Theflowersellingboy

Jumaat, 19 Jun 2015

Latihan Berpuasa Anak Kecil




Alhamdulillah, rihat sekejap selepas berbuka, sebelum menuju ke masjid bagi menunaikan fardhu Isya' dan seterusnya bertrawih.
 
Laptop ada didepan mata, jadi kenalah tulis sesuatu.
 
Tapi apa yang hendak dibicarakan? Tajuknya mudah saja difikirkan untuk dijadikan bahan penulisan. Cuma , dalam bulan Ramadhan ini, kenalah berhati-hati dalam membicarakan sesuatu tajuk, terutama bahasa dan pilihan kata-kata agar ianya tidak membuatkan puasa menjadi sia-sia.
 
Oleh itu dalam batasan tersebut, saya teringat satu cerita semasa kecil dahulu bagaimana ibubapa melatih anak berpuasa.
 
Anak-anak sekecil 4 tahun telah digalakkan berpuasa. Dimulakan dengan puasa sehingga pukul 10 pagi, bagi hari pertama, dan jika boleh tahan dilanjutkan pada hari seterusnya.

Kemudian, akan dipanjangkan tempoh menahan lapar dan dahaga, misalnya sehingga ke pukul satu atau dua petang. Dan seterusnya , meningkat sehingga waktu 'Asar dan ke waktu berbuka puasa yang sebenar.
 
Ada juga yang melatih anak kecil berpuasa dengan cara berselang seli -hari ini berpuasa, esok tidak berpuasa. Ada juga yang berpuasa sampai sebulan penuh.
 
Latihan berpuasa semenjak dari kecil itu hanya memberi tumpuan kepada ketahanan berlapar dan berdahaga. Jarang latihan itu memberikan tumpuan kepada perlunya melaksanakan solat fardhu lima waktu dan solat sunat terawih.
 
Kesan dari latihan berpuasa secara ini berjaya dari segi menahan lapar dan dahaga saja. Sebab itulah, menahan lapar dan dahaga bukan satu perkara yang amat berat untuk dilaksanakan. Kesannya, kadang-kadang kita boleh berjumpa ada orang yang berpuasa tetapi tidak melakukan solat.
 
Namun begitu, latihan berpuasa (menahan lapar dan dahaga) perlulah dimulakan dari kecil dengan diberikan kefahaman bahawa sama ada kita berpuasa dalam bulan Ramadhan atau diluar Ramadhan , solat fardhu tidak boleh ditinggalkan.
 
Selamat meneruskan ibadat berpuasa dan ibadat-ibadat lain yang diperintah Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan