlaku mereka.

Parti ini tidak ambil kira pentinganya prinsip semak dan imbang (check and balance) dalam urustadbir negara kerana prinsip itu boleh menjejaskan kuasa mereka. Sebab itu  Laporan Tahunan Ketua Audit yang banyak menegur berbagai kelemahan dalam urusan sumber dan aset negara, serta cadangan tambah baik tidak menjadi rujukan yang penting. Paling malang sekali apabila Laporan Ketua Audit Negara yang merupakan laporan untuk pengetahuan awam, sebahagian tertentu telah diklasifikasikan sebagai rahsia dibawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA).

Dengan demikian apapun teguran,  kritikan dan dakwaan tentang kecurangan dan salah gunakuasa  boleh saja diabai dan diketepikan. Bahkan mereka yang bertindak mendedahkan salah laku untuk menegakkan kebenaran berisiko untuk didakwa dan dimasukkan ke dalam penjara.

Dalam jangka panjang jika keadaan ini berterusan, (tidak berubah) ianya tidak baik kepada negara, tidak juga memberi faedah kepada rakyat terbanyak. 

Itulah diantara hujah-hujah pembangkang dan mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan.

Bagi saya, hujah pembangkang yang mengatakan negara telah tidak diurustadbir dengan baik yang akhirnya boleh menjadi sebuah negara yang gagal dan bengkerap perlu difikirkan oleh rakyat dengan tenang dan waras. Tolak tepi emosi dan sentimen kaum serta agama dalam menilai keadaan yang ada ketika ini.

Kita tanya pula kepada pembangkang: Apa kah pembangkang mampu memberikan satu urustadbir yang baik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Rakyat/pengundi mahu meletakkan posisi masing-masing memandangkan PRU 14 diberitakan tidak lama lagi. Hal kerajaan sudah dibicara dan dihujah oleh pembangkang. Esok giliran cerita pembangkang pula.

Ikuti paparan pada esok hari.......










Tiada ulasan:

Catat Ulasan