Theflowersellingboy

Selasa, 6 Disember 2016

PRU 14: USAHLAH DIBANGKITKAN ISU PERKAUMAN YANG BOLEH MEMBANGKITKAN PERASAAN KEBENCIAN ANTARA KAUM




Janganlah main isu perkauman. Jangan main isu agama. Amat bahaya. Amat menakutkan sekali. 

Isu perkauman dan agama adalah isu yang ampuh bagi orang politik untuk mendapat sokongan. 

Ianya isu yang tidak sehat. 

Ianya bukan isu pembelaan bagi sesuatu kaum/agama. 

Ianya bagi membangkit rasa kebencian antara kaum dan agama. 

Ianya boleh mempengaruhi rakyat untuk mengundi atas garisan kaum bukan atas dasar kempampuan seseorang atau parti bagi memberi perkhidmatan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Dan ianya isu yang boleh membawa kecelakaan kepada rakyat dan negara. Tiada mana-man kaum/agama yang untung. Hanya yang menang jadi arang, kalah jadi abu. 

PRU 14 akan diadakan tidak berapa lama lagi. Itu yang difahamkan kepada kita oleh PM. Maknanya ianya berita benar kerana hanya PM saja yang tahu bila pilihanraya akan diadakan.

Petunjuk yang ada ketika ini, isu perkauman dan agama mendapat tempat utama dalam kempen pilihanraya PRU 14. Walaupun isu ini amat berbahaya, ianya kelihatan bebas dibangkit dan disebar luaskan. 

Macam-macam cerita yang boleh membangkitkan kebencian antara kaum/agama yang kita boleh terima dan di viralkan dalam media sosial-- fb, instagram dan whatsapp.

Bagi mereka yang berfikiran waras dan mahu berfikir secara tenang, berita sedemikian tidak mudah mempengaruhi minda mereka. Tetapi bilangannya minoriti sekali. Bilangan yang paling ramai ialah mereka yang mudah percaya.

Kandungan berita itu antara lain mengingatkan betapa tidak selamatnya jika parti tertentu menjadi kerajaan. 

Maka diberikan contoh tentang kedudukan jurang ekonomi, pemilikan harta dan pegangan ekuiti (saham)  termasuk tanah antara kaum.

Kemudian diikuti dengan pertanyaan yang boleh menaikkan perasaan marah sesuatu kaum. Apa akan terjadi kepada kaum kita jika mereka menjadi kerajaan, sedangkan belum jadi kerajaan mereka telah membolot segalanya.

Malang sekali apa yang dibangkitkan itu tidak boleh dinafikan kebenarannya. Maka dengan mudah minda mereka diyakinkan.

Tetapi mereka yang mudah percaya itu tidak pula berfikir dengan tenang mengapa mereka ketika ini dalam keadaan hidup masih susah, miskin dan tidak menguasai ekonomi sedangkan mereka dibawah kerajaan yang sama?

Sesiapa pun yang rakyat pilih ianya hak rakyat. Tetapi menaikkan perasaan kebencian antara kaum adalah satu pendekatan yang tidak selamat, amat bahaya sekali. Oleh itu pihak berkuasa keselamatan sewajarnya bertindak jika isu kebencian kaum disebarkan dan digunakan dalam PRU 14 nanti.

Sesungguhnya kita mesti belajar dari peristiwa 13 Mei 1969. Ianya berakarumbi isu politik. Politik menakut-nakutkan dan kebencian kaum. 

Kaum, bermaksud  semua sekali bukan hanya yang dibangkitkan oleh satu kaum tertentu saja.

Kepada mereka yang tidak melalui peistiwa 13 Mei 1969, mungkin tidak dapat membayangkan betapa 'ngerinya' peristiwa itu.

Saya secara langsung melaluinya. Amat menakutkan. Ditakdirkan Allah, tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku keatas saya. Tapi ianya amat menakutkan kerana mana-mana kaum ketika itu sudah hilang pertimbangan yang waras. 

Perbuatan/tindakan jahat mereka bukan kerana mereka benci diantara satu sama lain tetapi berita-berita tentang kaum itu menganiayai kaumnya telah menaikkan rasa kemarahan. Lalu mereka juga melakukan perbuatan yang amat menakutkan.

Secara ringkas pengalaman saya ialah semasa berada dalam bas setelah selesai mendaftar masuk tahun pertama di Universiti Malaya . Malang sekali peristiwa itu sedang hangat ketika itu.

Saya menaikki bas Tong Fong, dari stesyen Pudu menuju ke Sungai Besi, rumah abang kerana saya tidak tinggal di hostel UM.

Pada tahun 60an dan 70an, orang Melayu masih susah untuk kita ketemu di KL melainkan di Kg. Baru. Apatah lagi di stesyen Pudu (sekarang Pudu Raya). Dari Pudu bas menuju ke Sg Besi melalui antaranya Jalan Chan Sow Lin dan Salak Selatan, semuanya kawasan China.

Dalam bas, saya seorang saja penumpang Melayu, yang lain semua Cina. Saya terlalu amat takut dan membayangkan yang bukan-bukan akan berlaku keatas saya. Saya membaca apa saja ayat Quran yang saya ingat bagi mohon perlindungan Allah agar orang Cina tidak meng-apa apakan saya.

Saya baca ayat al Quran termasuklah doa Berinstinja'.

Bayangkan saya baca doa mensuci diri dari najis bagi memohon perlindungan dari Allah kerana membayangkan kemungkinan saya akan diapa-apakan oleh orang Cina. Begitulah kesan saikologi akibat dari pergaduhan kaum. Saya percaya sesiapa saja orang Melayu dalam keadaan yang saya lalui itu akan memohon pertolongan Allah dan mungkin membaca doa yang sama. Kerana terlalu takut.

Apa kata ada diantara Cina itu tidak waras, mungkin disebabkan ada diantara ahli keluarganya dicederakan? Habislah saya.

Mungkin ada yang ketawa kerana saya baca doa berinstinja' mohon pertolongan Allah. 

Sekarang saya ketawa tapi malu. 

Apabila saya ternampak saja lori askar  dibelakang bas, saya mengusap dada dan amat bersyukur sekali dan mula rasa sedikit selamat.

Bersyukur, saya tidak diserang oleh orang Cina seperti yang saya fikirkan. Kalau ada dikalangan penumpang Cina itu yang tidak waras, maka saya tidak ada lagi di dunia ini. Tiada siapa yang tahu dimana mayat saya berada. 

Ianya satu pengalaman yang amat menakutkan. Sebab itu saya tidak suka dan amat tidak bersetuju sesiapa pun Melayu mahu pun Cina menggunakan isu perkauman bagi menunjukkan mereka itu pembela bangsa. Membela bangsa bukan dengan cara menuding jari kepada bangsa lain. Lihat pada diri sendiri dan bangsa sendiri. Jika ada sebarang kelemahan, ikhtiar untuk memperbaikkinya.

Sebenarnya mereka yang menggunakan isu perkauman untuk menimbulkan perasaan takut, bimbang dan rasa terancam masa depan adalah orang yang tidak ada kekuatan diri bagi meyakinkan bahawa mereka adalah orang atau calun terbaik untuk dipilih oleh rakyat.

Jangan bawa isu perkauman dalam kehidupan harian kita dan semasa berkempen. Ianya tiada guna langsung bahkan boleh membawa kecelakaan. Kalau tidakpun kecelakaan nyawa, ia boleh menjadi kecelakaan perasaan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan