Theflowersellingboy

Khamis, 4 Jun 2015

Kita Terus Marah-marah : Bisul Menjadai Barah



Keadaan kita sekarang saya umpamakan seperti penyakit bisul - bermula dengan serangan bisul yang bernanah sehinggalah merebak menjadi penyakit barah jenis malign.  
 
Sekarang kita marah-marah. 
 
Ada yang sampai ambil nyawa. Ada yang memilih penjenayahan sebagai cara hidup. Tidak kurang yang berputus asa, tidak mahu berusaha dan bekerja lebih kuat, dengan mengambil jalan mudah, merendahkan maruah dan harga diri dengan meminta sedekah. Menipu bukan lagi satu yang asing, perkara basahan dalam kehidupan.
 
Dan kita juga hidup dalam ketakutan. Takut peragut. Takut penyamun. Takut perompak. Terlalu banyak hantu dalam pemikiran kita.
 
Kita hidup saling curiga mencurigainya. Takut pada bayang-bayang sendiri.
 
Sebabnya  terjadi begitu ialah kerana kita tidak ambil peduli untuk merawat bisul itu, kita ambil mudah saja, dan ada sebahagian dari kita masih lagi gemar memilih hidup dalam persekitaran yang kotor.

Mengapa kita marah-marah sekarang ini?
 
Kita marah harga barang naik. Harga perkhidmatan naik. Kita marah kerana subsidi minyak dihapuskan, menyebabkan harga minyak naik. Dua hari yang lepas marah kita pun menjadi meluap kerana harga minyak naik 10 sen.

Pendek kata kita marah kerana kos menyara hidup yang membebankan.  Hari demi hari kita semput dalam bernafas.
 
Sayang sekali, kemarahan kita bersifat menyesal kemudian. Kita tidak pernah percaya kepada kata bijaksana bahawa menyesal dulu itu pendapatan. 
 
Kita dengan cepat melihat akibat dan kesan , kita tidak pernah mahu cari punca, walaupun kita sendiri sedar atau telah diperingatkan akan punca itu. Bahkan kesan atau akibat yang menyiksakan kehidupan kita itu , bagi sebahagian dari kita , mudah saja dapat dilupakan.

Itulah kita yang suka marah-marah. Akibatnya kita mendapat serangan jantung, darah tinggi dan segala macam penyakit yang berkaitan dengan marah. 

Kalau kena serangan darah tinggi disebabkan memakan makanan berkolesterol tinggi dan kaya dengan protin, berbaloi juga. Tapi serangan tekanan darah tinggi adalah akibat dari marah kerana susah mahu dapat makanan, dan ada yang hidup dalam kelaparan kerana harga diluar kemampuan pendapatan yang kecil.

Mengapa boleh jadi begini? Maksudnya mengapa kita hidup susah sedangkan negara kita kaya dengan sumber yang dikurniakan Allah.

Sebabnya berpunca dari bisul yang berpunat kecil, dibiarkan tanpa diberi rawatan sehingga membengkak menghasilkan nanah yang busuk. Sesuai dengan perangai kita yang sukakan persekitaran yang kotor, bisul itu boleh membarah, merebak keseluruh anggota badan. 

Itulah kita. Marah tiada guna lagi.

Begitulah apa yang berlaku pada negara kita yang kaya tapi rakyat miskin. 

Kita tidak boleh lagi menuding jari pada penjajah sebagai punca yang menyebabkan kita masih hidup susah dan miskin. Kita sudah berkerajaan sendiri , melebihi setengah abad. Jadi kita yang tentukan arah tuju sendiri.

Mengapa sebahagian dari kita hidup susah sedangkan sahabat kita di selatan, Singapura (negara yang sama dijajah), sebuah pulau kecil yang tiada sumber bumi semewah negara kita, kualiti hidup mereka lebih baik dari kita. 
 
Ini adalah realiti, bukan cakap kosong. Pergi dan tinjau kehidupan seorang pemandu kereta di Singapura dan bandingkan dengan kehidupan seorang pegawai kerajaan peringkat professional dan pengurusan yang sudah bekerja 3 tahun. 
 
Bandingkan gaji mereka, rumah yang diduduki, kereta, kemampuan menghantar anak ke sekolah atau nursery dan lain-lainnya. Pemandu di Singapura labih baik kualiti hidupnya.

Apatah lagi jika kita bandingkan dengan pemandu kita. Terlalu jauh dan amat memalukan.
 
Kita cari punca sebelum kita kena akibat atau kesannya. Apa puncanya kita jadi begini? 
 
Puncanya ada dua saja iaitu i) kita sendiri dan ii) kerajaan yang kita telah amanahkan untuk mengurus tadbir kekayaan negara kita.
 
Saya mulakan dengan punca no ii). 
 
Amat malang sekali setelah kita beri peluang kerajaan yang sama menguruskan kekayaan negara semenjak merdeka sehingga sekarang, kerajaan itu telah gagal memberikan satu kehidupan yang berkualiti kepada kita. Agihan kekayaan tidak merata dan tidak adil. Hanya sebahagian kecil, lebih kurang 20% yang menikmati hidup berkualiti.

Ertinya kerajaan ini tidak menjalankan amanah.

Tapi peliknya, sebegitu lama kerajaan yang tidak amanah dan menyusahkan kita ini, kita pilih juga sehingga sekarang.

Walaupun bisul sudah jadi barah, kita hanya merawatnya dengan marah-marah.

Itulah punca no.ii) iaitu kita sendiri. Selagi kita tidak ambil pusing tentang siapakah yang wajar kita serahkan amanah untuk menguruskan kekayaan negara selama itu kita akan hidup susah. 
 
Bukti terlalu banyak dan terang bahawa kerajaan yang ada ini semenjak merdeka sehingga sekarang telah gagal dalam menjalankan amanah. 
 
Antara bukti yang mudah dilihat ialah pemberhentian pekerja MAS seramai 6000 orang.
 
Jangan salahkan pengurus asing yang membuat keputusan seperti itu. Pemberhentian itu adalah kesan dari kewangan MAS yang kritikal yang diistilahkan secara teknikalnya sudah begkerap.
 
Fasal apa secara teknikalnya sudah bengkerap? Antara sebabnya ialah akibat dari membeli saham syarikat itu pada harga yang lebih tinggi (kalau tidak silap 8 ringgit) dari harga pasaran (kalau tidak silap 3 ringgit lebih) dalam usaha menyelamatkan seseorang (kroni)  yang dekat dengan pimpinan tertinggi negara pada masa itu.
 
Sama juga dengan beberapa kes seperti PKPZ, Perwaja, BMF dan yang terbaru 1MDB. Kesemuanya telah meleyapkan wang negara.
 
Kesemua kes-kes itu adalah berpunca dari salah guna kuasa dan tidak amanah.

Dan pada PRU 14 nanti kita pilih lagi kerajaan yang sama. Kita terus marah-marah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan