Theflowersellingboy

Sabtu, 13 Jun 2015

Mencari mood untuk buat kerja.



Hampir seminggu merihatkan diri, tidak lagi membuat kerja membersih kawasan luar dan dalam rumah. Badan terlalu letih dan sakit-sakit. Tambahan lagi dalam musim cuti sekolah ini, menghadiri beberapa jemputan majlis kenduri kahwin. Ada juga kematian saudara mara.  Ke rumah anak menjaga cucu yang tidak sihat dan pengasuh cucu yang terpaksa bercuti.
 
Itulah antara alasan-alasan yang menyebabkan saya tidak membuat kerja-kerja mengemas dan membersih dalam dan luar rumah.
 
Hendak mulakan semula kerja-kerja tersebut bukanlah perkara yang mudah. Ada macam-macam alasan yang terbit dalam hati menghasut agar lupakan saja kerja-kerja rumah itu. Kamu sudah tua, baik saja berihat, antara hasutan itu. 
 
Benar, usia telah lanjut, mengapa perlu saya mop lantai. Mengapa perlu sapu dan buang tahi cicak, bersihkan bilik air, vacuum ruang-ruang yang berhabuk dan sebagainya. Lupakan saja basuh dan mop lantai garaj kereta dan ruang berihat di luar rumah serta koridor sekeliling rumah.
 
Mengapa perlu mencabut rumput di laman, membantu isteri menyiram pokok-pokok bunga. Jangan memesin rumput kerana ianya meletihkan, apatah lagi dalam cuaca yang panas terik yang boleh menambah gelap kulit dibadan. Tidak perlu cantas pokok kecil yang meliar dipagar sempadan. Biarkan saja.
 
Begitu kuat hasutan agar saya merihatkan  badan tanpa buat kerja-kerja tersebut. Sebelum berihat dulu, pagi-pagi lagi saya duduk tercatuk mencabut rumput yang cepat tumbuh di celah-celah batu interlocking.  Masuk hari ke sepuluh, kerja itu masih belum selesai. 
 
Dalam perancangan, habis saja rumput dicabut, akan mesin rumput di dua sisi rumah dan kawasan belakang. Kemudian diikuti, mengemas dan menyusun atur semula pasu-pasu bunga yang berselerak serta mencabut rumput yang tumbuh dalam pasu bunga itu. Habis saja kerja itu, akan mula mencantas pokok-pokok kecil yang tumbuh meliar di kedua-dua sempadan sisi rumah.
 
Itulah yang dirancang sebelum menghadapi bulan puasa nanti. Saya tidak akan mampu untuk melakukannya dalam bulan yang penuh cabaran dari segi tenaga dan kekuatan fizikal. Tapi perancangan tidak menjadi kenyataan. Banyak perkara lain yang tidak dirancang terpaksa juga dihadapi.
 
Jadi boleh kah saya biarkan saja begitu? Dan menyambung tempoh berihat?

Sudah pasti ianya bukan satu pilihan yang terbaik. 
 
Mata terlalu sakit melihat tahi cicak yang bertaburan. Tidak selesa duduk dalam ruang yang kotor dan berhabuk. Sedihnya melihat pokok-pokok bunga yang kering dan terkulai layu kerana jarang disirami air. Bencinya melihat rumput yang tumbuh dicelah-celah kepingan batu interlocking. Rumput yang tidak dimesin juga merosakkan kecantikan persekitaran.
 
Jadi saya mahu melihat persekitaran yang selesa, bersih , kemas, teratur  dan cantik.
 
Untuk itu apa pilihan yang ada selain dari bekerja ke arah itu. Siapa yang nak buat? Upah pihak lain bukan satu pilihan dalam kemampuan kewangan. Maka sendiri kena lakukan.
 
Itu mood yang pertama.
 
Mood kedua?
 
Bekerja boleh menyihatkan badan. Peluh yang keluar akan mengeluarkan sama toksid dalam badan -gula ditukarkan kepada tenaga dan seterusnya keluar sebagai peluh. Lemak-lemak hancur, keluar melalui peluh. Kolesterol akan terkawal , baik untuk jantung dan tekanan darah tinggi. Bukankah ini satu rawatan tanpa kos? Apa tunggu lagi, buatlah kerja sendiri.
 
Mood ketiga?
 
Bukankah kadang-kadang kita ada pelawat. Sudah tentu merasa malu jika rumah tidak kemas, berserabut dan penuh dengan tahi cicak. Yang paling dikhuatiri adalah pelawat yang tidak memberi maklum kehadirannya. Tiba-tiba muncul sedangkan rumah dan persekitaran rumah amat menjelekkan.
  
Jadi mengapa mahu jadi malu dan tersipu-sipu? Ayuh buat kerja.
 
Pagi ini saya bingkas bangun, tidak lagi memikirkan badan sakit dan letih. saya sudah dapat mood untuk melakukan kerja. 
 
Saya mahukan persekitaran luar dan dalam rumah yang kemas, bersih dan cantik. Saya mahu menjaga kesihatan melalui rawatan tanpa kos. Dan saya malu pada kawan-kawan yang datang ke rumah jika rumah berkeadaan tidak cantik, kemas dan teratur.
 
Saya mulakan dengan menyapu dan membuang tahi cicak, diikuti dengan kerja mengemop ruang-ruang di dalam rumah. Wah sampai masuk zohor pun kerja tidak selesai. Terpaksa sambung esok hari.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan