Theflowersellingboy

Rabu, 27 Mei 2015

Muak, Jemu Bincang Fasal Urustadbir Negara. baik Tonton Akademi Fantasia.




Jemu , jelak, muak dan tidak berminat.
 
Itulah yang saya bimbang, sikap yang ada pada sebahagian anak-anak muda, termasuk yang mempunyai pendidikan yang tinggi, dan penduduk-penduduk  desa yang terhad capaian dan sumber maklumat terhadap masa depan negara.
 
Apa maksud masa depan negara?
 
Masa depan negara adalah ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem politik demokrasi berparlimen, rakyatlah yang menentukan sama ada negara kita selamat, berkembang, makmur ataupun tidak selamat, mengundur kebelakang atau tidak berkembang, dan miskin bengkrap.
 
Ertinya rakyat ada kuasa memilih. Memilih wakil dan parti dalam membentuk sebuah kerajaan bagi mentadbir urus negara bagi kepentingan rakyat: iaitu negara selamat, berkembang maju dan kekayaan negara dimenfaat rakyat secara adil tanpa jurang pendapatan yang melebar.
 
Sudah tentu rakyat mahukan wakil dan kerajaan yang bekerja kearah itu. 
 
Namun begitu, hasrat rakyat itu tidak akan tercapai jika rakyat atau sebahagian besar rakyat tidak mahu ambil berat atau tidak ambil peduli tentang bagaimana negara diurus tadbir. 
 
Itulah yang berlaku ketika ini. Sebahagian kita terutamanya anak-anak muda dan mereka yang terhad dari segi capaian maklumat dan yang kurang pendidikan dan pengetahuan, nampaknya melepaskan saja urusan negara kepada kerajaan tanpa bersama-sama mengambil bahagian dalam menentukan kerajaan tidak tergelincir dari matlamat mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara.
 
Mereka yang tidak mahu mengambil berat ini mudah muak dan jelak serta bosan, apabila timbul isu-isu kepentingan rakyat dan negara. 
 
Misalnya  campur tangan eksekutif dalam kehakiman dan legislatif yang menjejaskan konsep pengasingan kuasa, sehingga berlaku salah guna kuasa yang mencemarkan keadilan atau berlakunya kezaliman.
 
Begitu juga hal-hal yang berkaitan dengan jenayah dan keselamatan. Terdengar disana sini penangkapan dan pendakwaan yang terpilih. Kesalahan yang sama oleh mereka yang berkuasa dan dekat dengan kuasa dalam banyak hal terlepasa dari tangkapan, siasatan dan dakwaan.
 
Dalam isu-isu berkaitan dengan pengurusan khazanah negara - wang dan aset negara, sebahagian besar rakyat tidak juga mahu mengambil bahagian sehingga kerajaan yang ada bebas melakukan apa saja tanpa ada semakan dan imbangan dari sebahagian besar rakyat. 
 
Bajet negara mudah saja diluluskan walaupun prestasi keatas penggunaan wang negara bagi tahun sebelumnya tidak mencapai matlamat yang dijanjikan, dan bukan itu saja bahkan berlaku pembaziran dan salah guna kuasa dalam menguruskan wang itu, seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.
 
Sebahagian besar dari kita tidak berminat untuk ambil tahu. Kita mudah muak dan jelak. Ada juga berpendapat ianya tiada kaitan dengan rakyat. Itu hal kerajaan.
 
Sebaliknya kita berminat dengan k-pop, dan berbagai lagi bentuk hiburan yang dihadangkan oleh kerajaan mahupun anjuran mereka yang mahu mencari keuntungan, mengambil kesempatan atas keasyikan sebahagian besar dari kita yang suka berkhayal dan hanyut dalam dunia hiburan.
 
Saya percaya jika diajak berbincang dan berfikir diantara kes 1MDB dengan program akademi fantasia, ramai yang meninggalkan kes 1MDB kerana ianya boleh jadi pening kepala. Akademi Fantasia , amat menghibur dan mengasyikkan, lalu kita pun mengambil bahagian dalam afundi, memilih penghibur yang kita suka.
 
Tetapi malang sekali, kita cepat marah dan mengeluh apabila kerajaan tidak menyediakan hospital dan doktor serta tenaga kesihatan yang cukup; sekolah yang dhaif; harga barang yang naik; peruntukan biasiswa yang semakin berkurangan; pengenaan cukai kepada semua tanpa mengambil kira kedudukan rakyat seperti cukai GST; tambang pengangkutan awam yang naik; kenaikan tol dan berbagai hal lagi yang menyempitkan kehidupan harian kita.
 
Sayangnya marah kita itu mudah saja berakhir. Diberi seribu dua wang diwaktu pilihanraya; diumumkan beberapa projek ; dan didokong dan dicium anak-anak semasa kempen pilihanraya dengan salam bersisi wang, antara lain, boleh meredakan kemarahan kita, walaupun jelas lagi terang berbagai kerosakan telah dilakukan oleh kerajaan.
 
Maka setiap kali pilihanraya, kita pilih mereka juga.
 
Itulah yang menyebabkan 1MDB menghadapi bebanan hutang kerana rakyat tidak mahu ambil tahu dan tidak peduli tentang pengurusan wang negara. 
 
Dana awam seperti KWAP, KWSP, TH, PNB dan LTAT telah dengan bebas dijadikan sebagai sumber pembiayaan 1MDB dalam berbagai projek. Risiko kepada dana yang membawa kepentingan rakyat (penyumbang dan pendeposit) tidak diambil sebagai sesuatu yang perlu diutamakan.

Sekarang apa yang terjadi?

Semuanya ini adalah disebabkan sebahagian besar rakyat mudah merasa bosan dan muak untuk bersama-sama mengambil bahagian yang aktif bagi menjadi penyemak dan pengimbang kepada kerajaan yang dipilih. Buktinya kita masih lagi memilih kerajaan yang sama setiap kali pilihanraya, kerajaan yang telah melakukan banyak kerosakan dan menyusahkan rakyat.
 
Saya percaya ada yang tidak suka membaca paparan ini, hanya kerana ianya boleh memningkan kepala berbanding menonton Akademi Fantasia yang mengkhayalkan.

Tanggunglah kesan buruk, dan jangan sibuk komplen fasal GST!.
 
 
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan