Theflowersellingboy

Isnin, 1 Jun 2015

RMK 11: Lonjakan Terakhir Untuk Menuju Negara Maju Berpendapatan Tinggi. Satu Pertanyaan : Relevan kah Kenyataan Itu atau Hanya Satu Khayalan




Banyak boleh ditanya tentang negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Adakah dengan :
 
i) bertambah//meningkatnya purata pendapatan bulanan isi rumah ke paras RM10,450 
 
ii) KDNK per kapita mencapai RM 54,890 atau Pendapatan Negara Kasar per kapita RM 54,100
 
iii) 35% jumlah tenaga kerja terdiri dari tenaga kerja mahir.

Terlalu panjang jika mahu berbicara 3 soalan diatas. Namun, saya kurang bersetuju dengan 3 para meter diatas untuk dijadikan ukuran sebagai mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi.

Lagi pun tidak ada satu definisi yang mutlak tentang negara maju. Tidak juga tentang paras pendapatan yang perlu dicapai untuk menjafdi sebuah negara maju.
 
Sama ada menjelang tahun 2020 Malaysia mencapai tiga ukuran diatas atau sebaliknya, bagi saya bukan perkara yang sepatutnya menjadi fokus kepada kerajaan yang memerintah. 
 
Persoalan yang lebih penting, yang sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan adalah kehidupan rakyat -bertambah senang atau semakin sempit dan membebankan.
 
Bertambah senang bermaksud pendapatan yang diperolehi akan membawa bersama kuasa beli atau memiliki: 
 
i) Kemampuan untuk sebuah tempat tinggal yang munasabah, paling kurang rumah tiga bilik dengan kemudahan air bersih, kemudahan bagi capaian maklumat dari berbagai saluran komunikasi/media dan internet, dan bekalan elektrik.
 
ii) Mampu mendapatkan makanan yang bernutrisi baik bagi membina pertumbuhan fizikal yang seimbang (tidak terencat) dan pembinaan minda yang berpotensi untuk mampu menyumbang kepada kemajuan negara.
 
iii) Berupaya mendapatkan persalinan pakaian yang bersih yang bertukar ganti paling kurang 1 persalinan bagi satu hari. 
 
iv) Mudah dan mampu untuk mendapatkan perkhidmatan bagi meningkatkan potensi diri melalui capaian pendidikan dan pembelajaran yang berkualiti dan dari berbagai institusi yang berkualiti juga.
 
v) Mudah dan mampu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
 
vi) Hidup dalam persekitaran yang bersih dan tidak tercemar.     
vii) Capaian yang mudah dan berkualiti bagi pelbagai jenis pengangkutan awam.
 
Bagaimana pula dengan kebebasan rakyat untuk bersuara, jika terdapat berbagai peraturan dan undang-undang yang menyekat dan menghalang  hak tersebut dalam kehidupan harian mereka?
 
Terjaminkah konsep dan amalan pengasingan kuasa diantara badan-badan eksekutif, legislatif dan judisiari. Apakah tidak berlaku salah guna kuasa dan kezaliman dalam siasatan, dakwaan dan perbicaraan?
 
Bagaimana pula dengan sistem pilihanraya dalam menegakkan sebuah kerajaan demokrasi? Masih berterusan seperti sekarang?
 
Dan yang paling utama sekali ialah mampukah kita mewujudkan dan mempunyai sebuah kerajaan yang ditadbir kelola dengan baik, dengan melaksanakan kebertanggungjawaban, berintegriti dan adil?
 
Lima tahun lagi kita akan sampai tahun 2020. Perjalanan itu sudah pasti akan sampai ke situ, melainkan dunia lebih awal kiamat. Masanya terlalu singkat dan amat mencabar sekali bagi sebuah kerajaan untuk melihat rakyatnya hidup senang dan tidak membebankan pada tahun 2020.

Saya memang tidak ada kepercayaan tentang hal itu kerana kerajaan yang ada sekarang ini adalah warisan kerajaan yang gagal dalam membentuk rakyat Malaysia yang mempunyai potensi diri. Berbagai sekatan dan halangan yang terpaksa dilalui rakyat, antara yang penting adalah agihan kekayaan negara yang tidak adil yang menyebabkan jurang kehidupan bertambah besar dan menyempitkan.

Bagaimana dengan rasuah. Bagaimana dengan hutang negara. Bagaimana dengan integriti pemimpin negara.

Tidak perlu kita buat penyelidikan yang mendalam kita boleh menjawab soalan-soalan diatas.

Rasuah, masih lagi menjadi penghalang kepada kemakmuran negara.

Sama juga dengan hutang negara, semakin membimbangkan.

Pemimpin kita mahu menjadi sebuah negara maju seperti negara maju misalnya Jepun dan Korea. Tapi pemimpin kita tidak mempunyai minda seperti pemimpin Jepun dan Korea. Di Korea dan Jepun, jika berlaku seperti apa yang berlaku ke atas 1MDB, pemimpinya akan dengan segdera mengambil tanggungjawab sama ada meletak jawatan atau mendapatkan semula mandat rakyat dengan membuabarkan parlimen untuk satu pilihanraya.
 
Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi hanya merupakan susunan kata-kata khayal para pemimpin untuk melenakan rakyat. Bagi saya ianya tidak relevan selagi rakyat masih hidup dihimpit dengan berbagai masalah dan beban.  
 
 
 
 
 



 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan