Theflowersellingboy

Isnin, 2 Januari 2017

PM BERCUTI BERSAMA KELURAGA DILUAR NEGERI: Mengapa Kita Marah Sedangkan Kita Yang Meluluskannya.




PM dan keluarga bercuti di Australia menjadi viral. 

Yang anti PM sudah tentu marah berkepul-kepul. Tambah-tambah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang sentiasa naik yang menghimpit rakyat, PM dan keluarga, berenjoyan pula bercuti ke Australia dengan pembiayaan wang rakyat, kata mereka.

"Kita sambut tahun baru dengan kenaikan harga minyak, dia orang pula enjoy-mengenjoy, main golf  bagai", ayat seperti ini tidak mudah diketepikan.


Mereka pantas menuding jari pada PM. Sayang sekali mereka tidak pernah mahu berfikir dan mencari punca mengapa PM melakukannya. 

Ini bukan kali pertama PM bercuti ke luar negeri bersama keluarga. Dan ini juga bukan kali pertama seorang PM Malaysia yang bercuti di luar negeri dengan pembiayaan kerajaan. Semua yang pernah jadi PM Malaysia melakukannya.

Jadi mengapa PM Najib sahaja yang mendapat kritikan?

Jangan salah baca pendirian saya. 

Ketua kerajaan sama ada diperingkat Persekutuan (PM) dan di peringkat Negeri (MB/KM), setiap tahun melakukannya, biasanya pada hujung tahun, dari dulu lagi. Ini bukan perkara baru. Dan ianya selaras dengan peruntukan dalam peraturan dan undang-undang yang diluluskan sama ada Persekutuan dan Negeri.

Oleh itu jangan begitu pantas menuding jari. Cari punca, sebab musabab mengapa ianya berlaku. 

Kita juga berkongsi sama yang menyebabkan perkara ini berlaku. 

Saya sedar bahawa kenyataan diatas itu  tidak disokong dengan satu kajian. Ianya merupakan pendapat saya berdasarkan apa yang saya tahu dan pengalaman kerja dalam perkhidmatan awam.

Secara amnya berani saya nyatakan bahawa kerjaya yang sepatutnya seseorang itu ceburi ialah menjadi ahli politik, jika kuasa, pengaruh serta gaji dan berbagai lagi sumber pendapatan serta keistimewaan menjadi sasaran. 

Sudah tentu orang politik akan segera menafikannya.Mereka bersungguh-sungguh mengatakan bahawa mereka masuk politik demi memberikan khidmat terbaik kepada negara dan rakyat.

Saya tidak nafikan asas perjuangan politik yang dinyatakan itu, iaitu demi rakyat dan negara. Cuma banyak yang tersasar.

Dalam sebuah negara demokrasi, kerjaya politik adalah batu loncatan yang terbaik bagi mendapat kuasa dan menggunakan kuasa.

Puncak kuasa ialah berjaya mengetuai sebuah kerajaan.

Banyak yang marah PM atas lawatannya itu. Soalnya siapakah yang meletakkan DS Najib dan orang politik berkuasa? Sudah tentu  kita melalui pilihanraya.

Ertinya kita sebagai pengundi tidak bijak menggunakan kuasa. Undi itu semacam tidak ada nilai dan harga, boleh saja dilupuskan dengan janji-janji manis orang politik yang inginkan kuasa, iaitu mendapatkan undi kita.

Apa makna melupuskan kuasa? 

Melupuskan kuasa ertinya memberi secara mutlak kuasa kita itu dalam bentuk undi kepada orang/parti politik. 

Maknanya setelah kita mengundi mereka, iaitu memberi kuasa, kita tidak boleh memintanya semula. Kuasa kita menjadi 'kosong'. Kena tunggu tempoh tertentu misalnya 4/5 tahun atau keadaan tertentu apabila berlaku kekosongan disebabkan misalnya kematian dan sebagainya.

Jika kita faham, dan menghargai undi kita itu, sudah tentu kita perlukan balasan yang memberi faedah kepada kita, rakyat dan negara dari orang/parti politik itu. 

Ya, semua orang/parti politik segera bersetuju dan mengangguk apa yang kita mahu sebagai balasan kepada undi yang diberi. Bahkan dalam banyak keadaan mendahulukan balasan seperti sepasang kain pelikat, wang bantuan anak sekolah dan sebagainya. Ini perkara biasa.

Satu analogi. Kita menjadi seorang pembeli ikan. Kita mesti ada ilmu tentang ikan yang hendak dibeli.   Wang ditangan kita. Ikan, penjual yang punya. Penjual pula mengatakan ikannya adalah yang terbaik. Itu iklan penjual.

Sudah tentu dengan nilai wang yang ada, kita mahukan ikan yang berkualiti, misalnya ensang yang masih merah, tidak bonyok dan sebagainya, sebelum kita bersetuju melepaskan wang kita itu kepada penjual.

Sama juga dalam hal berkaitan dengan memberi undi. Kita mesti ada ilmu dan pengetahuan tentang orang dan parti yang hendak kita beri undi,

Ingat, kita mahu lupuskan undi atau kuasa kita. Tidak semudah itu kita akan melupuskannya kepada mereka yang tidak memberi faedah kepada kita.

Jadi bagaimana untuk menentukan kepada siapa undi itu diberi?

Kita mesti ada ilmu tentang sebuah kerajaan iaitu dari proses pilihanraya sehingga kepada proses pengkerajaan dan perjalanan kerajaan.

Paling mudah ialah ilmu atau pengetahuan tentang kerajaan yang ada. 

Macam-macam yang boleh memberi petunjuk kepada kita sama ada terus mahu memberi kuasa atau berpindah kepada parti yang lain.

Jadikan kerajaan yang berkuasa sebagai ukuran atau rujukan kita untuk membandingkan dengan parti yang mahukan kuasa. Apa yang mereka mahu lakukan jika  kita beri undi kepada mereka. Sudah tentu mereka juga akan mengatakan atau menjanjikan yang terbaik.

Dengan demikian kita mesti menilai diantara dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang, dengan merujuk kepada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan yang kita telah beri kuasa dulu, dan bukan berperasangka tentang kemampuan pembangkang. 

Dengan cara begini, kita boleh menilai harga (undi) kita dulu berbanding dengan balasan yang diberikan kepada kita. Jika tidak setimpal bahkan merugikan mengapa tidak kita berpaling kepada pembangkang. 

Dan jika pembangkang itu menjadi kerajaan kita lakukan penilaian dengan cara yang sama. Jika pembangkang yang menjadi kerajaan itu juga tidak memberi faedah kepada kita, berikan undi kepada pihak lain (pembangkang).

Dengan cara begini mereka, orang dan parti politik akan berlumba-lumba untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat  dan negara. Mereka tidak boleh lagi meremehkan undi dan kuasa kita, sebagai rakyat yang merupakan majikan mereka.

Kesimpulannya, jangan emosi dan marah sdangat kepada PM DS Najib atas percutian keluarga di luar negeri dengan menggunakan wang rakyat.  

Kita telah meluluskannya!






  



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan