Theflowersellingboy

Isnin, 23 Januari 2017

Hujan Berterusan Memberikan Saya Satu Senyuman




Hujan masih belum berhenti. Dari malam tadi sehingga ke pagi. Tapi tidaklah lebat, sebahagian besar rintik-rintik sahaja.
 
Cuaca seperti ini amat meransangkan untuk menjadi malas. Berbaring diatas katil paling menyeronokkan.
 
Tapi ada janji yang perlu ditunaikan. Bukan janji dengan orang lain. Tapi ini janji pada diri sendiri. Jika tidak ditunaikan, sendirilah yang menanggung akibatnya.

Semalam, setelah terlalu penat memesin rumput di sisi rumah sebelah kanan,  saya buat keputusan untuk menamatkan kerja, dan berjanji untuk menghabiskannya pada pagi ini bagi sebahagian kecil kawasan yang belum dimesin.
 
Pagi ini pula hujan masih berterusan walaupun tidak lebat tetapi ia sudah cukup untuk menjadi alasan terbaik untuk tidak menyambung kerja seperti yang dijanjikan semalam. 

Saya takut kesejukan dan basah seluruh badan jika bekerja dalam hujan. Mungkin boleh membawa demam. 
 
Lagipun mesin rumput berkuasa letrik yang saya gunakan itu tidak boleh digunakan dalam keadaan basah. Selain ia boleh merosakkan motor mesin itu, ianya juga boleh  menghasilkan pintas letrik dan membahayakan diri. Begitulah yang telah diberitahu oleh penjual mesin rumput itu.
 
Saya senyum sendiri kerana saya mempunyai alasan yang kuat untuk tidak meneruskan kerja memotong rumput pada pagi ini.
 
Bukan saya yang tidak mahu meneruskan kerja tetapi keadaan tidak mengizinkan saya untuk berbuat demikian. Bukan saya yang mengadakan alasan tetapi telah ditentukan pada pagi ini hujan masih berterusan turun yang menghalang saya meneruskaan kerja.
 
Dalam keadaan seperti ini ramai juga orang yang suka mengatakan 'ada rahmat disebalik keadaan yang berlaku itu'.
 
Saya tidak tahu, hanya Allah sahaja yang maha mengetahui.
 
Cuma hujan yang berterusan ini telah membantu saya untuk jadikan alasan yang terbaik bagi merehatkan badan. Sebenarnya, saya terlalu penat akibat kerja berat semalam.
 
Bagi orang seusia menghampiri tujuh puluh tahun seperti saya ini, kerja yang saya lakukan semalam amat berat sekali.  Apatah lagi orang yang telah menjalani pembedahan jantung terbuka. Walaupun kelihatan sihat dan tidak merasa susah bernafas atau mudah mencungap,tetapi tenaga tidaklah sekuat semasa sebelum memasuki enam puluhan.

Jadi hujan yang berterusan memberikan saya satu senyuman,
 
Saya boleh memberitahu pada diri sendiri bahawa saya tidak mungkir janji. Tenanglah jiwa dalam meneruskan kehidupan seterusnya. 
 
Jika ditakdirkan pagi ini tidak hujan, alangkah berat bagi saya untuk meneruskan kerja seperti yang telah dijanjikan. Memang saya terlalu penat. Fizikal saya rasanya tidak mampu untuk meneruskan kerja memesin rumput. Tapi saya ada janji yang perlu ditunaikan.
 
Dalam keadaan seperti diatas, sudah tentu saya merasakan serba salah. Jika tidak buat kerja, saya adalah manusia yang mungkir janji. Akibatnya jiwa tidak akan tenang. Jika terus buat kerja, besar kemungkinan ia boleh membahayakan kesihatan badan walaupun janji ditepati.
 
Ertinya saya kena pilih antara jiwa tenang dan keletihan.
 
Alhamdulillah, keadaan cuaca yang ada pada pagi ini membuatkan saya tiada pilihan melainkan merihatkan tubuh badan. Saya terus berbaring diatas katil.
 
Tapi , perasaan jemu mula menggesa saya untuk bangun. Lantas saya bangun dan terus menuju ke sofa yang telah sedia ada sebuah laptop. 
 
Saya menulis. Bicara saya ialah bicara hati. Bicara tentang sebuah janji. 
 
Saya bicara tentang meraikan satu keadaan yang menjadikan alasan bagi saya untuk merihatkan tubuh badan dari keletihan membuat kerja.  Alasan yang datang tanpa doa dari saya. Ianya ketentuan Allah.
 
Apapun baki kerja sedang menunggu. Menunggu cuaca tidak hujan. Dan saya mesti bersedia menerimanya. Bukankah itu janji saya? 
 
Benar, itu janji saya. Saya perlu melakukannya. Doa saya agar Allah memberikan saya kesihatan tubuh badan dan akal fikiran dan kekuatan untuk meneruskan kerja saya itu. Sudah tentu saya memohon dipanjangkan usia.
 
 
 
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan