Theflowersellingboy

Khamis, 16 Januari 2014

Jangan Mengejek PM dan Jangan Juga Menyakitkan Hati Rakyat Marhaen




Lagi isu harga kangkung turun: Jangan mengejek PM.

Saya setuju dengan pandangan seorang ahli parlimen bahawa mengejek-ejek PM bermakna kita mengejek diri kita sendiri. PM adalah ketua kita, ketua no satu seumpama bapa kita. Jika bapa kita melakukan sedikit kesilapan, kesilapan yang tidak sengaja, saya percaya tidak wajar kita sama tumpang mentertawakannya atau membuat berbagai cerita dalam berbagai bentuk untuk memperlekehkan bapa kita.

Cuma saya tidak pasti sama ada kritikan atau berbagai bentuk respons dari rakyat terhadap kenyataan PM tentang harga kangkung yang turun itu sebagai satu ejekan atau merupakan lontaran perasaan rakyat yang marah yang merasakan tidak sesuai bagi PM mengambil contoh harga kangkung dalam mempertahankan kenaikan harga barang.

Namun setelah melihat beberapa  video, saya dapati ada kebenaran juga unsur-unsur ejekan itu dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Saya tidak pula mahu menyalahkan pihak-pihak yang melakukannya itu kerana sebagai 'public figure', apatah lagi orang no1, sebagai PM yang jawatannya ramai yang merinduinya, perkara meremehtemeh atau memperlekeh termasuklah dalam ejek-mengejek ini adalah seseuatu yang menjadi basahan hidup.

Maknanya, usahlah ahli parlimen itu merasa sedih sangat apa yang telah dilakukan oleh setengah pihak dalam respons mereka terhadap kenyataan PM tentang 'kangkung turun harga itu'. Jangan juga dibawa bersama perasaan gundah gulana dan dan marah itu (jika marah) untuk dihidangkan kepada PM sebagai menyatakan sokongan dan simpati kepadanya.

Apa yang penting ialah tidak mengulangi kata-kata seperti itu.

Maksudnya kepimpinan mestilah memahami dan tahu bahawa ada perkara-perkara yang jika disentuh walaupun ianya perkara yang benar, boleh menimbulkan rasa kecil hati dan marah rakyat.

Lebih jelas lagi ialah tentang sayur kangkung itu. Bagi orang biasa, khususnya orang kampong, sayur kangkung mudah saja didapati. Mudah saja ditanam. Tanpa niat untuk menanam kangkung itu, kadang-kadang mereka campakkan saja lebihan batang kangkung ke dalam longkang di rumah. Dijamin tumbuh dan membiak. Ianya menjadi sayur percuma, tidak perlu dibeli.

Maknanya, rakyat tidak langsung risau dengan harga kangkung sama ada naik atau turun. Kalau PM kata hendak naikkan harga kangkung pun, ianya bukan satu masalah yang besar berbanding dengan harga gula dan minyak. Sebab itulah ramai rakyat yang memberi respons yang negatif seolah-olah mahu mengejek-ejek PM.

Malahan meminta rakyat berterima kasih kerana harga kangkung turun menambahkan lagi sakit hati rakyat yang telah tersedia tertekan dengan kenaikan harga barang. Rakyat berpendapat PM tidak langsung ada perasaan belas kesian terhadap kesusahan mereka yang merayu supaya harga minyak, gula dan tarif letrik diturunkan.

Saya fikir suara hati rakyat sebagai respons kepada kenyataan PM, kurang lebih begini:

"Kangkung boleh dapat tepi longkang. Harga tak turun pun tak apa. Kami nak gula , minyak , letrik dan makanan lain turun harga".

Dengan demikian respons rakyat yang berbagai-bagai bentuk itu, sama ada mengejek PM dan sebagainya, tidak perlu diberi perhatian. Yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana untuk meringankan kos sara hidup yang meningkat. Kesianlah kehidupan orang yang berpendapatan rendah dan orang susah. Mereka tiada sumber pendapatan tambahan tidak seperti ahli parlimen , timbalan menteri, menteri dan PM. 

Bergerak saja tuan-tuan semua, ada wang yang sedia menunggu, ada makanan yang dihidangkan (tuan hanya makan tapi tidak bayar), sekatan tol lebuhraya, ada pihak yang membayar,  minyak dan membaikki kereta ada yang tukang bayar; tuan ada berbagai ealun -elaun pengerusi dan pengarah syarikat dan elaun itu dan ini; ada elaun pakaian, tidak termasuk pakaian yang diberi percuma (dibayar oleh wang rakyat) bagi sesuatu majlis rasmi. Pendek kata tuan-tuan tiada batasan untuk mendapat pendapatan tambahan. Tidak termasuk kemampuan tuan bermain saham, biasanya selalu 'strike', kerana tuan-tuan terlalu tahu banyak maklumat; diskaun harga juga selalu menyebelahi tuan-tuan, tidak termasuk hantaran hampers dan hadiah.

Jadi mana mungkin mahu dibandingkan dengan orang kampong dan orang berpendapatan rendah. Sebab itu PM tidak terbayang akan rasa susah orang berpendapatan rendah sehingga yang beliau boleh nampak dan mahu sebut ialah harga kangkung yang turun.

Kalau ahli parlimen itu merasakan respons orang terhadap kenyataan PM tentang harga kangkung turun itu sebagai mengejek PM, apakah kenyataan PM itu tidak menyakitakan hati rakyat marhaen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan