Theflowersellingboy

Selasa, 23 Jun 2015

Murtad: Jangan Bersedih Kerana Kita Juga Yang menjadi Penyebabnya.

 
 
 
Berita seorang rakyat Indonesia, Lukman Sardi murtad -menukar agama dari Islam ke Kristian membuatkan kita merasa kecewa dan sedih.


Apa pun tahap keimanan kita terhadap Islam, apabila saja mendapat berita seseorang Islam itu, sama ada kita kenal atau tidak, keluar dari Islam, kita akan merasa sedih dan kecewa. Kita akan berkata antara lainnya, "Mengapakah jadi begini?"
 
Sewajarnya soalan seperti itu ditanya, walaupun tiada siapa pun dihadapan kita kerana kita sendiri mahu tahu mengapa jadi begitu.
 
Tetapi, soalan seperti itu tidak membawa kesan dan makna jika ianya berakhir dengan keluhan sedih tanpa kita sendiri cuba mengusahakan jawapan atau memikirkan sebab mengapa terjadinya penukaran agama itu.
 
Amat malang juga jika kita mengambil jalan mudah dengan segera menuding jari kepada pihak lain (pendakwah agama lain) yang menyebabkan saudara Islam kita itu bertukar agama. Cara kita ini sebenarnya cuba mengelak diri dari mencari kesalahan atau kelemahan sendiri.
 
Oleh itu usahlah kita berterusan sedih dengan peristiwa tukar agama ini kerana ianya tidak akan membantu dalam usaha untuk menjadikan Islam sebagai agama yang diimani sehingga kita menemui Allah. 
 
Cara terbaik dalam menghadapi tukar agama ini adalah dengan melihat kedalam. Antara lain, lihat pada diri sendiri, pada masyarakat dan penguasa yang menguruskan institusi agama kita,

Soalan yang wajar kita tanya ialah: 
 
i) Apakah kita ini seorang Islam yang baik?

ii) Adakah juga masyarakat kita mempamirkan cara hidup Islam yang sebenar?

iii) Adakah  Penguasa yang menguruskan institusi Islam menjalankan tanggungjawab penuh amanah?

Soalan pertama sudah tentu tidak menafikan bahawa setiap dari kita adalah manusia yang sifatnya tidak sempurna. Kita ada banyak kelemahan.
 
Tetapi kelemahan itu bukan alasan untuk tidak menjadi seorang Islam yang terbaik, sebaliknya ianya adalah satu asas atau tapak  yang kuat bagi kita gunakan untuk mempertingkatkan kualiti diri.
 
Manusia Islam yang lemah sudah tentu tiada kualiti. Maka dari masa kesemasa kelemahan itu kita kikis melalui peningkatan ilmu  dan amalan yang diperintah Allah dan meninggalkan perkara yang dilarang.
 
Masyarakat Islam, sama ada di Malaysia dan ditempat lain adalah amat mengecewakan. Penguasaan ilmu, penguasaan politik dan penguasaan ekonomi serta akhlak dan moral yang dipamerkan adalah  masih lagi rendah berbanding dengan masyarakat agama lain. Paling teruk Islam digambarkan sebagai ganas dan zalim.
 
Sebab itu kita mudah saja ditakluki bukan saja secara fizikal bahkan pemikiran kita. 
 
Ambil contoh tentang mengurus dan menyelamatkan pelarian Rohingnya -apakah sebenarnya dunia Islam mengambil peduli tentang kemungkinan besar pelarian ini akan bertukar agama?
 
Tidak banyak negara Islam atau negara pimpinan Islam termasuk Malaysia, yang mengambil langkah positif dan berkesan bagi mengurus dan membantu pelarian beragama Islam ini. 
 
Dunia Islam tidak berdaya untuk membantu mereka kerana politik negara yang tidak kuat dan stabil, kerana ekonomi yang lemah, kerana moral pimpinan yang rendah terlibat dengan pecah amanah dan salah guna kuasa.
 
Tidak kah kita bersedih jika mereka murtad?
 
Lihat juga apa yang dilakukan oleh institusi yang bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara kepentingan Islam. Contoh institusi yang menguruskan zakat.

Di negara kita, Institusi zakat ini amat terkenal sebagai institusi yang berlumba-lumba mengutip wang dari orang Islam. Pengurusan institusi ini amat bangga menyediakan sasaran kutipan zakat bagi sesuatu tahun, misalnya dari 10 juta tahun lepas kepada 20 juta tahun ini. Berbagai kempen kutipan zakat dilaksanakan, melalui siaran radio, tv, dan edaran bercetak. Kaunter-kaunter kutipan zakat disediakan diberbagai tempat.

Tapi pernahkah kita dengar atau dapat maklumat secara meluas dan berkesan serta mudah dicapai dalam hal menfaatkan kutipan zakat itu bagi kepentingan ummah? Jawapannya amat mengecewakan sekali - terlalu sedikit dan ambil sambil lewa saja.

Sebab itu ramai orang Islam yang miskin dan mereka yang layak untuk menerima zakat, misalnya untuk menyambung pelajaran, tidak mendapat maklumat secara mudah dan mencukupi. Apatah lagi ada berbagai halangan dari segi urusan untuk mendapatkan sumber zakat itu.

Jadi mereka ini mencari sumber lain yang boleh dan ingin membantu. Secara kebetulan atau memang itu menjadi tujuan institusi dakwah kristian misalnya, amat mengalu-alukan serta bersedia menghulurkan bantuan kepada orang Islam yang terbiar ini.
 
Sudah tentu hati mereka tersangkut dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh institusi kristian ini. 
 
Jika pertolongan itu berterusan, dan jika kita juga berterusan membiarkan mereka mengambil jalan itu,  disamping mereka juga kurang pengetahuan tentang Islam, maka hairankah kita jika mereka ini mudah saja bertukar agama?  

Kemudian kita marah-marah pada institusi kristian itu. Dan sebahagian besar dari kita akan mengeluh menyatakan rasa sedihnya mengapa jadi begitu.

 
 
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan