Theflowersellingboy

Selasa, 3 Januari 2017

Kepimpinan dan Defisit Integriti: Adakah Kepimpinan Kita Mengalami Integrity Deficit Disorder (IDD)?



Saya mulakan bicara bagi tajuk diatas dengan pertanyaan: Masihkah Kau percaya,

Aku bertanya padamu
pada kesekian kalinya
masihkah kau percaya
untuk aku menjadi ketuamu

Mengapa si Aku itu bertanya begitu? Seolah-olah keyakinan terhadapnya dipersoalkan.

Si Aku itu sudah tentu seorang ketua yang mempunyai pengikut atau penyokong. Dia nya seorang pemimpin.

Adakah dia mengalami defisit integriti atau Integrity Deficit Disorder (IDD)?

Mereka yang ada integriti, sentiasa berpegang kepada atau memiliki satu piawai professional  atau prinsip moral yang tinggi. Perlakuannya adalah sejajar dengan piawai professional dan prinsip moral yang dipegangnya.

Orang Melayu kata orang itu 'cakap serupa bikin'.

Lawan kepada integriti adalah kepura-puraan dan tidak menyatakan yang hak dan benar. Mereka itu tidak boleh dipercayai. Orang seperti itu mengalami defisit integriti. Sebagai seorang pemimpin adalah sukar baginya untuk mendapat sokongan yang ikhlas dari pengikut atau penyokongnya.

Orang Melayu kata orang itu, 'cakap tak serupa bikin'.

Mengaitkan dengan kepimpinan negara kita, adakah kepimpinan negara mengalami sindrom IDD?

Katakanlah kepimpinan bertanya kepada kita, yang mana ini tidak mungkin berlaku di Malaysia, 

"Dengan apa yang telah aku lakukan, masihkah kau percaya kepada ku untuk menjadi ketua mu?"

Untuk menjawab soalan itu, sudah tentu kita perlu mempunyai data dan maklumat yang betul tentang apa yang telah dilakukan oleh kepimpinan itu. 

Jika maklumat dan data itu menunjukkan banyak yang negatif dari positif, jawapan yang terbaik demi rakyat dan negara sudah tentu kita mempersilakan kepimpinan itu untuk berundur diri kerana negara tidak sewajarnya diterajui oleh kepimpinan yang integritinya sudah jadi defisit, yang tidak boleh dipercayai lagi.

Malang sekali soalan seperti diatas tidak akan keluar dari mulut mana-mana kepimpinan. Sebaliknya kepimpinan lebih mengwarwarkan kehebatan pimpinannya dengan mendakwa berbagai kejayaan yang telah dibawa yang memberi keuntungan dan faedah kepada rakyat dan negara. 

Rakyat akan sentiasa dingatkan bahawa mereka terhutang budi kepada kepimpinannya, yang banyak memberi faedah kepada rakyat dan negara. Lalu rakyat wajar membalas budi baik kepimpinannya dengan terus menyokong kepimpinannya.

Adakah sebenarnya begitu seperti yang didakwa oleh kepimpinan itu atau adakah kita mempunyai kepimpinan IDD?
 
Hal ini wajar difikirkan dengan tenang tanpa emosi demi kepentingan negara dan rakyat. Kita tidak mahu kepimpinan negara yang IDD.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan