Theflowersellingboy

Rabu, 18 Januari 2017

Cerita Di Sebuah Gerai




Sarapan pagi sekeping capati dan secawan milo di sebuah gerai di seberang jalan sisi kiri sebuah hotel.
 
Buat janji dengan seorang kawan untuk bersarapan sama. "Kat mana?" Tanya kawan itu. Suara dari henset amat jelas sekali.

"Mana lagi, kat hotel lah", saya memberitahu.

Kawan itu nampaknya kurang bersetuju. Dia lebih suka pilih gerai dari hotel. Dia suka santai di gerai. Gerai tepi longkang pun tidak mengapa.

Saya percaya bukan sebab harga di gerai lebih murah dari di hotel. Dia seorang yang yang ada wang. Setakat RM 100 pun bukan sesuatu yang beliau bimbang. Dan dia juga bukan seorang yang kedekut.

Cuma dia punya fahaman yang tidak betul tentang 'kat' singkatan dari perkataan 'dekat'. Baginya 'kat' atau 'dekat' itu bermaksud 'di' hotel. 
 
Saya beritahu bukan bersarapan di hotel tapi di gerai dekat dengan hotel itu. Dia ketawa besar.

Bukan dia saja yang terkeliru dengan ajakan seperti itu. Ada kawan yang lain juga keliru apabila saya mengajak mereka untuk bersarapan dekat hotel. 
 
Perkataan 'dekat' ini selalu disalah faham oleh kebanyakan orang. Banyak yang memahami ianya bermaksud 'di' sedangkan perkataan dekat itu membawa unsur jarak, berbeza dengan  'di' yang membawa maksud 'di tempat itu', tiada unsur jarak. 
 
Mungkin ada yang  pandang remeh perbezaan antara 'dekat' dan 'di'. Tapi awas ianya boleh menyusahkan. Risikonya tinggi sekali.

Mengambil contoh seperti kes diatas. 
 
Katakanlah kawan saya tadi mempunyai urusan niaga dengan saya. Nilai urusniaga berjuta ringgit. Tempoh masa untuk buat keputusan pada pukul 11 pagi pada hari ini. Melepasi tempoh itu, melepaslah peluang urusniaga jutaan ringgit.

Kawan saya itu  memahami 'dekat' itu bermaksud 'di iaitu di hotel. Biasalah hotel adalah tempat orang berbincang dan membuat keputusan tentang perniagaan. Jadi kawan saya itu tidak ragu-ragu bahawa hotel adalah tempat untuk kami bertemu dan bersarapan.
 
Maka kawan itu menujulah ke hotel itu. Dia masuk ke restoran hotel dan mencari saya. Tidak ada. Waktu yang ada hanya tinggal 10 minit lagi masuk pukul 11 pagi.

Beliau dalam keadaan mengelabah lalu menalipon saya untuk bertanya di mana saya.

Malang sekali jika bateri henset saya habis, kong. Jadi beliau tidak dapat menghubungi saya. Waktu sudah melebihi pukul 11 pagi.

Peluang untuk mendapat urusniaga berjuta ringgit menjadi punah disebabkan salah faham tentang perkataan 'dekat'.

Oleh itu jangan remehkan maksud yang dibawa oleh sesuatu perkataan.Fahamkan betul-betul. Mesti ada ilmu. Kalau tidak jadi keliru. Mungkin kena tipu.

Baiklah, cerita kawan saya itu tamat. Dia tidak jadi datang.
 
Pesanan capati telah sampai bersama dengan secawan milo.
 
Tidak ramai pelanggan. 
 
Atas sebab-sebab tertentu saya sudah lama tidak ke gerai ini. Lebih dari setahun.
 
Dulu gerai ini ramai pelanggan. Nak cari tempat letak keretapun susah. Terpaksa meletakkan kereta pada jarak yang jauh. Tidak sekarang. Kereta saya betul-betul di hadapan jalan masuk ke gerai itu.
 
Tauke gerai nampaknya ada masa untuk duduk bersama semeja dengan saya. Beliau menyatakan kesyukuran kerana masih lagi dapat meneruskan perniagaan. 
 
"Barang mahal bang. Nak jual mahal, pelanggan lari". Beliau tidak mengeluh. Beliau menyatakan yang sebenar. 
 
Saya mendengar saja kerana ianya bukan satu isu yang baru atau yang kontroversi. Ianya satu isu biasa. Isu basahan setiap dari rakyat. Barang naik sudah menjadi lali ditelinga. Ianya amat menyiksa namun sentiasa suka disebut.
 
Saya fikir, tauke itu mahu menunggu respons dari saya untuk menyatakan sesuatu. Mungkin beliau mengharapkan saya bersetuju dengan apa yang dinyatakannya itu. 
 
Tapi saya rasa tidak perlu memberi respons kerana apa yang beliau cakap adalah benar. Semua orang sudah tahu. Semua orang sedang merasa kepahitannya. Beban amat berat sekali. 

Kalaupun saya nak beri respons, saya hanya perlu angguk kepala saja. Sia-sia saja mengeluarkan kata-kata bagi perkara yang sahih kebenarannya.

Tapi, saya berdiam tanpa angguk kepala. Mungkin inilah yang menyebabkan tauke itu semacam mahu saya menyatakan sesuatu.

"Biasalah bang, sekarang ni. Mana ada harga yang turun". Saya membahasa diri tauke itu sebagai abang juga. Ini bukan membezakan darjat, atau membezakan umur tua atau muda. Ini abang sapaan , memesrakan hubungan.
 
Tauke itu bertanya adakah saya tidak merasa tertekan dengan harga barang yang mahal. Saya berikan senyuman dahulu sebelum menjawab.
 
"Nak buat macam mana. Itu pilihan saya. Pilihan abang jugak".
 
"Apa maksud abang?" Cepat sungguh tauke itu bertindak balas apabila beliau dikatakan sebagai orang yang suka harga barang naik.
 
Kenyataan saya itu telah memerangkap saya dalam isu politik. Saya mesti cari jalan untuk keluar dari menyentuh tentang politik. Saya khuatir ianya akan menimbulkan suasana yang tidak diingini jika tauke ini mempunyai kecenderungan politik yang tidak sama dengan saya.
 
"Maksud saya , kita kena terimalah. Kita pilih jadi rakyat Malaysia, tinggal di Malaysia kena terimalah. Bukan kita sahaja yang bayar harga mahal. Semua orang kena". Saya harap jawapan ini adalah satu jalan keluar.
 
Saya cuba membaca apa yang ada dalam fikiran tauke itu dari riak air muka. Cuma susah sedikit kerana beliau agak gelap. Tidak mudah untuk melihat perubahan warna mukanya.
 
"Saya pilih dulu sebab janjinya barang tidak naik", tauke itu bersuara sambil menumbuk meja, tapi tidak kuat. Milo dalam cawan saya tidak tumpah.
 
Rupanya, tauke ini bukan budak hingusan yang saya boleh kelentong. Dia amat memahami dengan kenyataan saya tentang buat pilihan itu. Saya tidak mampu mengelak.
 
Saya bertanya pada tauke, jika janji tidak ditepati, apa pilihan dia pada PRU 14 nanti.
 
Tauke itu  bingkas bangun sambil menunjukkan ibu jari kanan menuding ke bawah. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya, 
 
"Tidak. Tidak lagi bang. Once bitten  twice shy".
 
'Educated' rupanya si tauke ni', bisik hati kecil saya.
 
Dia menyeluk saku seluar dan mengeluarkan henset. Dia melayari sesuatu.
 
"Bang apa itu surat hutang?"  Tauke memandang saya dengan tepat.
 
'Mengapa pula situa ni tanya fasal surat hutang', hati kecil saya bersuara.
 
"Cuba abang baca ni". Henset diberikan kepada saya. Saya ambil dan baca apa yang terpapar dalam hensetnya. Sebenarnya saya sudah baca lebih awal. Jadi saya segera memulangkan balik henset tauke itu.
 
"Nak buat hutang lah", jawab saya ringkas.  

Tauke semacam terpinga-pinga, tidak faham macam mana surat hutang boleh digunakan untuk buat pinjaman.
 
Rupanya tauke ni tak 'educated' juga, saya membuat kesimpulan.
 
"Katanya TH dan KWAP akan beli surat hutang tu untuk bayar harga saham.....apa benda ni. Cuba abang baca". Saya tidak membacanya sebab saya sudah tahu. 

"Selamat ke duit TH bang?" Tauke itu bertanya.

"Ada nasib selamat. Tak ada nasib sampai kiamat abang tak boleh kerja haji", saya segera bangun meminta dikira harga sarapan saya itu.

"Eeek, berniaga juga macam tengok nasib", tauke itu sedikit ketawa. Saya mengangguk.
 
Saya menghulurkan wang. Dia tolak mentah-mentah.  
 
"Hari ni free bang", katanya

Saya menuju ke kereta. Dalam hati berkata, bertambah kuranglah pendapatan tauke pada hari ini. Kesian juga pada tauke itu.
 
"Dia kena jual surat hutang lah", bisik hati saya. Senyuman kecil terukir apabila wajah tauke itu menyelinap di otak kepala. 
 


 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan