Theflowersellingboy

Isnin, 6 Januari 2014

Hantu: Ancaman Kepada Orang Melayu




Saya nampak sebahagian besar orang Malaysia , Melayu dan bukan Melayu merasakan diri terancam. Bagi orang Melayu banyak hal yang tidak selamat. Ekonomi tidak selamat. Politik tidak selamat. Bahasa tidak selamat. Agama Islam tidak selamat. Dan ada juga yang merasakan institusi raja tidak selamat.

Sama juga dipihak bukan Melayu. Bahasa ibunda mereka tidak selamat. Agama dan budaya pun tidak selamat. 

Apakah benar begitu? Atau dalam kata lain adakah secara realitinya ada unsur-unsur atau gerakan yang boleh memberi ancaman kepada kepentingan masing-masing pihak, Melayu dan bukan Melayu. Atau adakah ianya satu persepsi saja atau prasangka yang lahir akibat dari berbagai sebab misalnya dipengaruhi oleh pihak-pihak yang ada kepentingan sehingga minda dan emosi rakyat Malaysia mudah saja diheret.

Persoalan ini tidak mudah dijawab. Ianya terlalu sensitif. Ianya juga melibatkan emosi. Dan peruntukan undang-undang juga menghadkan kemampuan kita untuk memberi jawapan yang adil dan saksama.

Namun bagi saya ancaman yang dihadapi adalah real.  Dan ianya juga satu persepsi yang ada dalam fikiran rakyat Malaysia yang berprasangka berdasarkan perkembangan-perkembangan yang dilihat sebagai yang boleh mengancam.

Dari segi orang Melayu, sebahagian besarnya cenderung melihat ancaman dari luar. Hanya unsur luar saja yang menyebabkan kehidupan orang Melayu dari segi ekonomi, politik, bahasa, agama dan institusi raja menjadi terancam atau sedang menghadapi ancaman.

Saya tidak menafikan bahawa ada kebenaran kekhuatiran orang Melayu itu. Tapi malangnya orang Melayu gagal untuk melihat ancaman yang datang dan berasal dari dalam diri sendiri, yang ada pada diri orang Melayu dan masyarakat Melayu itu sendiri. Saya kira ancaman dari dalam adalah lebih kritikal.

Ancaman,  sama ada dari luar atau dalam  adalah sesuatu yang natural. Selagi manusia itu mahu hidup, ancaman tetap ada.

Cuma kita kena mentafsir dan menguruskan ancaman atau apa yang disangka sebagai ancaman itu secara yang terbaik. Ancaman boleh dijadikan cabaran dan motivasi kepada kita untuk bergerak ke depan, untuk hidup lebih berjaya.

Apakah ancaman dalaman orang Melayu? Saya lebih menumpukan kepada persoalan ini, iaitu ancaman dalaman orang Melayu.

Lima perkara yang terlalu dekat dan menyentuh perasaan orang Melayu iaitu:

i) Hak keistimewaan
ii) Ekonomi
iii) Bahasa dan pendidikan
iv) Agama Islam
v) Institusi raja

Kelima-lima hal diatas saling berkaitan dan pengaruh mempengaruhi.

Perlembagaan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu , dan menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.

Namun perkembangan semenjak merdeka sehingga kini belum lagi berjaya untuk menjadikan Melayu sebagai satu bangsa yang bermaruah, mempunyai kedudukan ekonomi yang baik, tahap pendidkan yang baik, mempunyai jati diri, integriti, yang beramanah, dan mampu bersaing dengan warga bukan Melayu. 

Kenapa jadi begini?

Kita banyak mencari sebab dari luar dan bukan dari dalam diri kita sendiri atau dalam masyarakat kita sendiri tentang mengapa terjadinya kedudukan kita sebegini.

Minda orang Melayu sentiasa terkurung dan dikurungkan sehingga membentuk satu pemikiran yang terlalu taksub kepada satu pihak. Satu antara sebabnya ialah sebahagian besar orang Melayu tidak mempunyai pengetahuan dan pendidikan pada tahap yang baik. Begitu juga dengan tahap capaian maklumat  dari sumber yang berbagai. 

Orang Melayu lebih cenderung untuk berada pada kedudukan status quo walaupun satus quo itu tidak menguntungkan mereka. Susah bagi mereka untuk berubah walaupun perubahan itu memberi kebaikan kepada mereka.

Emosi orang Melayu mudah saja disemarakkan, tapi malang sekali ke arah yang tidak menjadikan  orang Melayu  satu bangsa yang mampu bertindak dan berfikiran rasional dalam saingan dengan warga bukan Melayu/bukan Islam. Berhujah dan berfakta bukan budaya orang Melayu, jauh sekali. Malah kita gunakan kedudukan istimewa sebagai pendinding apabila kita tidak ada kekuatan untuk berhujah bagi menyaingi hujah pihak lain. 

Begitu juga dengan syiar Islam.  Islamnya Melayu bukan kerana ilmu dan amalnya. Islamnya Melayu kerana telah ditentukan dalam Perlembagaan bahawa orang Melayu itu adalah juga orang yang beragama Islam. Maka dengan itu ianya tidak membantu orang Melayu bagi meningkat ilmu dan amalan Islam kerana apa pun  tahap penguasaan ilmu dan amalan Islamnya, jika pun ada, tidak akan mengurangkan emosi orang Melayu untuk mengaku sebagai orang Islam, dan bertindak kononnya mempertahankan nama baik Islam. 

Pencapaian ekonomi semenjak merdeka sehingga kini tidak juga ditahap yang boleh dibanggakan. Terjadinya sedemikian adalah disebabkan sifat ketaksuban yang menyebelahi kepentingan satu pihak/kelompok kecil dan bukan kepentingan ekonomi orang Melayu secara keseluruhan. Maka lahirlah beberapa kerat jutawan segera yang kebangkitan/kejayaan  ekonominya adalah dari sajian dulang emas tanpa mempunyai kekuatan dan teruji dalam bidang yang diceburi.  Maka orang ini tidak mampu untuk tahan bersaing dalam keadaan dunia yang mencabar, terbuka  dan tidak menentu. 

Ianya bertambah buruk apabila kelompok yang diberi tumpuan itu adalah sebahagian kecil mereka yang mempunyai kaitan politik dan mempunyai capaian mudah dengan kepimpinan kerajaan.

Pendekatan yang sama juga digunapakai bagi  Melayu selain dari kelompok kecil itu. Mereka yang dalam kelompok  politik yang sama dengan politik kepimpinan kerajaan mendapat tumpuan yang lebih berbanding Melayu yang lain, disaji dalam dulang perak. Kesannya serupa, mereka tidak mampu bersaing. Rebah akhirnya.

Dari segi bahasa dan pendidikan, tidak juga melahirkan Melayu yang cemerlang. Mengapa? 

Jawabnya ialah kita tidak ada keyakinan pada diri sendiri, pada bahasa sendiri. Ianya amat malang kerana kepimpinan yang beria-ia melaungkan bagi memertabatkan bahasa Melayu, bertindak tidak seperti yang dilaungkan. Lihatlah keutamaan mereka dalam memilih sekolah dan tempat bagi anak-anak mereka untuk belajar. Mereka memilih luar negara dan sudah tentu atas keyakinan bahawa anak-anak mereka akan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Tidak menjadi satu kesalahan untuk mereka memberikan pendidikan yang mereka rasa terbaik untuk anak-anak. Ianya menjadi salah dan tidak amanah apabila mereka berpura-pura menyatakan bahawa pendidikan dalam negeri adalah juga yang terbaik. Kalau yang terbaik mengapa perlu hantar anak keluar negeri. Sebab itu saya katakan mereka berpura-pura.

Jadi ancaman kepada orang Melayu perlu dilihat dalam bentuk ancaman dari dalam. Saya tidak menafikan adanya ancaman dari luar. Tetapi lihat sendiri dengan berlapang dada dan berfikiran tenang tanpa taksub kepada mana-mana kepentingan kelompok bahawa adalah tidak masuk akal setelah merdeka lebih 56 tahun sebahagian besar orang Melayu masih pada kedudukan lebih rendah dalam segala aspek kehidupan berbanding dengan orang bukan Melayu, sedangkan kita menguasai  segala-galanya.

Pemimpin, penjawat awam dan peruntukan undang-undang semuanya lebih menyebelahi orang Melayu berbanding dengan bukan Melayu. Tapi kita masih lagi pada tahap dibawah bukan Melayu. Dan kita gagal melihat apa yang tidak kena pada diri kita, bermula dari pimpinan yang mempunyai kuasa membawa kepada orang Melayu keseluruhannya. Kita suka dan cenderung melihat kegagalan kita disebabkan kejayaan orang bukan sebangsa dengan kita. Maka mengeluhlah kita dengan kata-kata yang penuh emosi bahawa 'kita hidup merempat dinegara sendiri'. Dan seterusnya kita didendangkan dengan lagu 'Anak Kecil Bermain Api' , dengan penuh khayalan, cuba meletakkan kesalahan keatas bahu pihak lain.

Sebenarnya kita dan dikalangan kita terlalu takut kepada hantu luar. Kita sentiasa takut dan ditakut-takutkan dengan hantu-hantu luar ini sedangkan hantu sebenarnya adalah diri kita dan dikalangan orang Melayu sendiri. Hantu yang paling kejam ialah dikalangan pimpinan yang kita beri amanah. Itulah ancaman yang paling besar kepada orang Melayu.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan