Theflowersellingboy

Selasa, 14 Januari 2014

LOGIK dan JAWAPAN PM = BN Tentang Harga Naik



Harga naik jangan salahkan kerajaan. Harga naik salahkan pasaran dunia. 
 
Harga petrol naik bukan kerana kerajaan kurangkan subsidi. Harga petrol naik kerana harga pasaran dunia juga..Mengapa mahu buat bising, sebab harga petrol di Singapura lebih mahal.

Harga gula naik bukan kerana kerajaan kurangkan subsidi. Harga gula naik demi kesihatan rakyat dan meningkatkan kedayaan upayaan sejati..

Harga tarif letrik naik bukan kehendak kerajaan. Harga tarif naik kerana TNB nak tingkatkan pelaburan.

Harga tol naik  tidak dapat dielakkan kerana itulah yang telah dimatri dalam perjanjian. Kalau tidak kerajaan kena bayar jutaan pampasan.

Tambang bas sekolah naik jangan salahkan kerajaan, sebab kerajaan tidak ada kawalan. Jangan pula nak tunjuk perasaan gulingkan kerajaan nanti hukumnya 'bughah' , darah jadi halal kata seorang mufti.

Cukai taksiran KL naik jangan salahkan bandaraya, salahkan pembangkang yang banyak buat cerita. Bukankah Datuk Bandar keluar belanja 15 juta ringgit pada malam menyambut tahun baru, terima kasih dan bersyukur sajalah.

Harga sayur dan makanan naik, jangan salahkan kerajaan sebab rakyat tidak pandai buat pilihan. Kalau harga ayam naik , makanlah daging atau ikan. Kalau harga sawi naik, makanlah kangkung. Bukankah harga kangkung sudah turun. Mengapa harga kangkung turun tidak mahu puji kerajaan?

Harga rumah naik belilah rumah PR1MA walaupun tidak cukup dan tidak juga murah.

Apa lagi nak komplen?

Hutang negara naik, macam mana PM?

Soalan itulah yang ditunggu-tunggu. Jangan terlalu taksub dengan harga naik. Ianya tidak membantu negara dan tidak menyelesaikan masalah saya. 

Jawapannya semua sudah diberitahu agar rakyat tidak keliru atau dikelirukan oleh pembangkang. Kita sudah iklankan, ditepi jalan dan lebuh raya. Terbentang besar agar semua dapat lihat dan meresap dalam hati nurani. Di skrin tv, kami ulang-ulangkan. 

Menjelangnya fajar April 2015, demi bersikap adil, kami hidangkan GST untuk semua rakyat tanpa kecuali.

"Jangan kamu tanya apa yang negara perlu berikan kepada kamu, tanyalah apa yang kamu boleh berikan kepada negara". 

Selesai masalah saya.
 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan