Theflowersellingboy

Isnin, 9 Januari 2017

Aku Anak Guru Besar




Aku anak guru besar. Bapaku menjadi guru besar di sebuah sekolah luar bandar, disebuah kampong nun di hulu. Bapaku amat dihormati, disanjung dan dikasihi oleh penduduk di kampong itu. 
 
Aku tidak tahu mengapa bapaku dilayan seperti itu. Bagiku bapaku biasa-biasa saja. Kalau ada yang luar biasa, yang aku boleh kenal pasti ialah bapaku  suka menghisap curut. Setahu aku tidak ada sesiapa dalam kampong itu yang menghisap curut.
 
Bapaku menghisap curut dengan penuh bergaya. Aku tidak mampu untuk menerang atau menggambarkan 'hisap curut penuh bergaya' itu. Cuma aku sentiasa lihat bapaku mengheret nafas panjang semasa menghisap curutnya dan melepaskan asap berkepul-kepul dengan hembusan nafas yang panjang juga. Kelihatan bapaku semacam merasa puas dari aktiviti curutannya itu, terutama setiap kali selepas makan. Terlalu nikmat agaknya.
 
Aku tumpang nikmat juga. Bau asap cerut yang keluar berkepul itu, paling aku suka.....terlalu wangi buat hidungku. Oleh itu setiap kali , aku nampak bapaku dalam khayalan menghisap curutnya, aku akan segera mendekatinya.
 
Tapi bapaku tidak suka aku mendekatinya semasa beliau mencurut kerana katanya tidak baik dari segi kesihatanku. Bahaya, boleh kena kanser. 
 
Bapaku tidak mahu aku kena kanser. Dengan itu dia selalu berpesan agar aku jangan cuba merokok atau mencurut. Bahkan jangan mendekati mereka yang menghisap rokok kerana statistik kanser juga menunjukkan mereka yang tidak merokok juga mempunyai risiko menghidap penyakit itu.

Selain dilarang merokok, bapaku sentiasa mengingatkan aku jangan suka bercakap bohong. Katanya bercakap bohong itu adalah salah satu ciri orang munafik.  Bapaku mengingatkan aku agar jangan suka mengambil hak orang, jangan suka berjanji tetapi selalu mungkir. Itu tidak amanah namanya.
 
Jadi bagiku,  tiada apa yang istimewanya bapaku itu. Nasihat dan ingatan seperti diatas adalah satu perkara biasa yang dilakukan oleh setiap ibubapa terhadap anak-anaknya.
 
Yang aku tahu ada satu tabiat bapaku yang tidak aku setuju, tapi aku takut untuk menegurnya. Bapaku itutidak suka dia diganggu terutama waktu dia sedang berihat menikmati curutnya itu.
 
Pernah beberapa kali dia meminta aku agar memberitahu bahawa dia tiada di rumah atau sedang tidur jika ada orang atau tetamu yang mahu berjumpa dengannya. Dia tidak mahu diganggu.

Ada satu kes yang menyedehkan hatiku. Suatu hari Ahad, lebih kurang pukul 10 pagi ada seorang kampong mahu berjumpa dengan bapaku mahu minta tolong menghantar anaknya yang diserang sakit lelah (semput). 

Aku tidak tahu mengapa orang itu tidak menaikki bas atau kereta sewa yang ada sebuah dua di kampong itu untuk membawa ankany ke hospital. Mungkin semua kereta sewa telah ke bandar. Mungkin menunggu dia tidak sanggup menunggu bas 3 jam sekali itu.

Tapi aku memang biasa dengan orang kampong itu. Dia pernah menghantar buah-buahan ke rumahku. Sebab itu agaknya dia merasakan mungkin bapaku sedia menolongnya.

Bapaku dengan membaca surat khabar. Curutnya lekat dibibir. Asap keluar berkepol.

Apabila aku beritahu ada orang mahu berjumpa dengannya, dia meminta aku menyatakan dia sedang tidur dan kurang sihat.

Pada mulanya aku mahu beritahu bapaku orang itu mahu minta tolong membawa anaknya yang diserang lelah untuk ke hospital. Tapi aku lihat mata bapaku menjegil, sebagai isyarat ikut perintahnya, lalu aku pun beritahu kepada orang itu seperti yang diarah oleh bapa.

"Tak mengapalah. Terima kasih. Salam pakcik pada cikgu". Kata pakcik itu. Ianya menyesak nafasku.
 
Dalam tabiat bapaku seperti itu , orang kampong tetap menyanjunginya. Bahkan setiap musim buah-buahan seperti durian, manggis dan rambutan, rumahku terlalu mewah dengan buah-buahan itu. Dapat percuma, dihantar oleh penduduk kampong yang mempunyai pokok tanaman itu.

Pisang dari berbagai jenis, nangka, cempedak, sukun, mangga, kelapa muda dan yang tua, apatah lagi daun pisang untuk menjadi pembungkus kuih, tidak pernah kami beli. Kesemuanya itu diberi percuma. Bukan bapaku yang minta, orang kampong yang beriya-iya memberi kepada kami.

Ada juga kadang-kadang bapaku menyeluk poket cuba mahu membayar, tapi ditolak dengan penuh hormat oleh orang kampong. Ikhlas dari kami, kata mereka.Kami senyum suka.

Aku adalah murid tahun 6 di sekolah bapaku itu. Aku adalah ketua murid bagi sekolah itu.

Aku menjadi ketua murid bukan atas arahan bapaku. Murid-murid yang memilih aku. Mungkin aku lebih pandai dari mereka, berpakaian kemas dan tidak pernah mendapat selain number satu dalam setiap kali peperiksaan.

Kawan-kawan satu kelas amat menyukaiku. Murid-murid yang lain juga aku lihat sangat menyukaiku. Mungkin mereka melihat aku tidak sombong walaupun anak guru besar. Lagipun aku selalu mengajar kawan-kawan bagi mengatasi  kelemahan mereka dalam pelajaran terutama dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.
 
Selalu juga aku belanja makan dan memberi sedikit wang kepada murid yang aku lihat sangat miskin.
 
Pendek kata aku adalah murid yang paling baik dan suka menolong murid yang lemah dalam pelajaran. Suka menolong murid dari keluarga miskin.
 
Pada suatu hari, atas inisiatif bapaku sebagai guru besar, diadakan satu perhimpunan bakal mengucapkan selamat berjaya kepada murid-murid tahun 6 yang bakal memasuki sekolah menengah. Perhimpunan itu di sertai juga semua guru dan ibubapa pelajar.
 
Bapaku berucap memberi semangat kepada pelajar dan ibubapa agar tidak mensia-siakan peluang belajar di peringkat menengah. Ucapannya mendapat tepukan gemuruh dari murid-murid dan ibubapa.
 
Tetapi apabila bapaku mengatakan agar ibubapa menjadi teladan kepada anak-anak terutama dari segi berjimat belanja dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi , bagi menentukan belanja persekolahan anak tidak terjejas, kepala aku mula pening. 
 
Kata bapaku lagi antara cara jimat belanja ialah tidak merokok, dan jika ada yang sekarang merokok, hentikan segera. 
 
Kata bapa saya, "Saya tahu tuan-tuan bukan orang senang. Oleh itu jangan membazir dengan tabiat suka merokok. Harga rokok sekarang mahal. Tiada faedah kita merokok. Rokok boleh mengakibatkan kanser".
 
Pening kepalaku semakin kuat.
 
"Anak-anak pula mesti belajar kuat. Jadi orang baik. Suka tolong menolong. Menolong bagi orang yang memohon pertolongan. Besar pahalanya".
 
Aku mencelikkan mataku. Rupanya aku sedang terbaring diatas katil. Bapaku, emakku dan beberapa orang kampong dan kawan-kawanku berada disisi katilku.
 
"Kau pingsan", Emak ku beritahu.
 
Aku muka ingat fasal apa aku jadi pengsan. Bapaku cakap tak serupa bikin. Aku mula pening bila mengingat perkara itu. Aku tutup mataku. Ada air mata mengalir.
 
Aku anak guru besar. Guru besar yang cakap tak serupa bikin,



 
 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan