Theflowersellingboy

Rabu, 4 Januari 2017

PRU 14: Bila....Mahu Tunggu 'The Feel-Good Factor'?




PRU 14, bila? 

Politik tanah air terus hangat. 

Sepatutnya sebaik saja PRU 13 selesai, dan kerajaan dibentuk, pertentangan politik diantara kerajaan (parti yang menang  dalam PRU 13) dan parti yang kalah, menjadi reda. 

Tidak begitu rupanya. Ianya berterusan sehingga kini. Bahkan bertambah hangat. 

Keadaan seperti ini membuatkan sebahagian besar rakyat suka meramalkan bahawa PRU14 sudah dekat, tanpa perlu menunggu tempoh matang, tahun 2018, menurut yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Beberapa bulan yang lepas PM telah memberi gambaran PRU 14 akan diadakan tidak berapa lama lagi. Selain dari Allah, hanya PM saja yang tahu tarikh sebenar sesuatu piliharaya di Malaysia. Jadi sahlah PRU 14 akan diadakan dalam masa yang terdekat.

Namun begitu, berdasarkan berbagai perkembangan yang dilihat sebagai tidak menyebelahi kerajaan, ada pihak yang menyatakan PRU 14 akan ditangguh atau tertangguh sehingga tamat tempoh matang iaitu pada tahun 2018.

Kata mereka Kerajaan masih lagi pada kedudukan defisit dalam 'The Feel-Good Factor', tiada yang manis, pahit masam belaka ketika ini. Ada setengah kata sudah naik ke tahap meloyakan.

Soalan saya, siapa mereka itu? Sudah tentu mereka bukan PM. Jadi kalau bukan PM, sedarlah bahawa yang tahu tentang bila pilihanraya diadakan di Malaysia hanya PM saja. Ini bukan perkara baru. Bukan juga semasa PM DS Najib. Dari dulu dan kini itu hukum yang terpakai.

Soalan kedua, adakah mereka mengatakan bahawa kerajaan khususnya PM tidak yakin untuk menghadapi PRU14? Atau dalam bahasa yang tidak enak tapi mencabar saya tanya: Adakah Kerajaan khususnya PM tidak yakin untuk menang?

Berikutan dengan soalan itu macam-macam lagi soalan yang boleh dikembangkan:

i) Adakah PM tidak bercakap benar.

ii) Adakah PM buat kenyataan tanpa mendapat maklumat tentang kedudukan boleh menang mengatasi boleh kalah.

iii)  Adakah selepas pengumuman PM itu situasi berubah dari boleh menang kepada boleh kalah dan

(iv) Apakah yang menjadi 'The Feel-Bad/Worst  Factor' yang menyebabkan PRU terpaksa ditangguhkan sehingga sampai tempoh matang.


Soalan pertama mudah saja dijawab oleh PM dan kerajaan. Bahawa PM dan kerajaan tidaklah macam itu. Janji mesti ditepati adalah moto Kerajaan/PM, sentiasa bercakap benar kerana bercakap bohong adalah sifat orang munafik, itu yang diberi tahu oleh alim ulama'.

Soalan kedua itu langsung tidak ada asas. BN khususnya UMNO  bukan parti baru . Bukan parti serpihan. Bukan parti nyamuk. Bukan parti picisan. Jentera pilihanraya BN adalah yang paling mantap, kuat dan lengkap, dari segi orangnya, peralatannya dan wangnya. Menguasai segala maklumat, penyebaran dan penyampaian maklumat.

Bagi soalan (iii) mungkin ada kebenarannya. Mungkin the feel-good factor sudah terhakis sedikit/banyak yang tidak menyebelah BN oleh perkembangan selepas pengumuman itu. Maknanya, ada kelemahan dalam jentera BN dalam menilai dan meramal situasi boleh menang/boleh kalah. Tapi tidak mungkin begitu.

Soalan keempat tentang the feel-bad factor. Adakah BN dalam keadaan tertekan dengan perkembangan yang tidak selesa?

Dari segi kesatuan dan perpaduan politik antara parti kompenen BN dan dalaman parti, fenominanya bukan perkara baru. 

Pergeseran pandangan diantara parti komponen bukan perkara baru, telah biasa dihadapi sebelum dari ini lagi. Ianya tidak menjejaskan sangat sehingga boleh membawa kekalahan dalam pilihanraya. BN telah membuktikannya. Sebab itu BN memerintah sehingga kini.

Perpecahan dalam UMNO dengan penubuhan parti baru Parti Pribumi Bersatu, tidak memberi kesan sehingga boleh menyebabkan UMNO kalah. Perpecahan ini bukan perkara baru. Penubuhan PKR juga adalah kesan dari perpecahan itu. Tapi sehingga kini UMNO masih menang dalam pilihanraya.

Adakah kedudukan ekonomi ketika ini merupakan the feel-bad factor?

Menurut PM, ekonomi negara berkembang pada kadar 4.5%. Maknanya ekonomi Malaysia, tidak stagnant. Ekonomi yang berkembang adalah ekonomi yang memberi faedah kepada negara dan rakyat.

Produktiviti meningkat. Bermakna peningkatan kapasiti untuk mengeluarkan berbagai barangan dan perkhidmatan. Ertinya juga mempunyai tenaga buruh yang produktif.

Sudah tentu ekonomi yang berkembang membuka/menambah peluang pekerjaan baru.

Ekonomi yang berkembang adalah ekonomi yang digerakkan oleh penggunaan hightech-capital intensive berbanding labour intensive untuk menghasil capital goods. Bermakna tenaga buruh negara amat bergantung kepada kemahiran tinggi (skilled) dan pengkhususan untuk mempertingkatkan produktiviti.

Negara mampu berkembang kerana mempunyai kekuatan simpanan bagi tujuan pelaburan dan pembangunan dan penyelidikan (R&D).

Semua perkara diatas adalah petanda kepada the feel-good factor dan bukan the feel-bad factor.

Jadi dari segi ekonomi, statistik pertumbuhan ekonomi 4.5% yang PM nyatakan itu memberikan BN khususnya PM satu kedudukan yang selesa bagi mengadakan pilihanraya. Satu pilihanraya yang BN mampu menang.

Bagi rakyat atau pengundi, yang penting ialah ekonomi. Kecelaruan politik boleh saja dilupakan asalkan ekonomi mereka tidak terjejas.  

Ekonomi pada mereka ialah boleh hidup selesa, boleh cari makan, ada kerja, tidak terhimpit dengan beban kos sara hidup yang tinggi dan menyiksakan.

Hanya ekonomi yang berkembang saja yang mampu menghasilkan misalnya tambahan peluang pekerjaan.

Realitinya begitu kah?

Pertanyaan seperti diatas perlu dijawab secara adil, professional tanpa fitnah dan menuding jari. Ini memerlukan kerja siasat dan semak. Sediakan dua ruangan bagi mengisi hasil dapatan siasat dan semak itu iaitu satu ruang untuk jawapan yang positif bagi kerajaan dan satu lagi yang negatif.

(a) Semak bilangan yang menganggur.
(b) Semak bilangan yang kena buang kerja.
(c) Semak statistik pelaburan dan nilai pelaburan yang lama dan yang diperbesarkan (expanded) dan yang baru. Bertambah, stagnant atau merosot dari segi bilangan dan nilai. Dan bilangan pelaburan yang masih kekal atau yang telah keluar berhijrah ke negara lain.
(d) Semak kekuatan  simpanan dalam negara dan luar negara kerana pelaburan dan RnD memerlukan kekuatan simpanan.
(e) Semak dan ikuti kecenderungan pergerakan/graf nilai ringgit berbanding wang asing misalnya US. Menguat atau menyerah kalah.
(f) Semak juga liabiliti negara dari segi paras keberhutangan dan kemampuan membayar balik faedah dan pokok.
(e) Semak tentang pemilikan warga dan negara asing keatas equiti dan aset negara terutama yang ada kepentingan strategik.
(g) Semak juga cara urustadbir negara sama ada memberi kesan positif dan negatif kepada negara dan  rakyat.
(h) Semak juga hal berkaitan penggunaan kekayaan negara sama ada ianya menjanakan faedah untuk rakyat kerana digunakan secara cekap dan berkesan atau berlaku pembaziran, boros dan tiris, dan perlakuan salah guna serta rasuah.  
(i) Tidak kurang penting juga, semak hubungan diantara Eksekutif (kerajaan) dengan Kehakiman dan Parlimen dari segi pengaruh mempengaruhi dan kuasa. Juga penting tentang perjalanan agensi-agensi penguatkuasa seperti Polis, SPRM dan Peguam Negara, lancar seperti sepatutnya atau bagaimana.

Saya percaya PM telah ada maklumat tentang perkara yang dibangkitkan. 

Maklumat-maklumat ini, rasanya akaan diberi perhatian yang utama oleh BN/PM dalam memilih tarikh pilihanraya. Apa pun, PRU 14 tetap akan diadakan sama ada maklumat yang diperolehi itu bersifat negatif apabila tempoh matang tiba.

Rakyat, khususnya pengundi perlu melakukannya. Jangan sia-sia undi anda itu, jangan lupuskan undi anda begitu saja tanpa dapat balasan yang menguntungkan anda dan negara. Balasan yang menguntungkan hanya boleh ditentukan dengan melakukan siasat dan semak, dan memberikan undi anda setelah mempunyai maklumat itu.

Oleh itu, tidak perlu sibuk bertanya bila tarikh pilihanraya. Ia tetap akan datang. PM tahu apa yang perlu beliau lakukan. Dan anda pula perlu tahu apa yang perlu anda lakukan: Parti makna yang anda patut beri undi.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan