Theflowersellingboy

Ahad, 18 Disember 2016

Bualan Politik Pendek Di Sebuah Restoran.




"Kau undi siapa?", Tanya seorang kawan di sebuah restoran.

Dia kawan saya. Bukan kawan baik. Maksud saya dia tidaklah jahat. 

Saya faham mengapa soalan itu ditanya. Sekarang sedang hangat orang cakap PRU 14. Ini semua PM punya fasal yang hebohkan PRU 14 tidak berapa lama lagi. 

Saya tidak segera menjawab. Saya percaya kawan saya bukan sangat mahu jawapan dari saya.  Dia mahu saya dengar cerita dia, bisik hati saya.

"Aku hairanlah...." dia mulakan ayat dengan memek muka yang mencemek. 

"Ni parti pembangkang.......tak ada nama lain yang dicadangkan untuk jadi PM. Balik-balik nama tu saja. Ketandusan pemimpin. Betul tak?"


Saya tidak mahu menjawab soalannya itu. Dia ulangi pertanyaan, sama ada saya setuju atau tidak dengan kenyataan dia sebentar tadi.


Saya terus berdiam.

"Eh kau sokong siapa, kerajaan atau pembangkang?"

Soalan macam itu pun saya sudah jangka.

Sebutir senyuman saya ukirkan untuk kawan ini. Saya tidak pasti manis tawarnya senyuman saya menurut penilaian kawan itu. Tapi yang jelas dia tidak langsung ambil kira senyuman itu. Dia terus mendesak.

"Kita kan kerja dengan kerajaan. Kena sokong kerajaanlah. Kerajaan yang bayar gaji kita, bukan pembangkang". Kali ini semacam ada unsur mengugut.

"Sudah tentu kerajaan", saya jawab. 

Jawapan saya itu menyerikan muka kawan saya itu. Ianya menjadi peransang untuk terus membebel. Dia bebel fasal penjawat awam yang sokong pembangkang. Dia bebel fasal pembangkang yang suka buat fitnah. Dia bebel fasal rakyat yang tidak tahu kenang budi. Dia bebel fasal anak muda mahasiswa yang menyokong pembangkang, katanya mereka itu buang masa, tidak mengutamakan pelajaraan. Dia bebel fasal orang yang merungut tentang GST tapi ambil BR1M. Macam-macam dia bebel.

Saya hanya mendengar saja.

Sebelum kami berpisah dia ingatkan saya agar mengundi parti kerajaan kerana kerajaan yang bayar gaji saya.

Saya mengangguk. Mungkin dia tafsir  saya bersetuju dengan gesaan dia tu.

Dan saya sempat bertanya kepada kawan itu, "Macam mana dengan yang bekerja dengan kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Kena undi kerajaan ker?"

"Itu lain. Bukan UMNO. Bukan BN", kawan itu segera memberi alasan. Suaranya agak tinggi sedikit.

Saya hanya mengangguk saja. 














Tiada ulasan:

Catat Ulasan