Theflowersellingboy

Khamis, 2 Januari 2014

PANAS: Nak Buat Macam Mana




Tahun 2014, baru masuk hari kedua. Masih lagi seperti biasa. Hujung bulan rasanya, akan ada yang luar biasa kesan dari kenaikan harga letrik. Cuba jimat letrik, tapi keadaan cuaca yang semakin panas tidak mampu pula untuk memberhentikan kipas dari berpusing. Kalau terlalu sangat panas terpaksa juga buka penghawa dingin, mahu berihat lebih selesa. Tapi hujung bulan Januari ini, nampak gaya akan ada suara keluhan, 'bil letrik tinggi sangat'.

Tapi nak buat macam mana. Malaysia ini terlalu panas. 

Ada hutan, paya, lurah, lembah, sungai, bukit dan gunung semua telah kena terokai. Bukit dan gunung, habis digondolinya. Hutan, ditebas tebang. Paya, lurah dan lembah telah dikambus. Sungai semakin menjadi kecil, kotor dan cetek disebabkan mendapan hasil dari bahan-bahan yang memasuki ke dalam arus sungai akibat dari  kerja-kerja tarahan bukit, bukau dan gunung dan penebangan pokok, pembersihan dan pembakaran hutan.

Tapi nak buat macam mana, kerana penduduk sentiasa bertambah. 
Pembanguan mesti diteruskan, kata setengah pihak yang mempertahankan kerja-kerja diatas. Inilah harga yang perlu dibayar bagi sebuah pembangunan dan kemajuan. 

Ada juga pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat diatas. Pembangunan boleh diteruskan tapi dilakukan dengan mengambilkira kesan kepada berbagai kehidupan - kehidupan manusia, binatang-binatang, kayu kayan, flora dan fauna, sumber air seperti sungai, paya, lurah dan lembah, bukit dan gunung ganang.

Tapi nak buat macam mana, manusia ini terlalu rakus dan tamak serta tidak amanah, termasuk yang secara langsung diberikan tanggungjawab untuk menguruskan berbagai kehidupan itu sendiri.

Maka satu dari kesan yang kita semua hadapi sekarang ialah cuaca yang semakin panas. Ini adalah fonemina yang dihadapi oleh dunia.

Malaysia memang terlalu panas. Ini adalah satu kenyataan, bukan satu keluhan.

Jangan pula ada pihak meminta saya mencari negara lain yang tidak panas seperti Malaysia.

Malaysia adalah tanah tumpah darah saya. Saya sayangkan Malaysia. Sebab itu saya mahu bercakap tentang perkara-perkara yang mencemarkan keindahan dan kenyamanan negara saya. Ertinya saya ambil berat tentang negara Malaysia.

Cuaca yang panas ini akan menambah penggunaan arus letrik. Kipas dan penghawa dingin lebih banyak digunakan bagi menghasilkan suhu yang nyaman seperti yang pernah saya rasa lima puluh tahun dahulu. Dulu tidak ada kipas. Tapi kipas satay ada lah. Penghawa dingin, jauh sekali. Tidak ada dalam perbendaharaan kata ketika itu.

Saya tahu, kipas yang kurang berihat dan sentiasa berpusing, dan  sesekali diiringi dengan penghawa dingin akan memerlukan arus letrik yang banyak. Saya juga tahu, kadar tarif letrik yang telah dinaikkan akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2014. Saya tahu kesannya. Bil letrik pada hujung Januari  akan meningkat. Saya juga tahu pendapatan tetap saraan pencen saya akan tertolak ke dinding, susah nak bernafas.

Tapi nak buat macam mana. Malaysia negara panas. Kipas dan penghawa dingin boleh membantu menghilangkan kepanasan.

Ini ada keluhan saya. Saya juga tahu lebih ramai lagi orang yang mengeluh kerana kehidupan mereka tidak seberuntung seperti saya. 

Ada yang tidak bekerja. Ada yang kerja remah-remah saja, sekejap bekerja, sekejap menganggur. Ada yang sepenuh masa bekerja. Ada yang buat berbagai kerja. Ada yang kerja dari subuh sampai maghrib. 

Saya juga tahu hasil kerja mereka adalah kurang kalau pun tidak terlalu kecil berbanding dengan saraan pencen saya. Dan saya tahu mereka mengeluh. Cuma saya tidak tahu tahap marah dan mendidihnya darah mereka dengan kenaikan harga sebab mereka itu tidak seperti saya, tidak seperti anak-anak muda yang TURUN menentang harga naik. Mereka tidak ada wang untuk ke dataran merdeka. Mereka tidak ada internet untuk meluahkan perasaan, menulis dalam blog, face book atau twitter. Lagipun mereka tidak ada maklumat dan ilmu sebaik anak-anak muda TURUN itu. Mereka hanya mampu memeram perasaan marah mereka dalam dada yang bergelombang.

Saya cukup marah dan darah mendidih. Sebab itu saya menulis di blog membantah kenaikan harga. Bukan saja untuk melepaskan perasaan. Tapi lebih penting dari itu ialah:

i) memohon pengertian dan fahaman dari semua pihak terutama kerajaan dan mereka yang berkedudukan senang akan betapa tersiksanya orang yang berpendapatan kecil dengan kenaikan harga, apatah lagi harga barang-barang yang amat perlu seperti beras, gula, minyak, letrik, tambang bas, lrt dan tol;  dan kenaikkannya pula berlaku satu lepas satu; 

ii) kerajaan tidak meneruskan kenaikan harga pada ketika ini. Pemotongan subsidi bagi barang perlu seperti gula dan minyak yang menyebabkan kenaikan harga barang/bahan itu ditarik balik. Ianya tidak sesuai pada ketika ini. Bantuan BR1M kerajaan kalau diteruskan adalah membantu juga. Tapi jika ianya membebankan kewangan kerajaan, berhentikan BR1M dan menarik semula pemotongan subsidi gula dan minyak.

iii) Tangguh dahulu GST sehingga rakyat mempunyai pendapatan yang tinggi paling kurang RM2,000 bagi seorang pekerja.

iv) rakyat faham bahawa dengan pemotongan subsidi, beban tanggungan wang negara akan berkurangan. Hasil yang bertambah boleh mengukuhkan kewangan negara. Ekonomi negara boleh tumbuh dan berkembang dengan baik dan pesat. Ini adalah baik untuk rakyat. 

Tapi, ada cara lain bagi mengurangkan tanggungan  beban kewangan negara iaitu melalui kaedah belanja berkhemah dan tidak boros: 

a) Susun semula keutamaan perbelanjaan. Perbelanjaan berbentuk menaikkan imej dan prestij , protokol, majlis keraian dan perasmian, dan rombongan/lawatan keluar negara (gunakan secara berkesan perwakilan kita diluar  negara  seperti   kedutaan/konsulat,  maltrade  dan  Jabatan penuntut)  misalnya dikurangkan, dan ditiadakan jika tidak menjejaskan produktiviti kerja.

b) Kurangkan atau hapuskan khidmat jururunding kerana kita telah sedia ada penjawat awam yang mempunyai banyak pengalaman kerja dan tahu hal setempat berbanding dengan juru runding luar; gunakan pakar-pakar dari institusi tempatan  untuk terlibat sama.

c) Jangan teruskan kaedah 'inflated cost' bagi sesuatu projek. Banyak sebab yang menjadikan kos sesuatu projek itu menjadi 'kembung', antaranya: 

-amalan rasuah dalam berbagai bentuk seperti komisyen, mutu/kualiti bahan yang rendah tetapi harga yang dibayar tinggi melebihi harga pasaran, spesifikasi tender yang terarah (tailored specification) untuk diberikan kepada sesuatu pihak atau spesifikasi tender yang disediakan oleh pihak yang mahu diberikan projek,  tender terhad/tertutup, projek reka dan bina (design and build) yang sudah ditentukan pihak yang akan dipilih, runding harga dan 'fast track'.

- projek lewat siap dan terbengkalai disebabkan antara lain menawarkan kepada kontarkator yang tidak ada kemampuan, kemahiran dan kepakaran tapi atas dasar kaitan politik, sahabat rapat , dan saudara mara; dan kegagalan penyeliaan projek oleh pegawai penyelia.

 -projek rendah mutu dan tidak ikut spesifikasi. Projek seperti ini membuatkan selalu belanja penyelenggaraan yang tinggi dan mudah rosak/runtuh

-perojek yang menggunakan khidmat juruperunding.

d) Kaji semula keistimewaan-keistimewaan yang diperolehi oleh  Ahli Pentadbiran dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan dari Jusa C ke atas dengan tujuan untuk mengurang/menghapuskannya buat sementara sehingga ekonomi negara membenarkannya. Memang boleh dikurangkan. Ianya tidak sangat menjejaskan kualiti kehidupan mereka. Saya percaya ianya tidak akan membuatkan mereka hidup seperti pegawai rendah kerajaan yang begaji RM2,000.

e) Jangan terus berhutang. Hutang yang tinggi dan perbelanjaan yang tidak berkhemah dan boros inilah yang sebenarnya punca yang membuatkan beban tanggungan kerajaan sampai ketahap yang kritikal sehingga kerajaan terpaksa memotong subsidi, menaikkan harga barang dan memperkenalkan cukai untuk semua orang iaitu GST.

Saya faham saya akan bayar bil letrik yang tinggi pada hujung Januari nanti, sebab saya hendak sedikit selesa, walaupun ianya mengurangkan kuasa beli wang pencen saya. Setakat sekarang rasanya saya boleh menerima tekanan itu. Tapi mengeluh juga.

Tapi saya bukan hidup seorang. Kalau saya mahu hidup senang dan selesa, orang lain pun mahu hidup macam saya. Cuma saya tidak ada kemampuan menolong mereka secara berkesan kerana saya tidak seperti orang kaya, orang berpendapatan tinggi, pakar-pakar berbagai bidang, ketua beberapa NGO dan bekas Perdana Menteri. Apatah lagi saya tiada kuasa seperti Perdana Menteri,Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri.

Saya hanya mampu menulis di blog. Untuk bersama TURUN pun saya tidak mampu walaupun saya sokong sepenuhnya kepedulian mereka itu atas kesenggsaraan rakyat dengan kenaikan harga.

Jadi, wahai orang kaya, berpendapatan tinggi dan puak-puak yang tersenarai diatas, jangan sekali-kali kamu semua menyakitkan hati rakyat yang susah itu dengan komen-komen yang tidak bertanggungjawab dan tidak membantu meringankan beban hidup rakyat itu, yang bersifat memandang rendah usaha mereka yang mahu memperjuangkan nasib rakyat itu.   

Bekas PM kata mereka yang berhimpun untuk mendesak kerajaan TURUN kan harga pada malam tahun baru sebagai tidak demokratik kerana tidak mewakili suara majoriti. 

Sesungguhnya kehidupan mewah bekas PM itu telah membuatkan dia lelan dan tidak sedar bahawa majoriti rakyat adalah susah dan berpendapatan kecil. Mereka ini akan menggunakan wang mereka dengan begitu cermat sekali, satu sen pun sungguh bermakna kepada mereka. Apakah bekas PM itu membuat kesimpulan bahawa bilangan yang hadir TURUN itu tidak menjadi suara majoriti kerana orang susah itu tidak hadir?

Itulah sifat dan sikap orang yang hidup mewah yang tahu hal orang susah, tapi tidak mahu ambil peduli selagi kehidupannya tidak terjejas. Malah menyampaikan 'nasihat' mengajak orang susah berjimat cermat, kerja kuat dan buat banyak kerja untuk tambah pendapatan, bertenang dan bersyukur atas ketentuan takdir, dan jangan ikut mereka yang menentang kenaikan harga barang. 

Saya cadangkan orang-orang itu termasuk bekas PM, agar duduk bersama dengan orang kampong yang susah, tak lama sebulan saja, dan tolonglah buat kerja dibendang. Cuma saya ingatkan, kipas dan aircond tidak ada. Mereka pakai yang asli saja selain dari berlenggeng, tak pakai baju.

Saya sendiri tidak sanggup berpanas dan berlenggeng. Sebab itu kena bayar bil letrik yang tinggi, datang hujung Januari nanti, terimalah saja.

Nak buat macam mana. Silap-silap protes kena tangkap pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan