Theflowersellingboy

Selasa, 10 Januari 2017

PERISTIHARAN TAHUN/HARI RASUAH: Mulakan dengan Tahun 2017




Saya sedar bahawa rasuah berlaku tanpa ikut tahun. 

Namun begitu seperti peristiharan bagi peristiwa atau hal atau perkara lain seperti Hari Kesihatan Sedunia atau Tahun Melawat Malaysia, saya berkecenderungan untuk mencadangkan peristiharan hari atau Tahun Rasuah. 

Tahun 2017, saya nilai sebagai tahun yang sesuai diistiharkan sebagai TAHUN RASUAH.

Jangan cepat mencemik muka atau melontarkan kata-kata saya orang gila. Sabar, teruslah membaca.

Perbuatan rasuah dan angka sesuatu tahun itu langsung tiada kena mengena. Bila-bila saja rasuah boleh berlaku apabila tiga fenomina dibawah ini wujud.

Pertama, ada yang mahu beri sama ada dia nya yang mula buka cerita dan membuat tawaran atau pihak lain yang meminta sebagai syarat memudahkan urusan walaupun dalam hati sipemberi merasa geram dan marah tidak berkesudahan.

Kedua, ada yang sudi menerima sama ada ditawarkan atau dia yang mula buka cerita dan meminta-minta sebagai syarat urusan dipermudah dan disegerakan, mengikut peraturan atau melanggar peraturan dan undang-undang.

Ketiga, ada timbal balik (reciprocity). Kau dapat, akupun dapat....kau tolong aku, aku tolong kau. You scratch my back , I scratch your back. Kau garu belakang aku, aku garu belakang kau...sama-sama rasa enak dan lega!

Itu adalah 3 syarat boleh berlakunya rasuah.

Namun begitu, masih lagi belum cukup untuk rasuah itu dikenali. Mesti ada satu pihak  lain yang tidak ada kepentingan atau faedah dari perbuatan rasuah itu untuk menonjolkannya. 

Selain dari pelaku rasuah (pemberi dan penerima), pihak ketiga ini adalah yang paling penting dan kritikal dalam memaknakan rasuah itu.

Rasuah tidak ada makna jika tiada yang suka dan tiada yang benci. Mereka inilah yang memaknakan rasuah, membuat rasuah itu menjadi terkenal dan diketahui umum.

Dan yang paling penting sesuatu keputusan wajib dibuat tentang perlakuan rasuah itu sendiri.

Tanpa ada keputusan , rasuah itu tidak ada makna.Dan keputusan itu adalah keputusan yang ada makna, memberi faedah kepada yang membenci rasuah.

Namun begitu, keputusan itu tidak mampu bebas dari berbagai tafsiran. Dengan sebab itu, untuk satu keputusan yang bermakna, atas dasar menegakkan kebenaran, menzahirkan keadilan dan demi faedah pihak yang membenci rasuah, unsur salahguna kuasa wajib tidak terlibat dalam proses perasuahan ini.

Proses perasuahan itu bermaksud, ada pelaku (pemberi dan penerima), ada maklumat atau pengumpulan maklumat tentang perlakuan rasuah itu, penyiasatan, pendakwaan, pembelaan untuk pelaku dan keputusan dalam satu perbicaraan terbuka.

Jika ada tangan-tangan ghaib yang berkuasa dalam mencampuri dan menentukan sesuatu keputusan di mana pun peringkat proses perasuahan, rasuah itu tidak akan menzahirkan makna kebenaran dan keadilan serta faedah yang menjadi hak sipembenci rasuah.

SPRM adalah satu dari pihak ketiga yang penting dan kritikal untuk memberi makna kepada rasuah ini. 

Semenjak penghujung tahun lepas, dan baru-baru ini SPRM telah melakukan beberapa tangkapan khususnya keatas penjawat awam yang dipercayai terlibat dengan rasuah. 

Jumlah/nilai rasuah yang terlibat dalam berbagai bentuk aset: wang simpanan, rumah dan jongkong emas dilaporkan mencecah jutaan ringgit. Saya tidak pula menjumlahkannya. Mungkin boleh mencapai ke tahap billion. Amat luar biasa sekali.

Dilaporkan juga ase-aset itu telah dirampas, dan akaun bank telah juga dibekukan.

Tangkapan nampaknya berterusan. Satu tangkapan di Johor dan satu lagi geledahan di Pejabat Ketua Menteri Melaka.

Bukan saja SPRM yang menunjukkan kebenciannya terhadap perlakuan rasuah, PM juga nampaknya telah membuat teguran dan memberi nasihat kepada penjawat awam agar tidak mengambil aset kepunyaan rakyat.

"Don't take what belongs to rakyat", begitulah antara tajuk berita yang memaparkan nasihat dan teguran, sudah tentu juga bersifat amaran dari Perdana Menteri. 

Beliau amat benci dengan perlakuan rasuah oleh penjawat awam yang telah diberi amanah untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat dibawah kerajaan Barisan Nasional.  

Sungguh bertuah kita mempunyai Perdana Menteri yang benci rasuah. 

Jika diperingkat paling tinggi dalam struktur sebuah kerajaan dengan secara sedar menyatakan sikap yang benci rasuah terutamanya dikalangan penjawat awam yang menjadi harapan kerajaan dan rakyat, bukankah itu satu tindakan yang saya katakan memberi makna kepada RASUAH.

Saya perlu jelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'memberi makna kepada Rasuah agar tiada yang salah tafsir dan keliru.  

Di para-para yang mendahului, saya menyatakan bahawa 'rasuah itu mestilah menzahirkan makna kebenaran, keadilan serta faedah yang menjadi hak kepada pembenci rasuah'.

Saya mahu tanya: Bagaimana seseorang itu berada dipuncak kuasa?

Sudah tentu orang itu mendapat kepercayaan rakyat.

Jika ada jawapan yang lain, saya tidak mahu berkongsi dan bersubahat.

Baik. Saya mahu menyentuh tentang saranan saya tentang peristiharan Tahun Rasuah.

Peristiharan secara rengkasnya membawa makna pengakuan ramai bahawa sesuatu hal itu penting dan utama yang perlu dirai, dihargai dan diingati/dikenang.

Adakah kita tidak mahu mengingati tentang rasuah?

Ok. Teruslah berfikir mencari jawapan. 

Bagi saya tahun rasuah wajib diistiharkan.

Kalau ada orang yang tidak mahu mengingati atau merai tentang rasuah, orang itu sama sahaja dengan orang yang menolak tentang kematian. Atau takut mati, sebab itu tidak mahu mengingati mati.

Bahawa kematian itu pasti. 

Bahawa rasuah itu juga pasti merugikan/merosakkan.

Rasuah itu mempunyai makna dan kesan yang besar kepada kesejahteraan rakyat, keamanan dan kemakmuran negara. Ianya mesti sentiasa ada dihati, dirai kehadirannya, untuk dingatkan dalam hati oleh setiap dari kita, terutama kita yang telah menerima amanah bagi sesuatu tugasan dan tanggungjawab.

Pernahkah anda mengikuti khutbah setiap hari Jumaat?

Dalam khutbah pertama Jumaat, jika anda tidak nyenyak tidur atau mengelamun di awangan, antara ayat atau perkataan yang awal yang sentiasa terkeluar dari mulut khatib ialah 'Saya ingin berpesan kepada diri saya dan para hadirin sekalian...."

Apa makna ayat itu kepada anda?

Ayat itu membawa maksud bahawa kita perlu mengingatkan diri kita sendiri terlebih dahulu, dan kemudian mengajak orang lain mengingat  perkara yang sama. Berhentikan dari menuding jari.

Macam mana kita mahu beri makna kepada rasuah jika kita sendiri tidak mengingati rasuah itu.  Atau kita minta orang lain sahaja yang mengingati rasuah itu.

Sebab itulah antara cara yang saya rasa boleh mengingatkan kita tentang rasuah ialah dengan mengistiharkan tahun rasuah. Paling ideal dengan mengistiharkan Hari Rasuah pada tarikh yang dipilih pada setiap tahun. 

Seperti mati yang pasti, rasuah pasti ada. Mengapa kita mahu menyoroknya atau menafikan keberadaannya.

Hanya kita perlukan sikap benci rasuah dalam sifat keberadaannya. Benci bermakna setiap dari kita saling menyedari keberadaan rasuah itu. Kita saling memantau diri sendiri dan mengajak orang/pihak lain melakukan perkara yang sama, macam si pembaca khutbah Jumaat tadi. 

Korbankan perangai tuding jari, di kedudukan mana pun kita berada, siapa pun kita. Kita termasuk saya, dia dan mereka mesti ada sikap benci rasuah. Benci bermakna kita sentiasa ingat, tersemat dalam lubuk hati, dalam otak kepala bahawa rasuah itu sentiasa ada. Caranya istiharkan hari atau tahun rasuah.

Mengapa pula saya tidak mencadangkan Hari/Tahun Membanteras Rasuah?

Apa maksud membanteras rasuah? Menghapuskan rasuah?

Menghapus rasuah tidak mungkin dapat dilakukan dengan cara pembanterasan tanpa mengakui sifat keberadaan rasuah itu sendiri. Sebab, selepas percaya kerja pembanterasan itu dapat dilakukan, kita sudah jadi selesa, akhirnya tidak mahu mengingati tentang sifat keberadaan rasuah itu. Lalu tindakan pembanterasan menjadi longgar, lemah dan layu.

Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan