Theflowersellingboy

Khamis, 5 Januari 2017

Rawatan Prolotheraphy: adakah ianya berkesan untuk memulih kesakitan?



Hari ini 5 Januari 2017. Tapak kaki kiri , lebih spesifik  berhampiran tumit masih lagi sakit. 

Telah sebulan 5 hari suntikan prolotherapi , di dua spot yang sakit di tapak kaki itu (bermakna 2 suntikan), diambil tapi tidak menghasilkan kesan yang diharapkan, bahkan lebih sakit sebelum suntikan.

Satu suntikan 100 ringgit. 

Pada hari itu, 1 Disember 2016, kerana tumit merasa sakit semasa memijak dan berjalan, bersama isteri yang juga mengalami sakit yang sama, kami ke sebuah klinik yang mengamalkan perubatan prolotheraphy di Kota Damansara, Petaling Jaya. Ini merupakan kunjungan kami yang ketiga, dan suntikan prolotheraphy untuk saya yang kedua.

Pada kali pertama tahun 2011, saya telah diberikan suntikan di tapak kaki yang sama bagi sakit yang sama. Menurut doktor yang memberi suntikan itu, ia akan pulih segera berdasarkan pertanyaannya kepada saya,

"Sekarang tak sakit lagi kan".

Saya diam sahaja walaupun sebenarnya sakit itu masih ada bahkan lebih lagi sebelum dari suntikan. 

Untuk makluman, suntikan ditapak kaki adalah paling sakit berbanding dengan mana-mana anggota badan yang lain. Ini telah diberitahu oleh doktor itu kepada saya dan isteri, sebagai persediaan kepada kami dalam menahan kesakitan. 

"Kena tahan sikit. Tapi tak lama", katanya.

Ketika itu satu suntikan 50 ringgit. Dua spot yang sakit, kenalah 100 ringgit.

Kesakitan tidak segera sembuh. Tidak juga dalam beberapa hari atau seminggu dua. 

Namun begitu, akhirnya saya tidak merasa sakit. Saya sudah boleh memijak dan berjalan seperti biasa tanpa rasa sakit. Bahkan boleh berjalan berterusan semasa melakukan senaman pagi sebanyak 100 pusingan dihadapan rumah yang memakan  masa hampir satu jam. Tiada masalah.

Oktober atau november tahun 2016, sakit itu datang semula.

Suntikan 1 Disember 2016 , sehingga hari ini tidak menghasilkan apa yang diharapkan.

Sebelum mengambil suntikan pada hari itu, saya telah bertanya pada doktor itu, 'mengapa saya sakit pada dua spot yang sama?'

Ianya bukan spot yang sama, kata doktor dengan menunjukkan kepada saya kertas lakaran tapak kaki kiri saya yang telah dibuatnya semasa lawatan pertama. Memang betul. Kali ini sakit saya di dua spot yang berbeza.

Apakah sejarah berulang kembali?

Apakah saya kena menunggu lagi?

Berbanding dengan suntikan yang pertama, kali ini saya akan monitor/mengikuti dengan rapi dalam tempoh berapa lamakah saya akan pulih.

Dalam masa yang sama, saya juga merasakan ada kesilapan dipihak saya. Seminggu selepas suntikan, walaupun masih sakit, saya melakukan kerja yang berat juga secara berterusan dalam tempoh yang lama, iaitu membersih kawasan dalam dan luar rumah untuk meraikan kehadiran tetamu. 

Mula kerja mop-mengemop, sapu-menyapu, membersih tahi cicak (rumah saya terlalu banyak cicak sebab kawasan keliling banyak pokok dan semak, tidak ada rumah sebelah menyebelah, depan belakang) dari pukul 8 pagi sehingga menghampiri waktu Zohor (hampir pukul satu).

Yang peliknya, waktu bekerja itu, tidak rasa sakitpun. Laju saja.

Tapi selepas itu, selepas duduk berehat dan mula hendak bangun berjalan, aduhhh sakitnya, bila mula nak memijak. maka datanglah rasa kesal buat kerja terlalu lama dan banyak pula.

Mungkin, saya rasa kerja berat itu menyebabkan terganggunya proses memperbaikki tisu/legamen yang telah roasak atau terkoyak.

Doktor beritahu saya, rawatan prolo adalah satu rawatan secara suntikan ( saya tidak tanya pula nama ubat atau cecair yang digunakan. Tapi yang pasti bukan steroid) bagi tujuan memperbaikki/membina semula mana-mana tisu atau legamen yang rosak. Ianya bukan bersifat mengawal kesakitan seperti steroid.

Mungkin gamaknya saya telah melanggar pantang. 

Sayang sekali doktor tidak pula berpesan agar saya tidak melakukan kerja-keeja berat seperti yang telah saya lakukan itu atau memberitahu saya agar berihat satu dua hari atau minggu. Malah dia begitu yakin menyatakan kesakitan itu akan hilang sebaik saja menerima rawatan/suntikan.

Ahhh saya kena tunggu lagi. Harap-harap segera hilang sakit. Sekarang ini masih sakit. Nak turun dari bilik atas ke ruang makan di sebelah bawah pun rasa bercinta, takut sakit. Jadi kenalah isteri bawakan makanan ke atas. Kesian dia.

Isteri menyatakan dia merasa lega. Mampu berjalan tanpa rasa sakit. Cuma waktu nak memulakan pijakan, ada rasa sakit. Selepas itu, jalannya seperti biasa tanpa rasa sakit. 

Sebab itu waktu berjalan di pasar raya, saya kena tinggal di belakang kerana tidak mampu menyamai langkah isteri yang bersahaja dan cepat. Banyak kali dia terpaksa menunggu saya yang berjalan terhingkut-hingkut. 

Saya pula bila berjumpa dengan orang yang dikenali terpaksalah berlagak berjalan secara normal, dengan menahan kesakitan.

'Prolo-prolo bilalah aku nak baik. Kena tunggu lebih lama ker?' Keluhan dalam hati saya. 

Ya Allah segeralah hilang kesakitan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan