Theflowersellingboy

Rabu, 15 Januari 2014

KANGKUNG dan KEHEBATAN PM



Kangkung sudah menjadi popular. Semua ini adalah gara-gara sebutan yang keluar dari mulut PM, orang no satu berkuasa di Malaysia. Kalau saya yang menyebutnya atau selain dari PM yang menyebutnya, ianya tidak akan jadi popular. Ianya tidak akan mendapat berbagai perspektif dari pelbagai pihak. Itulah hebatnya PM. 

Betulkah begitu? Maksudnya betulkah sebab PM yang menyebutnya maka kangkung jadi popular. 

PM sebut juga perkataan lain atau sayur lain seperti sawi. Kenapa perkataan lain atau sayur sawi yang juga disebut oleh PM tidak menjadi popular.  

Ertinya bukan disebabkan oleh sentuhan PM.

Betulkah PM itu hebat?

Benar, tidak boleh dinafikan bahawa PM itu memang hebat.

Tapi mengapa kangkung saja yang diperbesar dan menjadi sentuhan oleh berbagai pihak semenjak sayur itu disebut oleh PM. Anak muda sebut kangkung, yang dewasa. yang tua, orang politik bahkan yang bergelar professor pun tidak mahu ketinggalan menyatakan sesuatu tentang kangkung.

Ada yang mengingatkan kita tentang lagu lenggang kangkung. Ada yang memberitahu kangkung itu sejenis sayur yang mudah ditanam. Campak saja batang kangkung itu di longkang atau tepi longkang atau di parit, dijamin kangkung itu akan tumbuh dan membiak. Tak perlu disiram dan dibajai, ianya tumbuh menjalar.

Ada juga yang mencipta pantun dengan penuh kias ibarat.

Saya cuba mencari apakah sebabnya perkataan kangkung yang disebutkan oleh PM itu sudah menjadi kegilaan ramai orang ketika ini, termasuk saya. Kata orang, waktu berihat, ingatkan kangkung, waktu kerja , kangkung juga yang disebut. Waktu jaga, kangkung juga yang kelihatan. Waktu tidur kangkung menjadi impian. Setiap ruang dan waktu, kangkung saja yang jadi monopoli. Sambil kangkung yang bermain dalam fikiran dan perasaan, wajah PM sentiasa terbayang sama, seolah-olah tidak akan terbayangnya kangkung tanpa diiringi wajah PM.

Apalah ada pada kangkung, sejenis sayur yang hidup ditepi longkang., longkang yang bau busuk. 

Di kampong-kampong ianya bersepah tumbuh dalam longkang atau parit yang dalam banyak keadaan bukan sengaja ditanam tapi tumbuh hasil batangnya dibuang atau dicampak ke dalam longkang. Mudah saja membiak. Tidak ada modal yang perlu dikeluarkan. Sebab itu jika ada pihak yang menjual kangkung, terutama di kampong, penjual itu amat berpuas hati jika sayur itu laku dijual.

Maknanya kangkung ini tidak layak untuk diletakkan tanda harga, apatah lagi tanda harga yang tinggi. 

Dalam hubungan kejiranan di kampong, jiran sebelah akan secara selamba  memohon untuk mengambil kangkung yang tumbuh di dalam atau di tepi longkang jiran. Dan jirannya sentiasa mengukir senyum, membenarkan kangkungnya itu diambil, percuma.

Ertinya apa?

Kangkung ini mudah didapati, senang tumbuh tanpa perlu ditanam. Diparit di longkang rumah boleh saja kangkung tumbuh menjalar. Kalau ada jiran yang mahu mengambilnya, dipersilakan, percuma. Di kampong kalau laku dijual, ianya satu kejayaan kepada sipenjual, tersangat suka hati dan gembira kerana kangkung yang dijualnya sudi dibeli orang.

Jadi apabila PM cakap harga kangkung sudah turun dan meminta rakyat berterima kasih maka ramai rakyat, terutama orang kampong dan yang berasal dari kampong merasa luar biasa. Luar biasa kerana inilah kali pertama kangkung mendapat tempat dihati, sudah mendapat kepedulian dari seorang PM.

Rakyat tidak menjangka seorang PM begitu memberikan tempat kepada sayur yang bernama kangkung, yang pada mata dan hati orang biasa, rakyat biasa, kangkung tidak mendapat kedudukan seperti yang diberikan oleh PM itu. Bagi rakyat biasa , orang kampong, kangkung hanya dikaitkan dengan sejenis sayur yang tumbuh dan mudah membiak ditepi longkang. Ianya boleh diperolehi secara percuma saja.

Apa yang ada dalam otak kepala serta menjadi kerinduan , yang menjadi harapan dan yang ditunggu-tunggu oleh orang  kampong untuk mendengar dari suara dan kata-kata PM ialah selain dari benda atau barang yang boleh diperolehi secara percuma seperti kangkung. 

Mereka nak buat kuih muih untuk dijual sebagai cara menambah pendapatan kerja harian mereka sebagai nelayan, penorih getah dan pnanam padi. Bukankah itu yang selalu dipesan dan dinasihatkan oleh PM dan orang kaya-kaya meminta orang kampong, orang susah untuk lebih bekerja kuat bagi menambah pendapatan dalam keadaan kos sara hidup yang naik melambung.

Oleh itu turunkanlah harga gula. Bahan penting kuih muih mereka seperti buah melaka, adalah gula. Kalau harga gula tinggi, macam mana mereka mampu membeli. Pendapatan mereka tidak pun cukup untuk memberi makan minum  isi keluarga (ingat keluarga mereka besar) walaupun mereka makan apa yang ada. Kadang-kadang berlaku rebutan makanan dikalangan anak-anak.

PM mungkin tidak percaya atau tidak dapat membayangkan keadaan seperti ini. Tapi kalau nak tahu, dipersilakan duduk sehari semalam dirumah orang susah di kampong. Sebab itu BR1M itu laku dan boleh menawan hati mereka. Tapi jangan menyiksa dan menyusahkan kehidupan mereka yang telah sedia susah itu.

Harga minyak juga perlu diturunkan. Harga minyak yang tinggi memberi kesan kepada harga barangan yang lain misalnya tepung. Tepung adalah satu dari bahan penting dalam membuat kuih muih. Jadi kalau harganya naik, manakan mampu tepung itu dibeli.

Turunkan juga tarif letrik, tambang bas dan macam-macam lagi. Harga kangkung mahal pun tidak mengapa, kerana ianya boleh didapatkan secara percuma.

Dengan demikian apabila PM yang berhadapan dengan orang kampong menyatakan harga kangkung turun, dan marah pula kerana rakyat tidak memuji kerajaan, maka hancur luluhlah hati rakyat kerana mereka tidak terfikir yang kangkung itu menjadi satu beban dalam kehidupan mereka. 

Dan sebagai mengingati sebutan kangkung yang sungguh pantas disebut oleh PM sebagai bukti harga barang turun maka kena pada tempat dan masanya kangkung itu menjadi sebutan dan sentuhan popular semua rakyat, sebagai melahirkan rasa tidak percaya rakyat kata-kata itu keluar dari PM yang sepatutnya hebat.

Tanpa rayuan rakyat, PM kata"Harga kangkung turun", Hebat tak PM kita ni?

Rakyat merayu, "Harga minyak , gula dan letrik turun".

PM jawab dalam hati atau bersuara, "Mana boleh. Negara perlukan wang untuk membangunkan negara. Negara membangun rakyat juga yang senang. Satu lagi, untuk bayar hutang negara'.

Hebat kah PM dengan jawapan itu?

Saya percaya jawapan itu tidak sesuai bagi seorang PM. Ianya boleh mencemarkan kehebatannya. Yang boleh mencemarkan kedudukan orang yang paling berkuasa di Malaysia kerana hanya mampu menurunkan harga kangkung yang boleh dengan mudah didapatkan secara percuma.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan