Theflowersellingboy

Khamis, 15 Disember 2016

BERKATA BENARLAH: Sudah Cukup Celaru Ketika Ini.




Sudah cukup kecamuk ketika ini. Banyak yang jadi celaru dan dicelarukan. Aku tidak mahu menambahkan lagi kecelaruan itu.

Macam mana caranya? 

Aku mahu cakap yang putih itu putih dan yang hitam itu hitam. Aku mahu cakap yang benar itu benar dan yang salah itu salah. Berani kerana benar.

Aku pilih untuk menulis bagi menyampaikan mesej aku itu. Sebab aku mahir dalam kerja menulis. Dengan menulis, aku boleh menyampaikan mesej aku lebih baik dari melukis. Aku tidak pilih melukis. Sebab aku tidak tahu melukis.  

Aku bimbang jika aku melukis, mesej aku akan tidak dapat disampaikan dengan baik dan sempurna. Mungkin ada yang salah tafsir, lain yang aku mahu sampaikan, lain pula yang difahami. Aku tidak mahu ada orang yang jadi celaru dengan lukisanku itu.

Aku tulis perkara yang benar. Yang baik aku tulis baik. Yang jahat aku kata jahat. 

Kalau aku jahat macam mana? Aku tulis aku jahatlah. Apa ada masalah. Berani kerana benar. 

Kalau sebenarnya aku merompak bank dan mencuri wang, aku akan tulis aku yang lakukannya. Aku curi wang syarikat dengan memasukkan hasil jualan syarikat dalam akaun peribadi aku, aku akan tulis aku yang lakukannya. Apa ada masalah.

Dengan cara itu aku banyak membantu. Tidak perlu susah-susah nak cari siapa yang jahat dan siapa yang baik. Siapa yang mencuri dan siapa yang merompak. Siapa yang membunuh dan siapa kena bunuh.

Tidak perlu polis. Tidak perlu peguam bela. Tidak perlu pendakwaraya. Hakim pun tidak perlu dengar bicara. Jatuh hukum saja.

Bagaimana kalau orang tidak percaya apa yang aku tulis. Mereka boleh kata aku buat fitnah. Aku pembohong besar.

Kalau ada orang macam itu, itu orang gila namanya. Sebab bukankah aku dah kata kalau aku bunuh orang , aku kata aku yang bunuh. Jadi fasal apa tak mahu percaya apa yang aku tulis.

Aku tak takut masuk penjara? Atau aku dihukum bunuh kerana membunuh?

Soalan-soalan seperti itu tidak mudah dapat diketepikan. Ramai orang berminat mahu tahu. 

Jawabku, mengapa perlu takut, sebab aku yang buat. Takkan aku nak kata orang lain yang buat. Atau aku kata aku tak terlibat. Itu sudah cakap tidak benar.  Aku tidak mahu tulis perkara yang tidak benar.

Aku tak takut mati?

Takut mati? 

Aku mahu ketawa soalan seperti itu.

Memanglah benar aku takut mati. Semua orang takut mati, tak begitu?

Tapi aku mesti berkata benar bahawa siapa aku boleh elak dari mati. Mati itu pasti. 

Macam mana dengan anda? Takut mati?

Anda takut mati, aku akan tulis anda takut mati. Kalau anda membunuh,  aku akan tulis anda membunuh. Jika membunuh hukummya mati aku tulis anda dihukum mati.

Ada masalah dengan cara aku ini?

Sudah tentu tidak. Sebab aku tidak mahu orang jadi celaru. Yang benar kata benar, yang salah katakan salah. Usahlah menipu kerana menipu itu membuatkan orang jadi celaru. Keadaan yang damai dan aman jadi haru biru.

Dengan demikian bacalah tulisanku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan