Theflowersellingboy

Sabtu, 4 Januari 2014

Antara Hospital dan nasihat doktor dengan apa yang mereka percaya.




Dua orang perempuan dalam usia 50an duduk berhadapan, sementara menunggu giliran untuk berjumpa doktor di sebuah hospital besar. Mereka bercerita tentang penyakit yang ada pada mereka. 
 
Dua-dua ada sakit kencing manis dan darah tinggi.Yang seorang itu memberitahu, dia makan air rebus pucuk papaya, beberapa gelas satu hari walaupun ianya terlalu pahit, demi menurunkan tekanan darah tinggi dan kencing manis. Kawannya pula memakan buah tunjuk langit untuk mengatasi tekanan darah tinggi. Mereka berdua mengaku kesannya amat baik bagi penyakit mereka.
 
Dalam masa yang sama mereka juga dapatkan ubat yang ditentukan oleh doktor. Tapi kedua-dua mereka tidak makan ubat hospital itu menurut yang ditentukan oleh doktor. Jarang sekali ubat itu dimakan. Tapi pada hari jumpa doktor, ubat hospital terpaksa ditelannya juga, khuatir doktor akan marah jika bacaan tekanan darah dan kencing manis meningkat.

Mereka juga bercerita tentang amalan pemakanan. Seorang darinya mengawal makanan dengan tidak mengambil makanan berlemak dan berminyak, kurang mengambil gula, makan roti sebagai ganti nasi; dan hanya makan makanan secara rebus. Ertinya tidak pakai minyak dan berbagai rencah. Katanya cara yang dilakukannya ini amat berkesan sekali. Tapi dia pernah pengsan kerana terlalu mengawal makanan. Katanya bila dia tanya doktor, dia diminta supaya jangan terlalu mengawal sehingga merendahkan tahap gula. Dan doktor menasihatkan supaya mengambil gula-gula dalam keadaan gula yang terlalu rendah.

Kawan yang seorang itu pula menyatakan dia tidak mampu berpantang. Dia pernah cuba, tapi kurang berjaya kerana rasa makanan itu tidak sedap.

Dari segi ukuran tinggi dan berat badan, kedua-dua mereka nampaknya tidak seimbang. Kedua-duanya gemuk.
 
Lama juga mereka berbual. Tetapi tidak sekalipun mereka menyentuh tentang senaman untuk menyihatkan badan. Saya percaya, mereka tidak pernah bersenam, apatah lagi menjadikan senaman sebagai satu gaya hidup bagi menyihatkan tubuh badan, termasuk dalam mengurangkan garam dalam badan, gula dan lemak.
 
Cara mereka menjaga kesihatan ialah mendapat rawatan apabila sakit, mengawal makanan yang kadang-kadang dikawal secara ekstrim sehingga tahap gula terlalu rendah , dan memakan herbs atau makanan/sayuran yang pahit-pahit seperti yang diamalkan secara turun temurun. Malah ubat yang dibekal oleh hospital tidak dimakan seperti yang ditentukan doktor. Hanya apabila mahu berjumpa doktor saja mereka tidak gagal untuk makan ubat hospital, takut doktor marah, jika tekanan darah atau kencing manis menjadi tinggi. 
 
Saya ingat sebahagian besar orang lain juga melakukan perkara yang sama, terutamanya dikalangan orang Melayu. Mereka tidak mengamalkan senaman sebagai satu cara dalam menjaga kesihatan tubuh badan. Mereka memilih untuk mendapat rawatan daripada mengelak dari dihidapi penyakit.
 
Tapi dalam mendapat rawatan pun mereka ada pilihan sendiri. Mereka mengenepikan atau tidak memberi keutamaan apa yang dinasihatkan oleh doktor dalam hal memakan ubat. Mereka makan ubat hospital apabila mahu jumpa doktor, takut doktor marah dan bukan bertujuan untuk merawat penyakit. 

Yang anihnya hospital juga tempat yang dituju untuk mengetahui apa sakit mereka. Doktor juga yang dijumpai setiap bulan.
 
 Dan mereka menunggu begitu lama.


 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan