Theflowersellingboy

Sabtu, 4 Januari 2014

Penggunaan Kalimah Allah Oleh Kristian: Tinggkatkan Ilmu dan Amalan Islam Kita



  



Kalimah Allah: Dengar video ini dengan tenang tanpa emosi.

Selalunya kita bertindak mengikut emosi  tanpa kita sendiri faham sesuatu isu itu berdasarkan ilmu dan maklumat yang baik. Misalnya dalam hal kalimah Allah yang menjadi isu yang menjadi pertikaian diantara sebahagian orang Melayu Islam dan orang Kristian. 

Orang kristian mahu menggunakan perkataan Allah dalam agama mereka termasuk dalam kitab suci mereka yang ditulis dalam bahasa Melayu. Ini mendapat tentangan dari sebahagian orang Melayu. Isu ini juga telah melibatkan pertimbangan mahkamah. Begitu juga sudah menjadisatuisu yang dipolitikkan.

Mungkin sebahagian besar orang Melayu di Semenanjung tidak mengetahui atau tidak ada maklumat tentang penggunaan Allah dikalangan orang kristian di Sabah dan Sarawak semenjak lama dulu. Sebab itu mereka merasakan sesuatu yang amat ganjil jika kalimah Allah itu digunakan oleh orang kristian. Tambahan lagi tidak pernah pihak gereja di semenanjung menggunakan kalimah Allah atau menyebut nama Allah dalam urusan keagamaan mereka. 

Saya masih ingat suatu masa dulu tentang protes orang bukan Islam terhadap perkataan Allah dan Muhammad yang terdapat pada topi anggota polis yang terpaksa dipakai oleh orang bukan Islam. Keadaan ketika itu terlalu hangat. Bagaimanapun akhirnya menjadi reda, dan perkataan Allah dan Muhammad itu masih kekal di bahaian hadapan topi polis.

Tapi kenapa sekarang pihak gereja di semenanjung mahu gunakan perkataan Allah?

Bagi saya ada tujuan untuk berdakwah dan untuk memperkembangkan agama kristian dikalangan mereka yang memahami bahasa Melayu.

Tapi bukankah kerja mendakwah adalah tugas utama bagi mana-mana agama bagi memperkembangkan agama masing-masing sama ada Islam, kristian dan yang lain?

Bolehkah kita menyekat?

Ya, dari segi undang-undang, agama lain tidak dibenarkan disebarkan dikalangan orang Melayu. Tapi adakah itu satu pertahanan yang mencukupi dan kukuh dalam menghalang orang Melayu dari menerima sebaran agama selain Islam? Saya tidak fikir begitu, terutama dalam dunia yang terbuka luas ini dimana capaian dalam berbagai hal termasuk agama mudah saja diperolehi.

Ertinya pendekatan menyekat penyebaran agama selain dari Islam dikalangan orang Melayu dalam bentuk undang-undang adalah tidak berkesan sama sekali. 

Oleh kerana kita selalu dan terlalu sangat begantung kepada undang-undang dan bukan kepada kekuatan dalam diri sendiri, membuatkan orang Melayu lemah dalam banyak hal. Misalnya lemah ekonomi dan lemah juga dalam keimanan kita kepada agama Islam. 

Berlindung dibawah peruntukan undang-undang telah membentuk  pemikiran orang Melayu bahawa mereka sentiasa selamat. Kehidupan ekonomi selamat dan agama pun selamat. Segala-galanya selamat. Paling malang sekali, kepercayaan tentang terjaminnya 'SELAMAT' itu telah membuatkan orang Melayu tidak mahu bekerja keras, dan tidak sanggup bersaing dengan bangsa. Dan tidak juga mahu memantapkan diri dalam keimanan kita kepada Islam dengan meningkatkan ilmu dan amalan kita sebagai seorang Islam,

Islam pada kita hanya memadai setakat  ada nama saja. Tanpa ilmu dan amal, kita adalah seorang Islam yang diiktiraf dari segi undang-undang.

Kita tidak ada ilmu Islam. Kita tidak juga mengamalkan ajaran Islam. Apatah lagi kita tidak tahu tentang agama dan amalan agama selain dari Islam. Ertinya untuk kita berhujah apabila berhadapan isu seperti kalimah Allah ini kita banyak dibimbing oleh emosi  bukan ilmu yang ada pada kita, dan tidak juga amalan kita.

Dengan sebab itu apabila ada pihak yang berkepentingan menaikkan emosi marah kita, menentang penggunaan kalimah Allah itu, kita tanpa menggunakan hujah ilmu, terus terpengaruh dan mengambil tindakan menurut yang dimahukan oleh pihak yang berkepentingan. Kalau mereka suruh bakar kitab suci agama kristian itu , kitapun bakarlah. Sebab kita takut dipengaruhi oleh agama kristian. Sebab kita tidak mahu ramai orang Melayu murtad.

Tapi itu bukan caranya,.

Sebenarnya apa yang perlu kita buat ialah mempertingkatkan ilmu dan amalan agama Islam kita. Itu lah senjata yang paling kukuh bagi kita menghadapi segala macam dakwah dan dakyah kristian dan agama lain. Tidak  cukup dengan perlindungan undang-undang atau dengan tunjuk perasaan membantah penggunaan kalimah itu atau membakar bible yang berkaitan. Membakar kitab suci agama lain adalah satu perbuatan yang mencemarkan agama kita.

Sesungguhnya agama Islam kita benar. Sesungguhnya kita boleh berhujah dengan kekuatan agama kita. Tidak perlu membakar bible. Tidak ada faedah kita melarang penggunaan kalimah Allah dikalangan penganut kristian kerana apa saja panggilan tuhan yang digunakan oleh mereka termasuklah Allah ianya tidak sama dengan Allah kita iaitu Allah yang tiada lain disembah melainkan Allah yang satu. Tuhan orang kristian lebih dari satu. 

Ianya tidak mencemarkan Allah yang kita percaya. Yang tercemar dan memangpun tercemar ialah kepercayaan mereka bahawa tuhan mereka, yang kalaupun disebut Allah adalah lebih dari satu. Jadi mengapa kita perlu risau. Yang kita perlu risau ialah ilmu dan amalan Islam kita yang masih lagi rendah dan perlu dipertingkatkan. Itulah dinding terbaik dan kukuh.

Kita jangan mempersoalkan niat orang kristian untuk memperkembangkan agama kristian melalui penggunaan kalimah Allah. Itu kerja mereka. Apa yang kita perlu buat ialah melakukan dakwah yang lebih baik dan tersusun dikalangan orang Melayu/islam dan orang bukan Islam. 

Video diatas boleh mencerahkan lagi pemikiran kita tentang penggunaan kalimah Allah. 
 





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan