Theflowersellingboy

Selasa, 27 Disember 2016

Sayang Melayu dan Sayang Islam.




Anda orang Melayu dan anda juga beragama Islam. Adakah anda sayang Melayu dan sayang Islam?
 
Sudah tentu anda dengan jelas menyatakan anda sayang kedua-duanya.
 
Tapi apa itu yang dikatakan sayang bangsa dan agama itu?
 
Bagi saya, sayang itu mestilah bertujuan bagi kelangsungan satu bangsa yang beradab (bertamaddun) yang menjalani kehidupan berpandukan ajaran Islam.
 
Selain dari itu, ianya akan merosakkan bangsa Melayu dan agama Islam.
 
Kelangsungan satu bangsa yang beradab hanya boleh berlaku melalui perpaduan yang kukuh dengan saling bekerjasama dan bantu membantu kearah memperbaikki dan mempertingkatkan kedudukan sosial, politik dan ekonomi, mempunyai moral dan integriti, dan meraikan perbezaan pandangan tapi tegas dengan pendirian.
 
Politik diatas tidak bermaksud politik kepartian . Ianya adalah satu penguasaan keatas sesuatu tindakan dan keputusan demi faedah dan kebaikan bangsa melayu dan agama Islam. 

Ertinya sayang melayu dan sayang Islam itu bukanlah saja hak dan monopoli bagi parti politik tertentu. Ianya meliputi dan merangkumi melayu yang berparti politik dan melayu yang tidak berparti politik. 

Sesiapa saja orang Melayu dalam apa parti politik sekalipun atau tanpa berparti politik, mempunyai hak dan tanggungjawab untuk memperjuangkan melayu dan Islam demi kelangsungan hidup orang melayu yang beradab yang menjalani kehidupan berpandukan ajaran Islam.

Itulah yang dimaksudkan penguasaan politik melayu.

Untuk lebih mudah memahami tentang sayang melayu dan sayang Islam ini, kita boleh tanya diri sendiri dengan beberapa soalan seperti berikut: 

Apa guna berterusan hidup jika melayu tidak bermaruah, tidak punya harga diri dan integriti. Melayu yang muka tebal yang tidak tahu malu!

Apa guna berterusan hidup jika Melayu masih bertaraf dan berjiwa hamba (miskin, papa kedana, hidup melarat dan taat membabi buta kerana menyokong yang mungkar dan durjana).

Apa guna berterusan hidup jika melayu melaku dan mempertahankan kemungkaran, kebatilan, kepincangan, kerosakan dan kezaliman.

Apa guna berterusan hidup jika melayu melihat kelemahan diri disebalik kejayaan bukan melayu dengan perasaan dengki serta permusuhan, pantas menunding jari dari melihat dalam diri sendiri.

Apa guna berterusan hidup jika melayu yang diamanahkan untuk memimpin melakukan pecah amanah, menggunakan kedudukan menyalahgunakuasa berlindung atas nama kepentingan melayu dan Islam untuk kekal berkuasa, membolot kekayaan.

Apa guna berterusan hidup jika melayu berjiwa kecil, tidak berilmu dan berkemahiran yang sudah tentu tidak mampu bersaing, seumur hidup ketagihan bantuan tanpa usaha dan daya, hidup diperbodoh dan diperolokkan, dan tiada keyakinan diri.

Apa guna berterusan hidup jika melayu tiada kekuatan jati diri, yang sentiasa mudah saja ditakut-takutkan dengan menjadikan bangsa asing/kuasa asing sebagai hantu jadi-jadian diatas kegagalan diri dan pimpinan.   

Ya, apa guna berterusan hidup jika kelangsungan hidup melayu diisi dengan durjana dan bencana tanpa peradaban. Malang sekali mentafsirkan maksud al-Quran untuk menjustifikasikan kedurjanaan dengan mempertahankan pemimpin atau kerajaan yang berterusan melakukan kezaliman dan kepura-puraan.

Kesimpulannya, sayang melayu dan sayang Islam itu ialah untuk menjaga nama baik melayu dan kesucian agama Islam. 

Apa-apa sikap, tindakan dan perbuatan orang melayu yang beragama Islam selain bertujuan menjaga nama baik melayu (termasuk diri sendiri) dan kesucian Islam adalah sebenarnya tidak sayang melayu dan agama Islam. 

Sayang melayu dan sayang Islam tidak boleh terhasil melalui jenama parti politik walaupun parti politik mempunyai peranan yang penting. 

Tetapi sayangnya falsafah politik (apa yang telah diterima umum) ialah bahawa politik adalah seni serba mungkin, apa saja wajar dilakukan demi kelangsungaan parti politik itu. 

Oleh itu mana mungkin falsafah yang cacat dan bertentangan dengan keperluan kelangsungan sebuah peradaban bangsa dan ajaran Islam (mungkin juga agama yang lain) boleh memainkaan peranan ke arah bangsa yang bermaruah dan kesucian agama Islam.  

Sayang melayu dan sayang Islam juga tidak boleh terhasil dalam bentuk slogan dan retorik. 

Mereka (melayu) yang mendepankan retorik dan slogan menggunakan demi melayu dan Islam, dalam banyak hal dan keadaan bertujuan untuk melindungi kelemahan, kekurangan, kurang upaya, kepura-puraan, salahlaku, mungkir janji dan kedurjanaan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan