Theflowersellingboy

Jumaat, 16 Disember 2016

PRU 14: SIFIR PARTI POLITIK dan SIFIR PENGUNDI




PRU 14 sudah menghampiri. 

Apa buktinya, sedangkan tempoh sahlaku keputusan PRU 13 hanya akan berakhir pada 2018.

Usah diminta bukti lagi. PM sudah cakap macam tu.

Boleh percaya ke cakap PM?

Soalan itu nakal sekali. 

Soalan itu tidak relevan.

Tanyalah bila tarikh sebenarnya.

Lebih selamat kita (pengundi) percaya dan bukan sebaliknya. Tidak percaya, nanti  jadi leka dan duduk diam tak buat apa-apa. Menyesal nanti kerana tidak bersedia.

OOOOOHHHHH.... fahamlah
Patutlah, konvensyen sana konvensyen sini. Ada yang mengadakan  PAU memuji macam nak gila. Ketua naik takhta kerana dianya pilihan Allah, katanya.

Harap-harap jangan sembah pula. Berjalan tunduk dan cium tangan tidak jadi masalah.

Patutlah ada yang menandatangani kerjasama politik. Politik satu lawan satu, konon.

Maka berlakulah pujuk memujuk, merayu sambil menyerang. Serang balas datang bertubi. Dan ada yang jual mahal, letak harga tinggi tanpa kompromi kerana percaya terlalu kuat mampu bersendiri. Tapi ada juga sayang dalam benci.

Haa itulah politik. Sifir politik.

Demi kuasa, berpolitik mesti begitu caranya.


Jadi usah kita timbulkan tentang boleh percaya. Boleh percaya dan tidak boleh percaya, bukan sifir politik. Sifir politik hanya satu saja iaitu untuk merebut kuasa. Itu saja.


Kita rakyat sebagai pengundi mesti faham tentang itu, tentang sifir politik. Jika tidak kita akan sentiasa diperdayakan oleh orang/parti politik. Kita juga yang rugi walaupun kita berada dalam sebuah negara yang kaya. Kaya sumber buminya. Kaya dengan modal insannya.

Dengan hal yang demikian sebagai pengundi, kita mesti ada sifir pengundi. Kita mesti faham tentang pilihanraya, maksud dan perjalanannya. Dan yang paling penting PENGORBANAN KITA MELUPUSKAN KUASA bagi satu tempoh tertentu kepada orang/parti politik untuk berkuasa.

Orang politik cakap fasal kerusi kerana ada kuasa pada kerusi-kerusi itu. Parlimen ada berapa dan DUN ada berapa, kiraan yang tidak pernah hilang dalam otak kepala mereka. Kerusi-kerusi itu mesti direbut dengan berbagai cara (menurut yang dibenarkan oleh undang-undang) dan dengan apa cara sekalipun.

Paling haprak parti politik itu berkira-kira  untuk  menguasai bilangan kerusi minima untuk tubuh kerajaan. Paras itu bersamaan dengan 'break even' dalam kiraan seorang pelabur. Membolot bilangan kerusi yang banyak mengatasi lawan adalah matlamat utama mereka bersamaan dengan 'memaksimakan keuntungan' dalam perancangan niaga  para pelabur.

Orang politik melaburkan modal kita. Modal kita adalah kuasa yang kita serahkan kepada mereka pada setiap pilihanraya. Kita mengharapkan dividen yang terbaik dalam pelaburan politik kita itu.


Sayang sekali  kita pengundi selalu terlupa atau tidak mahu ambil peduli tentang siapa pemilik kuasa sebenar. Kerusi tidak ada kuasa. Kita pengundilah yang ada kuasa.


Mesti sentiasa ingat, kita pengundi yang ada kuasa. Melalui pilihanraya, kita lupuskan kuasa kita itu untuk dimiliki oleh orang/parti politik bagi suatu tempoh tertentu, biasanya tidak melebihi 5 tahun.

PRU dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi adalah satu kaedah bagi rakyat menyerah dan melupuskan kuasanya kepada orang/parti politik. Dan parti politik yang dapat kuasa mengatasi pesaingnya akan layak menubuhkan kerajaan, dan pesaingnya menjadi pembangkang. 


Pilihanraya bukan kaedah untuk melahirkan penasihat seperti yang dicanangkan oleh parti tertentu. Kita sebagai pengundi mesti faham hal ini.


Kerajaan tanpa pembangkang adalah tidak sihat dari segi mengurustadbir kekayaan negara. Mesti ada semak dan imbang.

Satu lagi sifir yang kita mesti tahu ialah bahawa kita sebagai pengundi tidak pernah berhutang budi kepada orang/parti politik mahupun parti politik yang kita beri kuasa untuk membentuk sebuah kerajaan, di peringkat negeri mahupun persekutuan. 

Tiada budi yang kita perlu balas.

Orang politiklah yang sepatutnya membalas budi kita. Merekalah yangb sewajarnya mendahulukan ucapan syukur dan terima kasih kepada kita. Tiada undi dari kita, mereka itu tidak ada benda. 


Ini kita mesti faham dan menjadi pegangan kita. Ini adalah satu dari sifir kita dalam memandu kita memberi undi dalam pilihanraya.


Kalau tidak kita sentiasa dibuli dan diperdaya, ditekan, diugut dan dipaksa serta digula-gula untuk mengundi mereka dalam setiap pilihanraya atas alasan jasa dan budi yang diberikan kepada kita sedangkan banyak kerosakan yang mereka lakukan semasa mereka menjadi kerajaan hasil daripada undi yang kita berikan kepada mereka.

Sifir pengundi tidak sama dengan sifir politik. Sifir politik mendahulukan pembolotan kuasa, sedang sifir rakyat untuk dapat hidup sejahtera dalam sebuah negara yang makmur merdeka. Sebab itu rakyat/pengundi sanggup berkorban dengan melupuskan kuasa untuk diserahkan kepada orang politik.
 

Kepada pengundi PRU 14 nanti mesti sentiasa ingat dengan sifir kita bahawa kitalah yang memberikan kuasa kepada orang politik dan kerajaan orang politik. 

Ingat jangan sekali-kali kita menyerahkan kuasa begitu saja kepada parti politik/kerajaan yang terang dan jelas menyalahgunakan kuasa yang telah kita beri pada PRU 13 dulu. 


Pilihlah parti-parti yang sentiasa mahu bekerjasama dikalangan mereka, yang tidak rakus membolot kuasa, dan yang mempunyai azam, kesungguhan dan matlamat bertanding untuk menang untuk menjadi kerajaan, bukan parti yang bertanding yang tidak memberatkan kemenangan. 


Dengan demikian kaedah satu lawan satu adalah kaedah yang terbaik untuk rakyat kerana rakyat diberi peluang untuk menentukan parti mana yang menjadi kerajaan dan parti mana yang menjadi pembangkang. 


Pertandingan lebih dari itu tidak ada gunanya bahkan tidak perlu, menjadi sia-sia kerana rakyat hanya mahukan kerajaan dan pembangkang saja.


Mana-mana parti yang cenderung kearah pertandingan lebih dari itu ianya perlu diketepikan.

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan