Theflowersellingboy

Sabtu, 7 Januari 2017

Dari Jelingan Mata Saya




Anda suka menjeling? Saya tidak bermaksud anda melakukan kerana anda bermata juling.  Tapi jika anda bermata juling, ada kemungkinan orang mengatakan anda suka menjeling, yang mana sebenarya anda tidak menjeling.

Jeling adalah kata buat, melakukan perbuatan melihat dari sudut mata, dengan menggunakan hujung mata sama ada mata kiri atau mata kanan untuk melihat sesuatu imej/objek tanpa memaling muka ke arah objek/imej itu.

Manakala juling adalah kata sifat yang menerangkan keadaan atau sifat mata itu. Mereka yang bermata juling akan  kelihatan seperti menjeling walaupun tidak ada objek/imej disebelah kiri atau kanan untuk dilihatnya.
 
Sudut mata kanan (Bahagian tepi mata sebelah kanan) akan digunakan bagi memandang sesuatu imej/objek di sebelah kanan tanpa mengubah muka ke arah objek/imej itu. Begitulah bagi memandang objek/imej disebelah kiri, dimana hujung mata sebelah kiri digunakan.

Pandangan secara jelingan telah diterima sebagai satu pandangan yang ada unsur romantis atau pun ditafsir sebagai romantis.  

Jelingan itu, ada mesej yang hendak disampaikan, tapi berasa malu.

Tapi bukan ini isi bicara utama saya.  Tapi ianya ada kaitan. Terpulang kepada anda untuk mengaitkannya.

Isi bicara saya adalah serious, iaitu tentang  rasuah. 

Rupanya azam dan kesungguhan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah yang baru (saya kira belum lagi sampai setahun mengambilalih jawatan) seperti yang telah disuarakan dalam satu ucapan, bukanlah cakap-cakap kosong. Beliau cakap serupa bikin. Kata orang putih 'walk the talk'.

Semenjak mengeluarkan amaran dalam ucapan itu bahawa beliau adalah serious dalam 'business' ini, dengan mempelawa sesiapa yang merasakan ada terlibat dalam perlakuan rasuah, hendaklah segera menyerah, agar hukuman yang rengan boleh difikirkan. Jika tidak, tiada maaf bagimu.

Sekarang, memang telah dibuktikan 'tiada maaf bagimu itu. 

Banyak tangkapan rasuah telah berlaku. Di Melaka, Kelantan dan Sabah. Baru-baru ini melibatkan seorang KSU sebuah kementerian. Jumlah yang terlibat berjuta-juta ringgit. Bukan satu juta. 

Ini bukan kes ikan bilis. 

Tapi masih ada lagi pihak yang berterusan mengeluarkan kata-kata sindiran, meremeh dan mengatakan tindakan itu masih belum cukup untuk membuktikan SPRM serious dalam membanteras rasuah.

Jerung masih bebas berenang, dakwa mereka. 
 
SPRM masih tidak bertindak dengan bebas, tapi ada mesin/alat kawalan jauh (remote control) yang menentukan 'on' atau 'off'nya sesuatu kes, mereka terus mendakwa.

Dalam masa yang sama, SPRM juga telah mengeluarkan semacam amaran agar penjawat awam tidak bermain golf terutamnya di luar negara. Golf dan perempuan simpanan adalah bahan penggalak untuk melakukan rasuah.

Sudah tentu amaran ini ditujukan kepada penjawat awam  pada kedudukan tinggi, mereka yang ada kedudukan dan pengaruh.
 
Kita tunggu adakah tangkapan dari jenis golf dan perempuan simpanan, akan dibuat oleh SPRM.

Namun begitu suara-suara menyindir SPRM masih lagi berterusan.  Ikan jerung, katanya masih bebas berenang.

Tapi saya nak tanya: Adakah tangkapan rasuah perlu dilakukan atas jenis ikan dan  saiz ukurannya? 

Kalau asasnya begitu saya tidak setuju. Ianya tidak adil dan salah.

Tangkapan mesti dibuat kerana bukti perlakuan rasuah itu sendiri tanpa mengambilkira ikan jerung atau pun ikan bilis.

Mengapa tangkap 'jerung yang bebas berenang' jika jerung itu tidak ambil rasuah. Mengapa lepaskan bilis yang ambil rasuah. Begitulah sebaliknya.

Selagi pengaruh dan kuasa terlibat dalam sesuatu pertimbangan/tindakan dengan menerima balasan untuk kepentingan diri, ianya bagi saya adalah rasuah.

Jika ada bukti jerung yang masih bebas itu melakukan rasuah, kemukakan kepada SPRM.

Dengan berbagai tindakan SPRM itu adakah  mereka masih  tidak yakin SPRM bebas bertindak?

Baik. SPRM juga perlu melihat diri sendiri selain menunjukkan beberapa tangkapan.

Antaranya pertukaran pegawai penyiasat ke Jabatan lain atau bahagian yang tidak berkaitan dengan siasatan yang sedang mereka lakukan. 

Mengapa Bahagian Operasi Khas (BOK) diperkecilkan, dan berlaku perpindahan pegawai? Adakah ianya tidak benar.

Tetapi apabila Pengarah BOK sendiri buat kenyataan bahawa beliau kecewa dan merasa berdosa kerana menurut siasatannya banyak wang yang lesap, tetapi kes tersebut tidak mampu dibawa ke mahkamah.

Berdosa adalah satu kedudukan yang serious. Ada sesiapa yang sanggup menanggung dosa bagi sesuatu perkara yang dilakukan oleh orang lain?

Sudah tentu beliau telah mengenal pasti siapa orang lain itu. Tapi beliau tiada daya.

Fasal apa tiada daya?

Beliau telah mengungkapkan satu peribahasa. Sesiapa pun boleh faham makna peribahasa yang diungkapkan itu. 

Beliau tidak mahu kerja dibawah 'undang-undang sarang labah-labah'.

Bagi saya ungkapan undang-undang sarang labah-labah itu bermaksud bahawa hanya nyamuk, lalat, kelekatu, semut dan serangga lain yang sama saiz yang mampu ditangkap. 

Badak sumbu dan yang lebih besar dari itu, boleh saja berlepas lalu, bebas dari tangkapan.

Dalam bahasa yang mudah, bilis saja yang kena tangkap. Jerung bebas berenang merentasi banyak lautan.

Saya cuma menjeling saja.  

Jelingan mata saya,  menceritakan bahawa jerung masih lagi bebas berenang.

Bagaimana pula dari jelingan mata anda?

Bagaimana pula dari jelingan mata SPRM?

Sanggupkah SPRM menjeling? 

Atau dengan melakukan banyak tangkapan dan persaraan pengarah BOK, ianya merupakan satu isyarat bahawa SPRM sedang menjeling. Dan siapakah yang dijelingnya itu?
 
Saya rasa jangan lama-lama jeling. Pandang terus, akan nampak jelas sama ada ianya bilis atau ikan jerung.
 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan