Theflowersellingboy

Khamis, 9 Januari 2014

Benteng Terbaik Untuk Tidak Dikelirukan




Saya bukan ilmuan Islam atau dalam lain perkataan saya tidak mempunyai pengetahuan dan ilmu Islam yang tinggi. Dan tidak juga terbaik dalam amalan Islam.

Saya juga tidak punya pengetahuan tentang kristian dan kitab Bible.

Oleh yang demikian saya lebih banyak bertanya dari memberikan pandangan. 

Saya mengikuti dengan penuh minat tentang isu penggunaan kalimah Allah yang menjadi perbalahan diantara sebahagian umat Melayu/Islam dengan penganut kristian, khususnya katholik. 

Nampak gaya perbalahan itu belum ada penyelesaiannya walaupun telah ada ketetapan yang telah dibuat, sama ada diperingkat kerajaan dan mahkamah.  

Dan jika isu ini tidak  ditangani dengan baik, ianya boleh menimbulkan isu lain yang boleh menjejaskan keharmornian hidup kita semua.

Bagi orang Islam diseluruh dunia dari berbagai bangsa dan budaya, kalimah Allah adalah kalimah yang sentiasa  dilafazkan sebagai pengakuan dan penyaksian bahawa 'Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan bahawa nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah'.  Tanpa lafaz itu orang itu bukanlah Islam.

Ertinya, apa saja sebutan/perkataan yang membawa maksud bahawa hanya Dialah yang disembah dan tiada lain melainkan Dia, maka Dia itu ialah Allah. 

Jadi tuhan dalam bahasa Melayu itu ialah Allah yang tiada sekutu. Selain dari sifat itu bukanlah Allah.

Adakah itu yang diertikan oleh pihak kristian apabila mahu menggunakan kalimah Allah dalam terjemahan al-kitab (kitab orang kristian dalam  bahasa Melayu)? 

Jika begitu Allah tidak disekutukan. Sama yang diimani oleh orang Islam.

Tapi kenapa pula ada bapa tuhan , anak tuhan dan sebagainya walaupun mengatakan tuhan itu satu? Kenapa pula Jesus (nabi Isa 'Alaihissalam) itu tuhan?

Jadi kalau itulah sifat yang diimani oleh orang kristian maka sifat-sifat itu tidak layak  bagi Allah kerana Allah tiada sekutu.

Alasan pihak kristian dalam penggunaan kalimah Allah ialah ianya telah digunakan begitu lama di Sabah dan Sarawak . Tiada siapa dapat nafikan.

Dalam masa yang sama di Semenanjung tidak pernah terdengar pihak orang Kristian menyebut atau menggunakan kalimah Allah melainkan baru-baru ini.

Soalnya mengapa?

Jawapan yang pernah saya terbaca ialah bahawa telah ada penganut kristian yang menggunakan bahasa Melayu yang berasal dari Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung..

Jika itu jawapannya maka kaedah yang sama juga perlu digunapakai bahawa di Sabah dan Sarawak juga telah ada orang Islam yang berasal dari Semenanjung yang tahu bahawa kalimah Allah tidak pernah digunakan oleh orang kristian di Semenanjung melainkan baru-baru ini.

Bermakna jika perasaan orang kristian dari Sabah dan Sarawak  yang tinggal di Semenanjung perlu di hormati maka sama juga dengan perasaan orang Islam dari Semenanjug yang berada di Sabah dan Sarawak. 

Saya percaya orang kristian khususnya di Sabah dan Sarawak akan terus menggunakan perkataan Allah seperti yang telah dilakukan lama dulu. Dan orang Islam sama ada penduduk tempatan Sabah dan Sarawak dan khususnya dari Semenanjung tidak harus mempersoalkannya.

Oleh itu di Semenanjung hendaklah juga dilakukan perkara yang sama dimana kalimah Allah itu tidak digunakan oleh orang kristian jika Allah itu tidak sama seperti yang diimani oleh orang Islam.

Maknanya status quo. 

Mengapa paderi kristian beria-ia sangat mahu menggunakan kalimah Allah dalam pengertian yang berbeza dari yang diimani oleh orang Islam?

Adakah bagi memudahkan penyampaian kepada penganut kristian berbahasa Melayu?

Tidak mungkin disebabkan itu kerana paderi itu sendiripun tidak tahu/pandai berbahasa Melayu. Semenjak bila paderi itu berminat dan sayangkan bahasa Melayu?  

Adakah disebabkan boleh melebarluaskan ajaran kristian dikalangan mereka yang memahami bahasa Melayu dan orang Melayu?

Persoalan-persoalan itulah agaknya yang membuatkan penentangan dari sebilangan orang Melayu/Islam terhadap pengggunaan kalimah Allah oleh orang kristian.

Saya memahami akan penentangan itu. Orang Islam itu khuatir penggunaan kalimah itu dalam agama kristian boleh mengelirukan penganut Islam , terutamanya yang  tidak memahami dan mengamal Islam dengan baik. Dan yang juga tidak tahu tentang kepercayaan orang kristian tentang tuhan.

Dengan sebab itu mereka menentang.

Tapi bagi saya, benteng kepada dakyah kristian atau apa saja kepercayaan ialah dengan umat Melayu/Islam itu meningkatkan ilmu dan pengetahuan Islam serta mengamalkannya dengan baik. Dan kita juga wajar mengetahui apa yang diajar oleh agama lain termasuk kristian. Iman orang Islam tidak akan tergugat jika kita punya ilmu dan amalan Islam yang baik . Ingat dan sentiasa berpegang kepada syahdah kita "Bahawa Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah dan Bahawa Nabi Muhammad Itu Adalah Pesuruh Allah".

Ertinya jika ada pihak lain misalnya kristian hendak mengelirukan kita melalui penggunaan kalimah Allah, ianya boleh saja ditewaskan kerana ianya tidak bersaksikan nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah. Sebab mereka tidak percaya syiar yang dibawa oleh nabi Muhammad saw.

Kita harap isu ini segera diselesaikan. Dan umat Melayu/Islam wajar menumpukan kepada usaha bagi meningkat ilmu dan amalan Islam.

Mungkin di Malaysia atau sekurang-kurangnya di Semenanjung kalimah itu tidak dibenar digunakan. Tapi Islam bukan saja di Semenanjung atau di Malaysia. Jika kalimah Allah itu digunakan  di negara lain seperti alkitab yang ditulis dalam bahasa Melayu, ianya juga boleh bersifat mempengaruhi dan mengelirukan orang Mealayu diluar negara seperti pelajar-pelajar kita. Oleh itu benteng kita ialah meningkatkan ilmu dan amalan Islam kita.

Tidak mungkin kita melarang kitab tersebut disebarkan dikalangan orang Melayu diluar negara.


 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan