Theflowersellingboy

Rabu, 25 Januari 2017

PENJAWAT AWAM RASUAH dan TIDAK AMANAH: Ikan Busuk DiKepala DiKongsi Sama?




Penjawat awam ambil rasuah? Penjawat awam tidak amanah dalam menjalankan tugas?

Kedua-dua soalan itu memberikan jawapan (i) ya atau (ii) tidak. 

(i) Bahawa memang benar penjawat awam itu ambil rasuah dan tidak amanah.    

(ii) Bahawa tidak benar penjawat awam itu ambil rasuah dan tidak amanah.

Tapi ada jawapan yang ketiga, (iii) tidak semua penjawat awam ambil rasuah dan tidak semua yang tidak amanah.

Nampaknya jawapan yang ketiga ini lebih adil dan ianya satu gambaran yang sebenar. Sebab jika semua penjawat awam rasuah, sudah lama negara kita lingkup. Jika pula penjawat awam semuanya suci bersih dari rasuah maka tiadalah tangkapan dibuat oleh SPRM.

Cuma tangkapan yang dibuat oleh SPRM khususnya yang diambil kebelakang ini mengesahkan bahawa hanya penjawat awam yang melakukan rasuah.  

Pihak lain adalah suci murni!

Maka terbentuklah dalam fikiran ramai orang bahawa yang melakukan rasuah dan tidak amanah dalam menjalankan tugas ialah penjawat awam. 

Kepercayaan ini semakin diperkuatkan apabila PM sendiri dalam satu ucapan dihari perhimpunan Jabatan mengingatkan penjawat awam agar jangan mengambil harta rakyat. Ertinya jangan ambil rasuah dan bekerja dengan amanah.

'Seekor kerbau bawa lumpur, habis semuanya terpalit'. Beberapa kerat dari jumlah 1.4 juta penjawat awam yang mengambil rasuah, keseluruhan nama baik penjawat awam musnah tercemar.

KSN sebagai ketua penjawat awam mestilah bukan sahaja merasa malu bahkan mesti mempertahankan nama baik kedudukan penjawat awam ini. Saya percaya beliau telah melakukannya.

Pendirian tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang tidak amanah mestilah bukan sahaja dinyatakan bahkan ditunjukkan dengan tindakan yang setimpal keatas mereka yang mengambil rasuah. Dan dengan kesungguhan yang sama beliau mesti menyatakan dengan berani bahawa penjawat awam telah dan sentiasa menjalankan tugas dengan penuh amanah.

Tanpa khidmat penjawat awam, negara tidak akan mampu berkembang dan maju pada tahap yang boleh dibanggakan. Bahawa kita adalah harapan negara dan rakyat. Kita sebenarnya duduk dibarisan hadapan untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Kita sebenarnya yang membuat kerja , membanting tulang dan mencerna fikiran.

Tangkapan yang dilakukan oleh SPRM itu wajar dipuji. 

Apatah lagi tangkapan itu telah menafikan sangkaan buruk orang ramai terhadap SPRM yang didakwa sebagai hanya berminat membuat tangkapan keatas pelaku rasuah peringkat rendah yang kecil-kecilan nilai aset dan wang yang terlibat.

Sekarang tangkapan bukan keatas budak pejabat, kerani, anggota polis berpangkat rendah,  pegawai peringkat bawah tapi sudah sampai ke peringkat ketua organisasi yang melibatkan nilai wang dan aset berjuta ringgit.

Bagi saya ianya sungguh memalukan. 

Bolehkah rakyat  bergantung harap kepada ketua organisasi yang terlibat rasuah? 

Apabila kepala ikan telah busuk, seluruh anggota yang lain akan membusuk juga. 

Apabila seorang ketua telah berlaku curang maka seluruh anggota organisasi akan mendapat contoh yang tidak baik.  

Dan laku buruk ini sudah dianggap dan diterima sebagai tidak salah diikut sama, ianya satu perkara biasa. Maka berkembang segarlah budaya 'tahu sama tahu', tiada siapa yang ambil kisah dan peduli jika ada yang meneladani/meniru laku buruk ketua organisasi. 

'Lagi pun harga barang mahal sekarang ini', justifikasi menghalalkan perbuatan rasuah itu.

'Kalau bos boleh ambil rasuah dan nilainya terlalu besar, salahkah aku mengambil seringgit atau seratus dua untuk menampong sara hidup yang melambung tinggi'.

Ayat-ayat seperti diatas semakin merebak aplikasinya dikalangan anggota organisasi sebagai alasan kukuh untuk berlaku tidak amanah dalam organisasi yang berketuakan 'ikan busuk di kepala'.
 
Mengapa rasuah sedangkan perkhidmatan mereka dibayar oleh rakyat? 

Banyak jawapan yang boleh diberi. 

Tapi sebab utamanya ialah KUASA. 

Kuasa boleh menjana pengaruh. Kuasa boleh menjana/ mendapatkan taat setia membabi buta, lalu mengunci mulut menyimpan rahsia, dan membiarkan sahaja kedurjanaan bermaharalela, dan menyokong dan mempertahankan kedurjanaan. Kuasa boleh menjana pendapatan. Kuasa boleh meningkatkan kedudukan sosial.

Orang mengatakan wang adalah segala-galanya. Bagi saya KUASA adalah segala-galanya. Orang jahat jika ada KUASA , bila-bila sahaja diangap baik, dihormati, dipuji bahkan ditaati.

Sebab itulah rasuah hanya boleh dilakukan oleh orang yang ada KUASA.

Lagi besar kuasa, lagi besar rasuah yang diambil.

Oleh itu, saya sentiasa menentang jika ada pihak yang hanya mengatakan atau yang menghebuhkan tangkapan rasuah keatas penjawat awam, seolah-olah penjawat awam sahaja yang ada kuasa.

Mereka yang mempunyai KUASA ialah orang POLITIK khususnya orang politik yang ada jawatan dalam kerajaan. 

Pegawai kerajaan atau penjawat awam dalam banyak keadaan, dan tidak dalam semua keadaan,  terpaksa menurut sahaja arahan dan permintaan orang politik walaupun ianya melanggar peraturan dan undang-undang.

'Who is the boss', ini ayat biasa yang sentiasa didengar terutamanya dikalangan pegawai pertengahan dan tinggi kerajaan yang ada kuasa membuat sesuatu keputusan.

'I am sorry sir', itu jawapan dari pegawai kerajaan yang ditanyakan soalan siapa bos seperti diatas. Dan tidak kurang juga yang senyap tunduk, lalu meminta izin keluar dari bilik bos.

Laporan Audit Tahunan dalam banyak hal akan membuat teguran tentang salah urus dan pembaziran dalam agensi kerajaan. Laporan yang negatif ini membuatkan  wakil rakyat dalam parlimen memarahi pegawai kerajaan dan mencadangkan tindakan diambil. ianya satu tindakan yang betul tapi tidak menyeluruh. 

Satu lagi yang mungkin ramai orang tidak sedar ialah tentang jawatan yang diisi secara lantikan politik di agensi kerajaan dan syarikat-syarikat kepentingan kerajaan.

Sebahagian besar mereka ini kelihatan percaya  seolah-olah mereka mempunyai kuasa yang sama atau membawa kuasa bos yang melantiknya . Ianya memberi masalah yang besar kepada ketua organisasi. 

Ponteng kerja adalah perkara biasa. Salah guna kuasa pun perkara biasa. Walaupun mereka tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang sama seperti penjawat awam, tapi mereka adalah telalu kebal untuk diambil tindakan.

Malang sekali apabila berlaku tangkapan kerana perlakuan rasuah, mereka ini dipercayai ramai sebagai penjawat awam. Maka buruklah nama penjawat awam.

Kesimpulannya bahawa memang ada pegawai kerajaan atau penjawat awam yang mengambil rasuah dan tidak amanah. Mereka perlu didakwa dan dibicara dan dihukum jika sabit kesalahan. Tapi sumber utama perlakuan rasuah ialah KUASA. 

Siapa kah yang paling BERKUASA?

Dan jika sumber KUASA itu sudah menjadi 'ikan busuk dikepala , apa nak dihairankan dengan sirip, sisip, badan dan ekor ikan. Sudah tentu bahu busuk terlalu mengiyurkan untuk dikongsi sama. 

Wallahualam.






  


 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan